Tuesday, June 29, 2010

Anwar beri arahan tutup mulut, Azmin terpalit dalam pergelutan PKR

"Saya beri amaran terakhir. Mana-mana lagi kenyataan terbuka yang mempertikaikan Menteri Besar Selangor, terus (dihantar) ke Lembaga Disiplin." Demikianlah kata-kata yang terkeluar dari mulut Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat pimpinan pusat PKR, menurut sumber dalam parti itu.


Malah, Anwar Ibrahim (gambar kiri) memberi kata-kata akhirnya, "Saya sudah cukup dengan ini. Sesiapa yang cuba menguji kesabaran saya, anda boleh cuba."

Selain itu, sumber maklumat tersebut memberitahu Merdeka Review, bahawa Anwar Ibrahim mengarahkan Azmin Ali untuk menarik balik perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Bagaimanapun, Azmin Ali cuba membantah atas alasan langkah ini bakal menjejaskan kredibiliti dirinya, malah beliau meluahkan kekhuatirannya bahawa keputusan mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor pada ketika ini mudah mencungkil kesangsian terhadap dirinya.

"Tiada (ruang untuk) pendapat lain. Ini adalah arahan," tegas Anwar.

Imej Azmin terpalit

Menurut seorang pemimpin yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Azmin mempersoalkan, "Orang luar berkata ini dan itu terhadap saya, dan kamu masih menyerahkan jawatan ini kepada saya. Bukankah dengan ini, kamu mahu saya jadi 'orang jahat'?"

Namun, pimpinan yang hadir dalam mesyuarat tersebut menganggap langsung tiada masa yang sesuai untuk Azmin Ali (gambar kanan) mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor dalam keadaan yang paling sempurna. Jadi, ada yang membuka mulut, "Kalau ada sesiapa yang cuba menodai imej kamu, minta maaf, kamu hanya boleh bersabar."

Jelas, tindak tanduk ahli parlimen Gombak merangkap ADUN Bukit Antarabangsa kebelakangan ini memperlihatkan "cita-cita"-nya yang "tidak kecil". Sumber dalam parti tidak menolak kemungkinan bahawa Azmin Ali cuba mengambil kesempatan daripada "ketidakpuasan terhadap Khalid Ibrahim". Namun, dari perspektif luar parti, merebut kerusi dengan Khalid Ibrahim yang meraih sokongan tinggi dalam soal selidik, semestinya berakhir dengan nama diri yang terpalit.

Monday, June 28, 2010

Himpunan Bantah Judi Diteruskan Pada 3 Julai Ini.

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusan kerajaan membantah judi sebagai keputusan Jemaah Menteri, bukan keputusan melibatkan Majlis Tertinggi Umno semata-mata.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ bersyukur dan menyambut baik keputusan berkenaan namun ianya mesti diumumkan secara jelas kepada rakyat bahawa ianya merupakan keputusan kerajaan Barisan Nasional.

"Kita menerima keputusan ini dengan menyatakan bahawa ia tetap perlu dilontarkan atau diumumkan daripada keputusan jemaah menteri, bukan daripada keputusan satu parti politik (Barisan Nasional) sahaja" katanya pada sidang media di Rumah Pena, di ibu negara hari ini.

Azmi juga menegaskan, GMJ tidak akan dimansuhkan begitu sahaja walaupun kerajaan menarik balik pemberian lesen judi, sebaliknya akan meneruskan kempen membantah judi secara berpanjangan.

Ini kerana, ujarnya keputusan menarik balik lesen judi itu hanyalah keputusan kecil sahaja sedangkan industri membabitkan perjudian sedang berkembang pesat di negara ini.

"GMJ akan berterusan secara berpanjangan kerana keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya sebahagian daripada isu judi dan industri judi yang sangat besar dan ini tidak bermakna tamat GMJ ini.

“GMJ akan diperkukuhkan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri dan kita akan lanjutkan kempen dengan lebih agresif supaya hasrat dan matlamat kita tercapai," katanya lagi.

Dalam pada itu, GMJ akan tidak akan membatalkan perhimpunan pada 3 Julai ini, cuma ianya tidak disertakan dengan perarakan bagi menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Azmi memberitahu, perhimpunan akan tetap diadakan di Masjid Negara dimulakan dengan solat Zuhur dan solat hajat dan disusuli dengan ucapan daripada wakil-wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah judi.

Perhimpunan itu dinamakan Himpunan Tak Nak Judi sebagai tanda bantahan rakyat pelbagai kaum terhadap segala jenis judi.

"Kita telah buat keputusan hari ini bahawa perhimpunan 3 Julai ini akan diteruskan kerana berpandangan negara harus diselamatkan daripada judi.

