Monday, September 17, 2012

Biar PAS jaga Melayu jika Umno kalah



PAS jaga Melayu jika Umno kalah di dalam PRU13, inilah jawapan untuk Datuk Seri Najib,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, Najib selaku Presiden Umno jangan duduk perasan Umno sahaja boleh menjaga Melayu.

“Sudah 55 tahun Umno diberi peluang bukan satu masa yang pendek tetapi terbukti Umno gagal menjaga Melayu. Melayu bukan diangkat martabat, sebaliknya bertambah merempat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, bukti PAS boleh menggantikan Umno untuk menjaga orang Melayu boleh dilihat rekod pemerintahan di Kelantan yang berjaya menjelaskan hutang lapuk BN sebanyak RM220 juta daripada hutang peninggalan BN sebanyak RM718 juta.


Idris menambah, Negeri Kelantan berjaya diturunkan kadar kemiskinan daripada nombor 2 kepada 6.

“Sebelum Umno hendak mendabik dada mereka yang jaga Melayu, Umno tolong jawab terlebih dahulu tuduhan ini.

“Bukankah Umno yang menghilangkan 1.3 juta hektar tanah rezab Melayu selepas merdeka?” katanya.

Katanya lagi, Umno yang menyekat 118 projek ke Kelantan sejak 1991 (RMK6).

“Kenapa Umno yang berkuasa tidak menambah kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU 2004?” tanya beliau lagi.

Beliau berkata, Umno mesti bertanggungjawab terhadap kehilangan saham bumiputera sebanyak RM52 bilion.

“Najib janganlah duduk ulang pita rakaman lama bila berhadapan pengundi Melayu, kononnya DAP yang akan dominan dalam PR manakala Soi Lek, Presiden MCA bila bercakap dengan orang Cina, kata Pas yang akan menguasai PR. Mana satu yang benar, atau kedua-dua pembohong besar” ujarnya.

Katanya, Umno hanya memainkan isu Melayu apabila sokongan politik semakin terhakis dengan meniupkan sentimen kononnya umno pembela Melayu.

Baginya, DAP dijadikan kambing hitam kononnya menindas Melayu dan Islam walaupun hakikatnya telah dibuktikan dengan fakta di Pulau Pinang, banyak projek diperolehi oleh kontraktor Melayu sedangkan yang menangis ialah kontraktor Umno yang menjadi broker dan makan komisyen.
.

Faktanya, kata Idris kontraktor Melayu dapat 100% daripada nilai projek JPS dan 98% daripada nilai projek JKR yang di bawah kendalian kerajaan negeri.

Jeklas Idris lagi, ertinya Melayu mampu, yang tidak mampu hanya Melayu Umno.

“Peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Pulau Pinang semasa zaman Umno hanya RM12.5 juta telah meningkat zaman YAB Lim Guan Eng sebanyak RM64 juta (2012),” katanya.

Beliau menambah, hampir lima tahun DAP yang memerintah Pulau Pinang, tidak ada sebuah masjid dan surau diroboh sebaliknya ketika Umno memerintah Selangor, Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahmah Seksyen 8, Surau Puchong Perdana ditutup manakala Masjid Bujal, Kemaman dan Surau Kampung Berembang Ampang diruntuh.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...