Friday, September 28, 2012

Hayat Umno di penghujung, Najib pening kepala


Hasil kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) kelmarin tentunya menggusarkan pemimpin Umno BN, kata Riduan Mohd Nor.

Ketua penerangan dewan pemuda PAS itu berkata, bukan sahaja disebabkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menurun malah kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat juga semakin meningkat.

"Kajian ini pastinya menjadikan PM pening kepala memikirkan bila tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen. Lebih memeningkan apabila memikirkan nasib beliau, keluarganya dan partinya usai PRU ke 13 nanti.


"Mungkin beliau sedang mengharapkan suatu keajaiban yang boleh menukar segala hakikat dan realiti pengundi negara ini. Apa yang pasti, beliau perlu fahami rakyat sudah mula membulatkan keputusan dengan memilih Pakatan Rakyat dan menerima kenyataan bahawa hayat BN sudah berakhir," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.


UMCEDEL dalam kajiannya merumuskan semakin ramai rakyat Malaysia percaya Pakatan Rakyat (PR) boleh mengambil alih Putrajaya, dengan penambahan daripada 21 peratus kepada 30 peratus.

Selain itu, kajian itu juga mendapati populariti Najib juga semakin merosot dan kali ini merosot sebanyak 3 peratus mata, daripada 61 kepada 58.

Kajian ini juga menyimpulkan berlaku tren penurunan sambutan terhadap transformasi yang dilakukan Najib.

Mengulas lanjut Riduan berkata, keputusan kajian ini agak mengejutkan kerana ramai menyangkakan rakyat Malaysia akan mengalih sokongan kepada BN khususnya kepada PM hasil dari pelbagai janji, tawaran, hadiah dan insentif yang dicurahkan oleh kerajaan kepada rakyat sejak setahun lalu.

Tambah lagi katanya, Najib sejak menjadi Perdana Menteri beberapa tahun lalu telah bekerja keras bagi memulihkan reputasi diri beliau serta parti pimpinannya di mata rakyat.

"Namun demikian, kajian UMCEDEL menampakkan seolah-olah rakyat sudah nekad menolak kepimpinan beliau sebagai PM serta UMNO-BN sebagai peneraju di negara ini.

"Fakta ini menggambarkan rakyat biasa atau golongan pengundi atas pagar yang menjadi kuasa penentu PRU ke 13 sudah mula menunjukkan sikap mereka terhadap PR," katanya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...