"Kita tidak akan berarak tapi akan berhimpun di pekarangan Masjid Negara selepas solat Zuhur dan solat hajat agar negara kita terselamat daripada musibah akibat judi. Pimpinan parti politik dan wakil NGO akan berucap dan kita sasarkan 10 ribu rakyat untuk hadir," katanya.

Menurutnya juga, semua parti politik termasuk Umno sendiri dialu-alukan untuk menyertai himpunan itu.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Wanita PR Membantah Judi (Sendi), Salbiah Abdul Wahab melahirkan rasa lega dengan keputusan itu kerana ianya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada wanita-wanita yang mempunyai suami kaki judi.

"Kami bagi pihak wanita sedikit lega dengan keputusan ini kerana bagi mereka yang mempunyai suami yang kuat berjudi, sekurang-kurangnya aktiviti perjudian dapat dikurangkan atau dihentikan apabila tiada lesen judi dikeluarkan. Jika tidak wanita dan anak-amak terpaksa menanggung kesan akibat suami dan ayah yang menghabiskan wang untuk berjudi," katanya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat.

Turut bersama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi GMJ, Rahimi Abdul Rahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, bendahari, Nahar Md Nor daripada Jemaah Islam Malaysia (Jim) dan wakil-wakil NGO yang lain.


harakahdaily

Thursday, June 24, 2010

Dr Asri Serta Mufti Perlis, Menyanggah Kenyataan Umno-BN dan Polis .


Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) dan Mufti Perlis Juanda Jaya membidas muslihat kerajaan Umno-BN berhubung dakwaan terhadap tokoh agama dan politik yang dikaitkan kepada kepada 'kumpulan pengganas' Jamaah Islamiah.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Asri dan Juanda menyanggah kerajaan Umno-BN dan polis kerana memainkan isu keselamatan nasional "yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu".

"Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh," tegas mereka.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan portal Malaysiakini yang melaporkan Institut Latihan Islam Malaysia yang berada dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengaitkan Asri, Juanda, serta Presiden Pas Dr Abdul Hadi Awang kepada Jemaah Islamiah.
"Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamirkan Islam yang bertoleransi dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam," tegas Asri.
Malaysiakini melaporkan ILIM dalam satu taklimat keselamatan kepada menteri-menteri kerajaan di Bukit Aman 21 Jun lalu mengaitkan ketiga-tiga tokoh agama ini kepada Jemaah Islamiah.
Portal tersebut turut melaporkan ILIM mengaitkan ketiga-tiga tokoh terbabit kepada fahaman Wahabi. Selain dari Presiden Pas Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim turut dikaitkan kepada fahaman tersebut. 
"Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas kenyataan mereka.- TVS

Kaitan Tuan Guru Hadi Dengan JI, Umno hanya Rekacipta Isu Ini.


Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan tindakan kerajaan mengaitkan ulama dan tokoh politik dalam aktiviti keganasan berunsur militan Islam sebagai satu pembohongan besar.
Menurutnya Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan sebarang aktiviti bersifat keganasan, tetapi mempersoalkan apakah tujuan beberapa ulama dan ahli politik termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikaitkan dengan tuduhan sebegitu.
"Ini yang menimbulkan suatu polemik. Saya takut Ketua Polis Negara telah ditekan untuk mencipta satu perkara bukan sekadar nak mengawal keselamatan negara tetapi mencipta satu perkara untuk menguntungkan agenda yang kita bimbangi.
"Ini saya katakan pembohongan telah berlaku," katanya ketika meminta penjelasan Tmbalan Menteri Dalam Megeri mengenai isu itu di parlimen petang semalam.
Mufti dan bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan kumpulan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI) yang dikatakan sebagai pengganas.
Sehubungan itu mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak terutama pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.
Ia berikutan laporan media mengenai satu majlis taklimat keselamatan negara anjuran polis yang mengaitkan mereka dengan kumpulan Wahabi dan pengganas. 
Selain mereka, Abdul Hadi dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikaitkan dengan gerakan itu.
Laporan media menyebut mesyuarat anti-keganasan yang diadakan di sebuah hotel di Sepang Isnin lalu yang melibatkan pegawai tertinggi polis telah memberi taklimat mengenai 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi, JI dan beberapa lagi pemimpin politik negara.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan kerajaan cuba menggembar gemburkan isu yang tidak dibuktikan itu menimbulkan imej buruk kepada negara.
"Sedikit waktu dahulu kita bangkitkan dalam Dewan tentang bagaimana sebuah perunding Political And Economic Risk Consultancy (PERC) yang meletakkan Malaysia dalam keadaan yang cukup buruk dari segi kestabilan ekonomi dan politik.
"Inilah antaranya yang berlaku dan terus berlaku ketika kerajaan tidak melaporkan dengan cermat. Laporan PERC itu menyatakan Malaysia menerima kesan terhadap status sebagai pelaburan destinasi kerana isu ini," tegas beliau.
Katanya, dalam satu seminar Islam yang dihadiri beliau di Sydney, Australia disebutkan bahawa perbuatan kerajaan negara Islam sendiri yang mengembar-gemburkan aktiviti keganasan menyebabkan risiko kebimbangan itu meningkat.
"Saya kira tidak ada untungnya perkara sebegini diteruskan," ujarnya.
Menjawab soalan, Datuk Wira Abu Seman Yusup berkata beliau telah menerima laporan taklimat tersebut dan berkata pegawai polis yang hadir dalam majlis itu turut 'berpuas hati' dengannya.
Bagaimana pun beliau tidak menjelaskan laporan taklimat berkenaan secara terperinci. -SK

