Friday, September 14, 2012

Saranan Melayu tinggal Umno sokong PAS tepat


Umum mengetahui kebobrokan UMNO-BN dan tindakan jahat yang mereka lakukan ke atas kepentingan orang Melayu, Agama Islam, malah institusi DIRaja. Namun, UMNO sebenarnya lebih teruk daripada itu, mereka sedang menjerumuskan Negara ke lembah kebinasaan. Saranan Tuan Guru Presiden, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, supaya orang-orang Melayu meninggalkan UMNO dan mengukuhkan PAS merupakan saranan yang tepat dan perlu diambil pengajaran segera.

Ironinya, UMNO sememangnya telah ditolak oleh kebanyakan rakyat yang sedar dan bermaklumat. Tidakkah kita tertanya, mengapa golongan cerdik pandai, dan mereka yang duduk di kawasan Bandar, dan kawasan-kawasan yang membangun, kebanyakannya memilih Pakatan Rakyat? 11 daripada 14 ibu kota negeri-negeri yang ada di Malaysia, dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-12.
Keputusan ini sebenarnya mengundang pelbagai tafsiran. Hujah yang paling tepat untuk menggambarkan situasi pengundi di Ibu Kota di atas, ialah kerana mereka memiliki akses dan terdedah kepada pelbagai jenis maklumat.

Pengundi di kawasan Bandar dan kawasan-kawasan yang pesat membangun mempunyai alternative yang luas terhadap maklumat. Mereka tidak mudah diperbodohkan oleh media berat sebelah oleh pembangkang mahupun kerajaan. Dalam era teknologi maklumat yang pesat membangun, rakyat terdedah kepada maklumat yang benar dan banyak.


 
Sebut mengenai kuasa Sultan, tulisan Jawi, ekuiti ekonomi orang Melayu, penjagaan terhadap tanah rezab orang Melayu, dan yang terbaru isu perlaksanaan undang-undang syariat Islam, tiada dalang utama selain UMNO dan Barisan Nasional. Maka jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional ibarat pagar, pagar makan padi.
 

Tidak kurang dari kalangan mereka yang masih di takuk lama, enggan berubah kerana kemajuan Malaysia kononnya terletak di tangan UMNO-BN. Sekali lagi, ramai yang lupa, dan sengaja membutakan mata kerana angka prestasi ekonomi Negara tidak seindah khabar yang diberikan oleh UMNO-BN

Malaysia mencatatkan deficit dalam belanjawan Negara untuk kali ke 12 berturut-turut. Jabatan Audit Negara juga melaporkan bahawa hasil kutipan balak mahupun pasir di negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat bertambah dan menunjukkan angka yang jauh lebih baik berbanding ketika di bawah pengurusan UMNO-BN.

Jika dahulu, mungkin tidak ramai yang tahu fungsi Jabatan Audit Negara, maka tidak ramai yang memberikan tumpuan terhadapnya. Kini, Jabatan Audit Negara menjadi antara senjata utama yan digunakan untuk menghukum pihak yang menyalahgunakan kuasa dan kepentingan. Maka Kebangkitan dan kesedaran rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi, kerana Jabatan Audit Negara mendedahkan bahawa pendapatan Negara meningkat, serentak dengan itu, hutang Negara juga mencatatkan peningkatan.

Persoalannya, mengapa pendapatan Negara meningkat, hutang Negara juga meningkat? Paling pelik, rakyat “dipaksa” untuk membantu mengurangkan hutang dengan perintah “jimat” dan kenaikan harga barang. Pada masa yang sama, Menteri-menteri dan isteri-isteri juga keluarga, dilaporkan terus berada dalam keadaan bermewah-mewah. Apakah pemimpin UMNO-BN menyangka bangkai gajah dapat ditutup dengan sehelai daun?

Mungkin UMNO-BN sudah lupa mengenai bagaimanakah yang dikatakan dengan urustadbir negara yang berkesan. Mereka kini lebih kerap menggunakan media untuk mengaburi mata rakyat, namun mereka lupa bahawa rakyat mempunyai “telinga” dan “mata” yang tersendiri untuk melihat dan mendengar apakah sebenarnya yang telah, sedang dan apa pula yang sepatutnya terjadi.

