Monday, September 17, 2012

Senjata Umno-BN Sebenarnya Kekuatan Pakatan


Hutang Talam, bekalan air dan kutipan galian pasir merupakan isu yang akan memudaratkan Umno-BN sendiri bagaikan senjata yang akan melutup di muka tuannya.

Ini respon pemimpin Pakatan Rakyat terhadap rancangan Umno-BN untuk menggunakan isu-isu tersebut sebagai “resipi” perang saraf dalam kempen gabungan itu untuk menawan-kembali Selangor di dalam pilihanraya akan datang.

Isu-isu tersebut merupakan antara kejayaan kerajaan Pakatan dalam empat tahun mentadbir Selangor.



Ketiga-tiga isu tersebut juga merupakan bukti salah urus tadbir kerajaan Umno-BN Selangor yang dulu, di mana hasil dan kekayaan negeri diberikan kepada kroni manakala risiko dan kerugian di tanggung rakyat.

Contohnya kata MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, di dalam isu hutang Talam, kerajaan Umno-BN dulu telah memberikan sebanyak 7,000 ekar tanah kepada syarikat itu yang merupakan kroni MCA.

Sebelum Pakatan menakluk Selangor, Kerajaan Umno-BN yang sama juga telah berniat untuk (melupuskan) dan tidak mengutip hutang Talam yang bernilai RM 392 juta kepada tiga anak syarikat kerajaan Selangor, kata Dr Dzulkefly.

Dalam masa empat tahun, Kerajaan Selangor telah berjaya mengutip balik hutang tersebut yang gagal diselesaikan kerajaan Umno-BN sejak 2005.
.

“Kita akan londehkan salah urus tadbir oleh Umno-BN dalam isu Talam. Mereka sebenarnya takut dengan kami dalam isu ini.

“Apabila mereka ajak berdebat, kami pergi,” kata Dr Dzulkefly, merujuk kepada debat isu Talam di Bandar Tun Razak pada 12 Sept di mana Dr Dzulkefly dan tiga pemimpin Pakatan yang lain dihalang untuk berdebat dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong.

“Mereka boleh ambil peluang itu untuk memalukan kami di depan penyokong kami dan penyokong mereka. Tetapi mereka takut dan tidak benarkan kami berdebat,” kata Dr Dzulkefly.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan gagal menyelesaikan ketiga-tiga isu ini dan kegagalan itu telah menjadi “ramuan” untuk Umno-BN menawan kembali Selangor.

Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei pula mencabar Muhyiddin untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) sekiranya terdapat bukti salahlaku Pakatan dalam pengurusan galian pasir.

Ujar Shuhaimi, SPRM sendiri telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada bukti penyelewengan dari pihak Kerajaan Selangor atau syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang menguruskan kutipan royalti hasil pasir.

Semasa pentadbiran Pakatan royalti kerajaan negeri dari pasir meningkat kepada RM32.5 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011, berbanding hanya RM12.51 juta dari tahun 2005 – 2007 dibawah Umno-BN.

“Sebaliknya saya cabar Muhyiddin untuk menjawab dakwaan berlaku curi pasir besar-besaran di Johor untuk di ekspot ke Singapura.

“Ini terang-terang berlaku di Johor, tempat kelahiran Muhyiddin,” Shuhaimi berkata. Muhyiddin, yang juga MP Pagoh, adalah seorang bekas Menteri Besar Johor.”

Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar pula berkata pengurusan bekalan air Selangor sebenarnya merupakan lagi satu kejayaan bagi Pakatan Selangor di mana ia mampu memberi air percuma 20 metre padu selama empat tahun.

“Bila kita mulakan skim tersebut, Umno-BN kata Selangor akan bankrap dalam setahun.

“Sekarang empat tahun dan bukan sahaja kita boleh teruskan skim tersebut, kita sudah naikkan rizab simpanan negeri sebanyak RM 2 bilion,” kata beliau yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

“Kita terus memberi air percuma dan ini tidak akan dihentikan dan saya percaya rakyat Selangor menyedari hakikat ini”.-Selangorku.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...