  

Saturday, June 19, 2010

Tarikh Pilihan Raya Negeri - Pakatan Disarankan Umun Lebih Awal.


Kerajaan negeri Pakatan Rakyat disarankan supaya mengumumkan tarikh pilihan raya negeri lebih awal untuk "menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihan raya" dan "ia merupakan tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak".
"Sebelum (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihan raya kita sekarang," tulis exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Muda (gambar) dalam blognya, Cetusan-hati. 
"Ini bermakna, tarikh pilihan raya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.
"Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan," tulis Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau mengulas kenyataan Najib kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen berdasarkan pendapat rakyat yang menyokong beliau dan tarikhnya "akan mengejutkan semua pihak".
Mengulas lanjut, Husam berkata, pilihanraya DUN dan Parlimen tidak akan berjalan serentak, kecuali kerajaan pusat menjadualkan sama dengan jadual di negeri Pakatan Rakyat.
"Ada dua kemungkinan, pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. 
"Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita," tulisnya dalam blog yang ditulis semalam.
"Namun, kita telah mulakan satu precedent (duluan) baru iaitu tarikh pilihan raya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerintah semata-mata".
Husam yang juga ADUN Salor berkata pilihan tarikh pilihan raya boleh dibuat "atas berbagai asas". 
"Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012. 
"Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.
"Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan," katanya.-Malaysiakini

Friday, June 18, 2010

ANWAR JAWAB KENYATAAN ZAHRAIN

Kelantan Fiesta - Umno Kelantan Yang Bertanggung Jawab


 Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dan mengecam sikap yang ditunjukkan oleh Umno negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelang majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam tadi.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, pihaknya mendapat maklumat yang diyakini bahawa Umno Kelantanlah yang bertanggungjawab untuk tidak membenarkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Katanya, ini telah melanggar persetujuan yang dibuat melalui rundingan lebih awal bahawa Menteri Besar Kelantan selaku tuan rumah akan menyampaikan ucapan di majlis yang akan disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja itu.
Selain itu, ujarnya sikap penganjur Red Carpet yang mengambil sikap menggantung sepanduk menguar-uarkan kempen 1Malaysia dan Perdana Menteri secara tidak langsung membelakangkan Pemangku Raja.
Ekoran daripada sikap Umno dan penganjur Kelantan Fiesta 2010 itu, beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, Menteri Besar Kelantan membatalkan hasrat untuk hadir dan kerajaan negeri menarik diri daripada menjadi penganjur.
Beliau menambah, di dalam masa yang sama Pemangku Raja juga memaklumkan tidak dapat hadir dan akhirnya Perdana Menteri sendiri membatalkan hasrat untuk hadir dan bergegas pulang ke Kuala Lumpur jam 10.30 malam.
“DPPNK hairan dengan sikap Umno yang begitu takut dengan ucapan yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan atas sebab apakah mereka terlalu bimbang untuk mendengar ucapan tersebut atau adakah Umno bimbang kerana mereka sedar mereka telah melakukan banyak kesalahan termasuklah melesenkan judi sukan dan menafikan royalti minyak sebagai hak rakyat Kelantan.
Tambahnya, DPPNK difahamkan jumlah kehadiran penonton sangat mengecewakan pada malam tersebut.
“Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Umno bahawa rakyat Kelantan masih teguh bersama kepimpinan YAB Menteri Besar dan menolak sikap politiking keterlaluan sehingga tidak menghormati Kerajaan Negeri Kelantan selaku tuan rumah,” katanya lagi.
Justeru, tambahnya DPPNK berpandangan perlunya sikap berhati-hati dalam menjalinkan sebarang kerjasama dengan kerajaan Pusat di dalam apa jua penganjuran program agar insiden seperti itu tidak berulang.



harakahdaily


Wednesday, June 16, 2010

Shamsul Iskandar - Najid Terpaksa Luluskan Lesen Judi, Walaupon Terpaksa berdepan dari Parti Pimpinan Sendiri



Kedegilan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak menarik balik kelulusan lesen judi sukan menunjukkan Umno Barisan Nasional dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan politik mereka.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin(gambar) berkata, tindakan nekad itu dianggap Najib sebagai perlu bagi mengumpulkan dana untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yakin Najib tidak akan tunduk pada desakan pelbagai pihak untuk menarik balik kelulusan lesen judi sukan itu sekalipun ia datangnya dari parti pimpinannya sendiri.

