Slogan "Islam Untuk Semua" menyimpulkan matlamat dan halatuju Pas untuk mendirikan kerajaan yang adil, berintegriti dan dalam masa yang mendakapi kepelbagaian budaya negara ini.
Presiden Abdul Hadi Awang dalam ucaptama kepada lebih 5,000 hadirin yang memenuhi kompleks Pusat Pentarbiyahan Islam Kelantan berkata Pas perlu berganjak dari kerangka politik asabiyah yang disifatkan tidak relevan kepada perjuangan Islam dan zaman kesejagatan hari ini.
Intipati ucapan Presiden Pas ini sama-sekali mematikan semua spekulasi kerajaan perpaduan dan persekutuan antara gerakan Islam terbesar tanahair ini dan Umno-Barisan Nasional.
Hadi menegaskan Pas perlu lebih berani menongkah arus kepelbagaian, selaras dengan perjuangan sebenar Islam yang membawa mesej keadilan, kesaksamaan dan keharmonian merentas batas kaum dan budaya."PAS wajib menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira batas agama dan kaum, kerana Islam dalam cara hidupnya adalah untuk seluruh manusia sejagat. Lihatlah bagaimana keperibadian pimpinan Rasulullah SAW dan Islam generasi kegemilangan yang mencipta tamadun seluruh manusia, bermula dengan untuk umat membina modal insan dengan memenuhi ciri fitrah manusia secara menyeluruh,"
Hadi dalam amanatnya mengingatkan akar umbi dan pimpinan Pas untuk mengekalkan prinsip tahalluf siyasi atau kerjasama politik dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
Hadi berkata pengalaman menunjukkan asas perjuangan dan dasar Islamik Pas boleh bergerak selari dengan Pakatan Rakyat, bahkan menganjak sokongan rakyat semua kaum dan agama kepada gerakan Islam terbesar tanahair ini.
"Pandangan yang melihat bahawa kewujudan pelbagai bangsa, budaya dan agama akan hanya lebih cenderung untuk berkonflik adalah lahir daripada fikrah barat yang mencetuskan Model Konflik dalam disiplin ilmu mereka,"
"Sebaliknya, Islam memberitahu kita bahawa kecenderungan untuk membenci kaum lain mesti diatasi dengan cara kita berlaku adil kepada semua. Semua yang berhak mesti menerima haknya. Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dan keadilan inilah merupakan ciri taqwa orang yang beriman,"
Hadi turut menyerang Model Ekonomi Baru sebagai model ekonomi yang mengitar-semula dasar penswastaan dan persyarikatan perkhidmatan kerajaan masa lalu, yang membawa kepada kewujudan monopoli orang-orang elit keatas ekonomi negara.
Presiden Pas ini melahirkan rasa bimbangnya kepada MEB yang terlalu fokus kepada sistem ekonomi liberal dan mengabaikan nilai-nilai demokrasi dan tuntutan kerohanian.
"Inilah malapetaka dahsyat yang diasaskan oleh kepimpinan negara kita selama lebih dari 50 tahun diberikan amanah menjaga pemerintahan oleh rakyat. Hasilnya, kita melihat orang melayu dan Islam semakin lemah pemahaman politik mereka setelah pemikiran mereka diasak dengan pemahaman perkauman yang sempit selama puluhan tahun,"
"Dalam aspek ekonomi pula, pemilikan ekonomi yang sebenar dan seimbang tidak berlaku kerana harta negara menjadi modal pusingan di kalangan sesama pemimpin mereka sahaja. Rakyat terus menerus dihimpit oleh pelbagai skandal yang melangsaikan harta negara. Kawasan blok minyak negara yang bernilai ratusan billion ringgit pula diserah milik kepada orang lain sebagai bahan pertukaran,"
"Dalam aspek pendidikan pula, anak-anak yang menjadi penyambung zuriat dan bakal mewarisi negara pula dihadapkan dengan berbagai eksperimen pendidikan yang tidak membawa mereka ke mana-mana,"- TVS
No comments:
Post a Comment