Thursday, June 24, 2010

Dr Asri Serta Mufti Perlis, Menyanggah Kenyataan Umno-BN dan Polis .


Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) dan Mufti Perlis Juanda Jaya membidas muslihat kerajaan Umno-BN berhubung dakwaan terhadap tokoh agama dan politik yang dikaitkan kepada kepada 'kumpulan pengganas' Jamaah Islamiah.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Asri dan Juanda menyanggah kerajaan Umno-BN dan polis kerana memainkan isu keselamatan nasional "yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu".

"Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh," tegas mereka.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan portal Malaysiakini yang melaporkan Institut Latihan Islam Malaysia yang berada dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengaitkan Asri, Juanda, serta Presiden Pas Dr Abdul Hadi Awang kepada Jemaah Islamiah.
"Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamirkan Islam yang bertoleransi dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam," tegas Asri.
Malaysiakini melaporkan ILIM dalam satu taklimat keselamatan kepada menteri-menteri kerajaan di Bukit Aman 21 Jun lalu mengaitkan ketiga-tiga tokoh agama ini kepada Jemaah Islamiah.
Portal tersebut turut melaporkan ILIM mengaitkan ketiga-tiga tokoh terbabit kepada fahaman Wahabi. Selain dari Presiden Pas Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim turut dikaitkan kepada fahaman tersebut. 
"Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas kenyataan mereka.- TVS

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...