Rentetan bantahan Pakatan Rakyat terhadap kelulusan judi sukan, Umno Johor pula mengikut langkah sama apabila membuat kenyataan menolak sebarang pertaruhan judi sukan.

Senario itu mengikut telahan Shamsul, menunjukkan bantahan judi sukan yang dipelopori Pakatan Rakyat member keinsafan kepada sebahagian ahli dan pemimpin akar umbi Umno sendiri.

Malah, desas desus mengenai tiga ADUN Perak dari Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat dikatakan bertitik tolak dari alasan berkaitan kelulusan lesen judi sukan.

“Saya kurang yakin Najib akan tunduk atas desakan yang terbaru dari Umno sendiri. Kerana tidak banyak yang boleh dilakukan oleh menteri kewangan. Ekonomi lembab. Pelabur luar tidak datang. Mereka terpaksa guna cara yang merosakkan masyarakat selagi ia memberi pendapatan yang lumayan,” katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Shamsul berkata bukan mustahil fenomena ini akan merebak ke negeri lain yang dikuasai Umno Barisan Nasional.

“Saya yakin negeri lain selepas ini akan mengambil sikap sama. Sebab saya yakin kerana di kalangan raja-raja Melayu membantah keras dalam hal yang berkaitan dengan lesen ini,” katanya.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang membantah kelulusan judi sukan kerana aspek negatifnya, bangkangan pimpinan akar umbi Umno lebih menjurus kepada faktor politik.

“Umno khuatir akan hilang sokongan melayu islam jika teruskan lesen itu. Sebab itu timbul desakan yang kuat dari Umno sendiri sebab mereka takut hilang sokongan orang Melayu. Orang melayu begitu marah dengan tindakan Najib,” katanya.- TVS

Saturday, June 12, 2010

Kemungkinannya Perak Bergolak lagi, Desas Desus Tiga Adunnya Akan Lompat Parti


Percaturan politik yang bergolak sejak lebih setahun lalu akan bertambah rancak apabila timbul desas desus kuat yang bertiup kebelakangan ini bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Perak dikatakan akan melompat menyertai KEADILAN.
Sekiranya ia benar berlaku senario tersebut akan mengembalikan kepada keadaan sebelum rampasan kuasa haram yang didalangi Umno-BN pada Febuari 2009 apabila dua ADUN KEADILAN dan seorang wakil rakyat DAP melompat menjadi anggota Bebas dan menyokong BN.
Mungkinkah Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa atau BN terpaksa membubarkan DUN sebagaimana yang didesak sekian lama oleh Pakatan Rakyat?
Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Zulkifly Ibrahim  ketika dihubungi Suara Keadilan berkata, perkara itu akan diumumkan pada sidang media di  Ipoh esok.
"Buat masa ini kita tidak akan sebut nama tetapi beberapa orang telah cuba menghubungi dan melahirkan rasa tak puas hati terhadap pimpinan negeri. Ia melibatkan pasal habuan, terutamanya ADUN Umno yang sudah senior yang tak diberi keutaman dan mereka melebihkan ADUN di pihak pembangkang yang melompat," kata Zulkifly. 
Ketika ditanya jumlah mereka yang melompat, Zulkifly berkata setakat ini yang diketahui ialah seramai tiga orang dan kesemuanya daripada Umno.
Menurut Zulkifly lagi, ketidakpuasan hati di kalangan ADUN Umno itu juga mempunyai kaitan dengan tawaran jawatan dan habuan yang diterima tiga ADUN Pakatan Rakyat yang melompat kepada BN pada 2009 yang lalu.
Tindakan itu mengakibatkan krisis politik yang berlarutan menyaksikan kerajaan sah Pakatan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya umum tumbang.
"Berdasarkan pengalaman dari kes Nasaruddin Hashim (ADUN Bota), kes kali ini hampir serupa. Dalam kes Nasaruddin dia keluar Umno  kerana tak puas hati kepimpinan Umno, jadi kita bawa jumpa Anwar. Tetapi kemudian dia telah menerima pelbagai ugutan sehingga memaksanya menyertai semula Umno," jelas beliau lagi.
Ditanya sekiranya desas desus terbaru ini cuma mainan politik Umno, dan sekiranya situasi yang sama berulang sepertimana kes Nasaruddin, beliau berkata ia berlaku di luar kawalan KEADILAN.
"

