Saturday, September 1, 2012

Tiada Campurtangan Polis, Ambang Merdeka ‘Janji Demokrasi’ Berakhir Aman

Sambutan ambang merdeka ‘Janji Demokrasi’ yang diadakan di sekitar Dataran Merdeka dan di hadapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) malam tadi berkahir aman tanpa sebarang kekecohan berikutan tiada tindakan provokasi oleh pihak polis.

Berbeza seperti mana yang terjadi dalam perhimpunan siri 1,2 dan 3 anjuran BERSIH kerana terdapat banyak tindakan provokasi dan serangan-serangan ganas polis terhadap peserta perhimpunan.

Demikian menurut kerabat diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan ketika ditemui TVSelangor di lokasi sambutan ambang merdeka ‘Janji Demokarasi’ malam tadi.

“Di sini rakyat Malaysia kena faham, orang yang datang ini tak kira BERSIH ke, apa ke, kita ini adalah orang aman.



“Buktinya pada malam ini bila tiada polis mengacau, tengok suasana aman, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Tetapi kalau polis ada membawa senjata, merempuhkan orang-orang mereka ke dalam orang-orang yang berhimpun, itu yang mencetuskan suasana yang huru-hara seperti dalam perhimpunan BERSIH 2.0 dah 3.0 lalu,” ujarnya lagi.

Tunku Harmy turut menganggap kempen menaikkan jalur gemilang yang dilaungkan oleh kerajaan tidak mendapat sambutan dari masyarakat negara ini kerana rakyat telah mula menolak penghayatan kemerdekaan ala Umno-BN.

“Pada hemat saya sepatutnya malam ini orang menyambut kemerdekaan dengan bendera penuh dan kenderaan-kenderaan juga banyak dipasang bendera, tetapi kali ini saya tak nampak pun, yang ada sangat kurang,” kata beliau.

Perhimpunan ‘Janji Demokrasi’merupakan perhimpunan sambutan ambang kemerdekaan yang dianjurkan oleh gabungan JANJI yang dianggotai 49 pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

Sambutan ambang kemerdekaan itu malam tadi berjaya menarik kehadiran seramai hampir 20,000 hadirin.

Sambutan tersebut yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka terpaksa dipindahkan di hadapan bangunan DBKL apabila Datuk Bandar mengeluarkan arahan agar Dataran Merdeka ditutup untuk orang ramai.

Sebelum itu, sambutan kemerdekaan anjuran kerajaan pada peringkat awal lagi telah mendapat protes rakyat kerana tema dan logonya yang melambangkan kepartian.

Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila buat pertama kali tiada sebarang sambutan diadakan pada malam ambang merdeka di dataran bersejarah itu.

Meskipun sambutan ambang merdeka Janji Demokrasi dengan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu berbajet bajet rendah ianya tetap berjalan meriah oleh kehadiran ribuan pengunjung dan beberapa tokoh politik, aktivis seni dan aktivis masyarakat terkenal.

Sebelum kiraan ‘count down’ detik 12.00 malam beberapa acara sampingan juga telah dijalankan.

Antaranya nyanyian lagu berbentuk sindiran kepada kerajaan dan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Sebelum itu kehadiran beberapa kumpulan mat rempit yang cuba menganggu orang ramai yang berada dalam acara sambutan tersebut juga gagal.

Setelah kiraan detik 12.00 malam sambutan malam tadi telah diakhiri dengan tembakan bunga api berbajet rendah yang dibawa oleh orang ramai dan nyanyian lagu negaraku.

Kira-kira jam 2.00 pagi orang ramai mula meninggalkan kawasan sekitar Dataran Merdeka dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tanpa sebarang kekecohan.

Menurut Pengerusi Bersama BERSIH, A. Samad Said, sambutan ambang kemerdekaan Janji Demokrasi ini telah dapat diadakan dengan berjaya sekali.-Selangorku.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...