Pemuda PAS Kelantan sekali lagi tampil membuktikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) cuba bermain politik dalam isu khutbah Jumaat dan Aidilfitri.
Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Maik pada 31 Ogos lalu bertajuk “Hari Kemerdekaan” didapati mengandungi beberapa saranan dan sindiran berbentuk politik sehingga menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan banyak pihak.
Antaranya berbunyi “Jagalah kemerdekaan, jagalah bangsa, selamatkanlah agama, selamatkan negara daripada sebarang anasir yang sanggup menjadi tali barut kuasa luar, kuasa asing yang memang tidak putus asa untuk memerintah negara ini.
“Kalau negara ini jatuh lagi ke tangan orang lain maka untuk mengambil semula, untuk bangun kembali, bangsa kita, umat kita, akan berhadapan dengan jalan yang amat sukar. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan mustahil dapat merampas kembali”.
Pengarah Jabatan Kerajaan dan Swasta, Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, ungkapan yang ditulis Maik dalam khutbah tersebut secara mudah dapat ditafsir orang ramai.
Katanya, ahli-ahli jemaah tertanya-tanya kepada siapakah sindiran tersebut ditujukan.
“Apakah teks khutbah Jumaat Maik menganjurkan supaya bangsa Melayu memaksakan kehendak mereka dan tidak lagi perlu mengambil kira pendapat dan sensitiviti bangsa-bangsa lain dalam mengharmonikan kehidupan masyarat.
“Saya berharap Timbalan Yang Dipertua Maik meneliti terlebih dahulu teks khutbah Jumaat Maik sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa ia bebas daripada sebarang unsur politik,” katanya di sini.
Sebelum ini pelbagai pihak mempertikaikan khutbah Aidifitri dikeluarkan Maik kerana secara jelas mempamerkan sikap berpihak dan bertentangan dengan aspirasi kerajaan negeri.
Ekoran itu ramai khatib menokok tambah khutbah tersebut supaya isinya lebih segar, namun Maik pula dalam satu kenyataan dilaporkan mahu mengambil tindakan terhadap imam terbabit.
Dr Rosli berkata, masyarakat yang celik politik sekarang dapat mengasosiasikan kenyataan-kenyataan tersebut dengan pihak yang ingin dikaitkan.
“Maik bukan sahaja tidak boleh berpolitik tetapi ia juga tidak boleh dilihat sebagai berpolitik.
“Persepsi masyarakat sekarang Maik telah mula berpolitik dalam teks khutbah dengan menyeru secara halus mereka supaya menolak pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya apabila persepsi sebegini wujud maka kredibiliti Maik di mata masyarakat sudah tentu akan terjejas.
“Saya juga menyeru Mufti Kelantan selaku Pengerusi Panel Penyedia Teks-Teks Khutbah Jumaat Maik supaya dapat mengambil tindakan segera.
“Sebarang persoalan yang berbangkit sepatutnya perlu dijelaskan. Bagi sesiapa yang mahu berpolitik eloklah mereka segera meletak jawatan dan terjunlah ke dunia politik.
“Jangan pula hanya berani berselindung di sebalik institusi tertentu untuk menghentam pihak-pihak lain secara bersembunyi,” ujarnya.-Harakahdaily
Aku hanya mencari kebenaran demi keadilan sejagat. Dilahirkan di bumi tuhan sebagai insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Negara ini penuh penipuan dengan cerita cerita dongeng dan sandiwara oleh orang politik. Kehidupan mereka penuh khayalan dengan memperkayakan diri tanpa simpati pada yang daif. Mereka angkut hasil bumi tuhan dari titik peluh rakyat untuk kepentingan mereka. Mandat rakyat dijadikan modal politik usang untuk memperkayakan kroni. Rakyat harus tolak pemimpin-pemimpin ini
No comments:
Post a Comment