Slogan "Islam Untuk Semua" - Pas Berjuang Diatas Semua Kaum Dan Budaya


Slogan "Islam Untuk Semua" menyimpulkan matlamat dan halatuju Pas untuk mendirikan kerajaan yang adil, berintegriti dan dalam masa yang mendakapi kepelbagaian budaya negara ini.
Presiden Abdul Hadi Awang dalam ucaptama kepada lebih 5,000 hadirin yang memenuhi kompleks Pusat Pentarbiyahan Islam Kelantan berkata Pas perlu berganjak dari kerangka politik asabiyah yang disifatkan tidak relevan kepada perjuangan Islam dan zaman kesejagatan hari ini.
Intipati ucapan Presiden Pas ini sama-sekali mematikan semua spekulasi kerajaan perpaduan dan persekutuan antara gerakan Islam terbesar tanahair ini dan Umno-Barisan Nasional.

Friday, June 11, 2010

Datuk Chua - Gelaran 'Datuk Seri Dan 'Datuk' Ditarik Balik, Adalah Didalangi Umno-BN Johor


Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) berkata keputusan pihak Istana Johor menarik balik dua anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' didalangi oleh Umno-Barisan Nasional Johor yang gentar kepada peranannya sebagai Pengerusi 'Gerakan KEADILAN-Pakatan Rakyat Menawan Johor' pada pilihan raya umum akan datang.
Bercakap kepada Suara Keadilan, Jui Meng berkata beliau sudah mengetahui daripada sumbernya bahawa Umno berhasrat untuk berbuat demikian
"Saya yakin ini bukannya tindakan Sultan Johor. Ini adalah tindakan keji Umno-BN yang takutkan peranan saya mengetahui 'taskforce' Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri Johor pada pilihan raya akan datang.

Thursday, June 10, 2010

Mursyidul Am Pas Nik Aziz - Pas Harus Bersama Pakatan Rakyat Dan Jangan Dekati Umno-BN


Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru Parti Islam Se-Malaysia untuk merapatkan barisan bersama komponen Pakatan Rakyat dan jangan sesekali menghampiri Umno-Barisan Nasional.
Bercakap ketika merasmikan muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat malam tadi, Pas hanya membunuh diri sendiri jika ia mengkhianati amanah rakyat berbilang bangsa dan bersekutu dengan Umno-Barisan Nasional yang beliau sifatkan sebagai gagasan yang menentang nilai-nilai Islam.

Umno-BN Tetap Gunakan Apco, Membuktikan Agen Zionis Israel Berada Dalam PDRM


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno-Barisan Nasional berusaha menghalang beliau daripada terus bersuara mengenai firma pro-Zionis, Apco Worldwide di parlimen dan cuba menggantung keanggotaan beliau sebagai ahli parlimen dengan menghadapkan beliau ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
Malah ketika dipanggil oleh jawatankuasa itu semalam beliau tidak dibenarkan oleh pengerusi untuk mendapatkan nasihat peguamnya semasa sesi pendengaran.
"Saya telah mengemukakan bukti di parlimen kenapa kita harus menolak langsung penglibatan Apco Worldwide dalam mana-mana institusi di negara ini. Di parlimen, saya mendedahkan perjanjian antara Apco dengan Israel pada tahun 1991, dan kemudian perjanjian antara kerajaan Umno-BN dengan Apco pada tahun 2009.
"Perjanjian ini jelas membuktikan kaitan Apco yang amat rapat dengan Isreal, dan walaupun begitu, kerajaan Umno-BN meneruskan juga perjanjian dengan Apco," tegas Anwar.
Ketika berucap dihadapan lebih 3,000 penyokong pada ceramah 'Yahudi dan Judi' di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam, Anwar berkata beliau mahu dihukum kerana mendedahkan kaitan Apco dengan rejim Zionis Israel tetapi pada masa yang sama Umno-BN sendiri bertindak secara tidak langsung menyokong Israel dan tidak ada apa-apa tindakan diambil. 

Wednesday, June 9, 2010

AP Azmin Ali - Bagaimana Rekod Perjalanan Altantuya Dipadamkan Oleh Jabatan Imigresen?