Urustadbir kerajaan di bawah kepimpinan Melayu UMNO-BN sangat lemah kerana mereka tidak pernah belajar dari kesilapan. Bukankah cendekiawan pernah mengingatkan, kita tidak boleh mengharapkan hasil yang berbeza untuk usaha yang sama? Begitulah UMNO-BN, masih dengan taktik lapuk dan kunonya, kononnya cuba membutakan dan memekakkan rakyat.

Rakyat tidak mudah tertipu dengan sogokan RM500, sedangkan mereka sedar bahwa mereka sedang menanggung ribuan hutang yang disebabkan oleh kegagalan urustadbir Negara. Rakyat tidak mudah dikaburkan dengan keenakan slogan Transformasi, ketika kezaliman jentera penguatkuasa kerajaan begitu jelas terasa dan kelihatan.

Bagaimanakah rakyat ingin berasa selesa berada di sebuah Negara yang sama sekali tidak mendaulatkan undang-undang, apabila undang-undang hanya berkesan terhadap rakyat dan dolongan bawahan, tetapi tidak lut kepada pimpinan atasan. Rakyat masih menunggu jawapan daripada pembanteras jenayah rasuah Negara terhadap isu National FeedLot yang menelan RM250juta duit mereka. Dimanakah nilai kedaulatan undang-undang di sisi pemimpin UMNO-BN?

Baru-baru ini, ratusan ribu rakyat berhimpun ketika malam sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-55. Setelah 3 kali himpunan besar Bersih diadakan, merea berhimpun lagi, kali ini menagih janji Kerajaan ditepati. Rakyat menuntut agar janji menegakkan kembali demokrasi di Malaysia. Di manakah telinga pemimpin UMNO-BN yang sepatutnya menjadi tempat luahan hati rakyat? Apakah ratusan ribu yang berhimpun itu bukan rakyat Malaysia, atau telinga UMNO-BN hanya untuk Melayu, atau mungkin UMNO-BN telah dipekakkan oleh laungan transformasi yang mereka bangga-banggakan?

Apakah mereka lupa, pemimpin yang baik ialah pendengar yang baik? (A Good leader is a good listener). Berkali-kali ditekankan, pemimpin yang mendengar luahan rakyat dan mereka yang dipimpin di bawah mereka, bukanlah pemimpin yang lemah atau pemimpin yang tidak mempunyai kuasa pengaruh ke atas rakyatnya. Bahkan, kesediaan dan kesudian pemimpin mendengar luahan hati rakyat menunjukkan kewibawaan dan keberanian pemimpin tersebut untuk memberikan khidmat yang terbaik. Responsif juga merupakan cirri-ciri urustadbir yang berkesan.

Apalagi dalam ruang lingkup sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi, kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan rakyat tidak kira dari lapisan mana sekalipun. Mendengar tidak semestinya patuh. Demikian contoh yang diberikan oleh Allah Ta’ala dalam kisah Ratu Balqis yang bermesyuarat dengan para pemimpin negaranya, membuka ruang komentar, sekalipun Ratu Balqis sebenarnya telahpun mempunyai pandangan yang jauh lebih baik dan tepat.

JIka UMNO-BN sudah tidak mempunyai ingatan yang baik, eloklah saya ingatkan, bahawa tadbir urus yang baik mempunyai 8 ciri-ciri utama. Ia adalah penyertaan, berorientasikan konsensus, bertanggungjawab, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta mematuhi kedaulatan undang-undang. Ia menjamin bahawa rasuah diminimakan, pandangan kaum minoriti diambil kira dan bahawa suara-suara yang paling lemah dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga responsif kepada keperluan masa kini dan masa depan masyarakat.

Melihat kepada cirri-ciri urus tadbir yang baik, tiada satu pun yang boleh dicontohi daripada kepimpinan UMNO-BN. Semuanya adalah slogan-slogan sumbang, yang rupanya tidak seindah apa yang dikhabarkan.

Justeru, pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, terhadap orang Melayu wajar disambut dengan baik oleh kesemua rakyat Malaysia. Orang Melayu menjadi sasaran utama terhadap seruan perubahan ketika ini, namun malang sekali, UMNO masih bebas melakukan kerosakan kerana “keris melayu” masih memberikan sokongan.

# Penulis adalah Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...