Tuesday, September 25, 2012

Royalti ajak Najib debat isu royalti minyak


Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) mengajak Datuk Seri Najib Razak ke Pentas Pidato Tuntut Royalti ke Putrajaya pada 2 Oktober ini.

Presiden Royalti, Nazri Deraman berkata, ia bagi membolehkan Perdana Menteri menyatakan pendirian berkenaan isu tuntutan royalti membabitkan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, selain Najib, semua pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional turut dijemput ke program itu yang diadakan di Dataran Shah Alam, Selangor.


“Setakat ini pemimpin yang sudah memaklumkan kesudian, antaranya adalah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang,” kata Nazri pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Program tersebut adalah sebahagian dari acara Konvoi Tuntut Royalti ke Putrajaya pada 2 hingga 4 Oktober ini sempena perbicaraan kes saman Kerajaan Kelantan terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti petrolem pada jam 9 pagi di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Royalti juga akan menyerahkan referendum 150,000 tandatangan rakyat Kelantan kepada Perdana Menteri semasa program tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kombinasi usaha dari Royalti menunjukkan ikhtiar berterusan Ahli Parlimen dan kerajaan negeri mewakili rakyat Kelantan untuk menuntut bayaran royalti mereka.

“(Justeru) Kerajaan Pusat perlu hormat perjanjian (dahulu) yang berkaitan dengan hak rakyat.

“Ini adalah permintaan dan keprihatinan yang sah, juga melalui cara yang sah mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Exco Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan beliau dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, khususnya dari Kelantan akan menjadikan tuntutan royalti sebagai isu utama dalam perbahasan kali ini.

“Saya harap isu ini termasuk dalam ucapan Najib semasa pembentangan (Belanjawan 2013) Jumaat ini, jika benar beliau (laksanakan) slogan ‘Janji Ditepati’,” katanya.-Keadilandaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...