KUALA LUMPUR 8 Jun - Menteri Dalam Negeri terkedu apabila Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali (gambar) mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan bagaimana rekod perjalanan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh dengan kejam pada 2006 telah di padam dari rekod Jabatan Imigresen. 
Apatah lagi keadaan menjadi lebih gawat kepada Hishammuddin apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga sepupu beliau ketika itu berada di dalam Dewan Rakyat pada hari pertama sidang Penggal Kedua Parlimen Keduabelas. 
Azmin berkata soalan beliau dan penjelasan Menteri amat penting kerana ia melibatkan soal jenayah dan juga faktor keselamatan.
"Saya mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Hishammuddin tentang tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk memantau pergerakan keluar masuk warga asing ke negara ini.
"Hishamuddin menjawab bahawa Jabatan Imigresen bertanggungjawab dalam memantau pergerakan berdasarkan aspek keselamatan dan ancaman kepada negara. Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan itu sudah tentulah Jabatan Imigresen memerlukan satu pengkalan data bagi memastikan segala maklumat warga asing akan disimpan dengan baik, agar menyenangkan untuk mengambil sesuatu tindakan.

Tuesday, June 8, 2010

Hasil Pendapatan Judi Tidak Boleh Disalurkan Kepada Badan Kebajikan Dalam Bentuk Apa Pun Alasan


Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin(gambar) berkata konsep menghalalkan cara tidak wujud dalam agama Islam, lantas rayuan supaya judi sukan dibenarkan asalkan pendapatan judi disalur kepada badan kebajikan adalah alasan yang tidak boleh diterima.

Mengulas rayuan hartawan Tan Sri Vincent Tan meminta kerajaan negeri Pakatan Rakyat menarik balik sekatan keatas konsesi judi sukan yang diluluskan Umno-BN, Dr Asri berpendapat ada kemungkinan Vincent Tan bercakap mewakili fahaman agama lain.

Dr Asri bagaimanapun berkata Islam mengambil pendekatan yang halal dan terpuji dengan memberi penekanan pada punca pendapatan dan kesan kepada masyarakat seluruhnya.

“kita tidak boleh jadi robin hood, kita merompak beri pada orang miskin, Islam the end do not justify the mean, matlamat tidak menghalalkan cara, jadi walaupun matlamat dia mungkin baik, tapi itu tidak boleh menghalalkan cara sama macam kita kata kita minum arak sekadar untuk bersosial, tidak boleh” kata Asri.

Dalam pada itu, Dr Asri menyarankan orang-ramai supaya memerangi jenayah judi habis-habisan kerana judi membiakkan lebih banyak kemudaratan.

Beliau turut menarik perhatian masyarakat Islam kepada bantahan keras yang disuarakan penganut bukan Islam kepada tindakan kerajaan 1Malaysia meluluskan judi sukan ini.

Asri berkata kerajaan seharusnya dengar dan akur kepada denyut suara rakyat.

“kerajaan hendaklah berfikir bahawasanya ia tidak mungkin kerana, untuk dia mengelakkan satu masalah, dia timbulkan satu masalah yang baru sebenarnya hakikatnya adalah sama, maka sebenarnya kempen, kalau kerajaan tutup ruang judi ini kerajaan perangi habis-habisan, sekarang ini tidak ada rakyat yang tidak setuju dengan kerajaan, macam kerajaan perangi dadah, tak akan ada parti pembangkang ataupun mana-mana parti yang bangkit kata kami nak supaya dadah dihalalkan, tak ada” Asri berkata.- TVS

Monday, June 7, 2010

Rakyat Tetap Tolak Sikap Hipokrit Umno-BN Bersama Zionis-Israel


Demonstrasi anti Zionis-Israel yang dianjurkan Pemuda Umno di Masjid Negara tidak mendapat sambutan sekaligus menunjukkan rakyat sedar bahawa Umno-Barisan sebenarnya hipokrit kerana bersekongkol serta mengupah firma pro-Zionis untuk menasihati kerajaan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin(gambar) berkata kehadiran rakyat begitu ramai di Kampung Baru semasa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar IBrahim bersama pemimpin kanan Pakatan Rakyat tanpa mengira kaum dan agama menunjukkan Pakatan Rakyat bersama menentang kekejaman rejim zionis itu.
"Serangan bertalu-talu pemimpin Umno-Barisan Nasional kononnya Pakatan Rakyat telah retak telah dinafikan dengan sokongan puluhan ribu rakyat yang hadir itu.
"Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Maslan Ahmad yang tidak mahu bersama dengan alasan kononnya sudah terlambat dalam persidangan meja bulat yang diadakan di Kampung Baru menunjukkan ketidakmatangan mereka berpolitik.
Menurut Shamsul, pemimpin di negara lain tidak kira pembangkang dan penyokong kerajaan bersatu dalam isu ini tetapi keadaan yang berbeza berlaku di negara ini.
"Kita bersatu dalam isu melibatkan kepentingan bersama, contoh kita lihat dalam isu kepala babi yang diletakkan di dalam masjid, kita tidak menolak ajakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdemonstrasi bersama-sama.
"Kita lihat dalam isu kekejaman tentera rejim Zionis ini, pemimpin Umno-BN tidak menyokong mendesak Amerika Syarikat kerana mempunyai kepentingan dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional.
"Najib sepatutnya memutuskan hubungan dagangan yang mempunyai kaitan Amerika Syarikat dan Israel serta menamatkan kontrak yang dmeterai dengan Apco dengan segera.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya bersama-sama negara lain mengutuk kekejaman rejim Zionis-Israel ini dan menunjukkan kematangan mereka berpolitik dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama.Umno yang sering melaungkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara hanya mampu menarik kira-kira 200 orang hadir, kebanyakannya ahli Pemuda Umno dalam perhimpunan anti-Israel di Masjid Negara yang diadakan selepas solat Jumaat.
Berbeza dengan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat yang dihadiri ribuan penyokong dan berarak dari masjid Jamek Kampung Baru sehingga Kedurtaan Amerika Syarikat, ia hanya berlangsung selama 30 minit dan diisi dengan ucapan pemimpin Pemuda Umno-BN dan wakil NGO tapa sebarang wakil parti komponen BN yang lain.-SK

