Friday, September 28, 2012

Skandal mata wang: AMK tuntut Bank Negara jawab kerugian RM5.7b


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Gabenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjelaskan kerugian RM5.7 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) melalui dagangan mata wang asing atau forex seperti yang didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Parlimen Isnin lalu.

Tuntutan itu antara kandungan memorandum yang diserahkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kepada BNM, hari ini.

“Secara rasmi kami serah memorandum ini kepada Gabenor BNM melalui Pengarah Strateginya menuntut BNM mendedahkan siapa yang mengarahkan Tan Sri Jaffar Hussein menghentikan serta merta amalan perniagaan tukaran mata wang Malaysia,” kata Shamsul.


BNM juga dituntut menjelaskan berhubung penyelewengan mata wang secara besar-besaran.


“Adakah berlakunya penyelewengan mata wang secara besar-besaran dengan penglibatan atau sebarang campur tangan atau penyembunyian fakta dan aktiviti pertukaran perdagangan pasaran asing yang akhirnya menyebabkan Tan Sri Jaafar meletakkan jawatan,”
kata Shamsul.

Katanya, dengan pendedahan dan penjelasan berhubung penyelewengan itu dapat membersihkan nama Anwar yang sengaja dikaitkan dengan kerugian wang tersebut padahal beliau waktu itu masih belum dilantik Menteri Kewangan.

“Ini bagi membersihkan nama baik Ketua Pembangkang selaku Menteri Kewangan (1991-1998) sebelum dipecat pada 1998, kononnya terlibat dan bertanggungjawab dengan aktiviti penukaran mata wang asing sehingga menyebabkan kerugian.


“Padahal kerugian itu dilakukan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) atas restu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah seksyen forex seliaan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang kini menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyelia Unit Perancangan Ekonomi,”
katanya.

Keadilan Daily sebelum ini melaporkan arahan diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein untuk mengundurkan diri ekoran krisis kerugian RM30 bilion akibat urusniaga pertukaran asing pada 1992.

Kata Anwar, meskipun menyebabkan kerugian, Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu mempertahankan skandal berkenaan.

Anwar juga menegaskan bahawa individu utama dalam kes tersebut ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan juga Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai Jabatan Perdagangan Mata Wang di Bank Negara ketika itu.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...