Sunday, June 6, 2010

Mufti Selangor - Tiada logik Dan Alasan Untuk Membenarkan Judi

Mana-mana orang Islam yang menghalalkan kegiatan judi wajib ditentang kerana telah melakukan jenayah kepada agama dan ummah, begitu kata Mufti Selangor Dato' Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.
Menurut Mufti Selangor ini, tiada logik dan alasan yang munasabah untuk membenarkan kegiatan judi berleluasa kerana semua pihak akui bahawa judi membawa mudarat, walaupun keuntungan dari jenayah judi itu digunakan untuk tujuan kebajikan.
TV Selangor menghubungi Dato’ Setia Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abd Wahid untuk meminta panduan berhubung permintaan hartawan kaya Vincent Tan supaya kerajaan Selangor menarik-balik sekatan keatas pertaruhan judi bolasepak, yang diberi kepadanya oleh kerajaan Pusat.
Vincent Tan memberi jaminan bahawa beliau akan mendermakan RM525 juta hasil judi kepada badan-badan kebajikan.
"Sepatutnya maknanya tidak ada satu agensi atau lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang hendak menghalalkan judi bukan senang orang Islam.Sepatutnya orang Islam mematuhi peraturan ketika hidup di dunia sebagaimana yang dikatakan hadis Rasullullah S.A.W : orang Islam ini mesti patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh peraturan Allah Subhanallahi Taala. Melainkan satu syarat dia tidak ikut ,kalau ini dilanggar maknanya memang boleh diperangi, contohnya menghalalkan benda yang haram atau mengharamkan benda yang halal, jadi jika seorang Islam yang menghalalkan judi kita boleh memerangi mereka".
Mufti Selangor menasihatkan orang-ramai supaya tidak terkeliru dengan pelbagai alasan yang diberi oleh penguasaha dan penyokong judi sukan ini.
"Sebenarnya hasil judi ini,itu sudah jelas, maknanya hukumnya tetap haram,maknanya hasil judi ni apa cara sekalipun memang ia adalah salah satu sumber yang dilarang oleh agama" .
"Di samping itu juga maknanya tidak ada dosa yang sehebat judi tu, kerana itu kita disuruh memerangi judi itu” tambah beliau lagi.- TVS

Saturday, June 5, 2010

Khalid Samad - Najib Terhutang Budi Pada Kumpulan Berjaya

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mendakwa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merasa terhutang budi sehingga meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, besar kemungkinan Kumpulan Berjaya turut memberikan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membiayai perbelanjaan menghadapi 11 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Tambahnya, Berjaya membayar sejumlah RM250 juta kepada kerajaan dalam tempoh setahun bagi lesen judi.

Baginya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak itu kerana terdesak untuk mendapatkan duit kerana negara menghadapi masalah kewangan sekarang.

Jelasnya, kelulusan tersebut tidak pernah dibincang atau dibahaskan di Parlimen.

“Keputusan itu dibuat mendadak oleh kerajaan yang lahir dari sikap desperado, terdesak BN dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan,” ujarnya pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, wakil Jemaah Muafakat Muslim Perak, Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Setiausaha Agung Abim, Rahimi Abdul Rahim dan wakil Dewan Pemuda Masjid, Mohd Takiyuddin Abdullah.

Khalid berkata, ekoran kelulusan judi itu yang dianggap sebagai membalas budi, kemungkinan Berjaya akan terus memberikan sumbangan kepada BN.

Menurutnya lagi, penentangan terhadap kelulusan lesen judi itu bukan sahaja melibatkan Pakatan Rakyat tetapi MCA dan Gerakan yang merupakan komponen utama BN.

“Hanya Umno yang menyokong,” ujarnya.

Mohd Azmi sewaktu menjawab pertanyaan media berhubung sikap membisu pemimpin Umno berhubung kelulusan lesen judi bola sepak itu berkata: “Itu kena tanya Umno”.

Majlis berakhir dengan penyebaran risalah GMJ bertajuk Judi Meruntuhkan Masyarakat & Negara oleh anggota gerakan itu yang turut memaklumkan mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi pada 3 Julai di Istana Negara sempena penyerahan memorandum bantahan judi itu kepada Yang di-Pertuan Agong.


harakahdaily

Friday, June 4, 2010

Sivarasa - Saman Ibrahim Ali Sia-Sia Terhadap Saifuddin Nasution


    


Tindakan saman RM2 juta yang dilakukan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali terhadap Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan akhbar Suara Keadilan dianggap sebagai saman kosong dan usaha sia-sia sahaja.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah (gambar) ketika dihubungi oleh Suara Keadilan memberitahu tindakan yang dilakukan oleh Ibrahim Ali itu umpama saman kosong sahaja dan tidak boleh diambil tindakan.
"Sehingga sekarang saya belum lagi menerima saman yang dikemukan oleh Ibrahim Ali itu, tetapi apa yang ingin saya nyatakan adalah setiap apa yang diperkatakan oleh anngota parlimen di dalam Dewan Rakyat mempunyai imuniti tersendiri dan tidak boleh dibawa ke mahkamah, jadi perkara yang dilakukan oleh Ibrahim umpama saman kosong dan sia-sia.
"Bila perkara yang berlaku di dalam dewan di bawa ke mahkamah maka perkara tersebut akan dibatalkan terus oleh mahkamah setelah Saifuddin membuat permohonan.
"Saya yakin dengan Saifuddin setiap apa yang beliau hujahkan itu mempunyai bukti dan yakin dengan kebolehannya. Beliau akan mempertahankan setiap apa diperkatakan olehnya," katanya yang juga merupakan peguam kepada Saifuddin berhubung kes saman Ibrahim.
Beliau juga memberitahu disebabkan belum menerima apa-apa dokumen saman yang telah dikemukakan oleh Ibrahim, beliau tidak dapat memberikan penjelasan dengan lebih lanjut.
"Saya tidak dapat berikan komen dengan terperinci sebab sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa dokumen saman, setelah saya meneliti segala isi kandungan dalam saman tersebut baru kita boleh tahu bentuk tindakan yang boleh kita ambil.
"Mengenai saman terhadap akhbar Suara Keadilan tidak ada apa alasan yang kukuh dapat Ibrahim kemukakan kerana Suara Keadilan hanya mengeluarkan berita melalui hujahan yang di lakukan oleh Saifuddin di dalam dewan bukannya dil uar," sambungnya lagi.
Sebelum itu Ibrahim telah mengemukakan saman RM2 Juta terhadap Setiausaha Agung KEADILAN itu kerana didakwa memfitnah beliau dengan membabitkan beliau dengan perniagaan perjudian Tan Sri Vincent Tan ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat Mac lalu.
Ibrahim juga mahu mengemukakan saman tehadap lidah rasmi KEADILAN atas alasan yang sama.
Sehingga sekarang Saifuddin dan juga akhbar Suara Keadilan belum menerima dokumen saman yang dikemukan oleh Ibrahim. - SK.

Wednesday, June 2, 2010

Najib Umun Kabinet Baru



KUALA LUMPUR 1 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.
Beliau juga melantik dua Anggota Parlimen dan empat senator sebagai Timbalan Menteri yang baru, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri
kepada Bernama
Chor dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ong.
Dalam pemilihan MCA pada Mac lepas, Ong gagal mempertahankan jawatan presiden setelah tewas kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng.
Najib turut mengumumkan pelantikan dua anggota Parlimen sebagai Timbalan Menteri iaitu anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem (Timbalan Menteri Luar) dan Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), yang juga anak kepada Dr Chua.
Empat senator turut dilantik sebagai Timbalan Menteri yang baru iaitu bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi); Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'Cruz, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).
Rombakan kali ini juga menyaksikan empat timbalan menteri bertukar portfolio.
Mereka ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim yang bertukar menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Pengangkutan); Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Baginda pada hari Jumaat ini, 4 Jun pada pukul 3.30 petang di Istana Negara.
Najib berkata pelantikan mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan.
Katanya Seri Paduka Baginda juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa mulai hari ini (1 Jun).
Mereka akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.


Baca lagi..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...