Saturday, September 15, 2012

Kereta import tetap murah walau AP dibida secara terbuka – Rafizi


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata harga kereta import masih boleh dijual murah walaupun permit import dibida secara terbuka

Beliau berkata, ia mengelakkan manipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berlebihan hingga menyebabkan harga kereta melambung tinggi.

Menurut beliau, hasil bayaran AP yang diterima kerajaan boleh digunakan bagi menampung kos menghapuskan cukai kereta dan bukannya tersekat di tangan orang tengah.



“Apabila cukai kereta dihapuskan, secara automatik harga kereta akan jatuh sekurang-kurangnya 50% walaupun harga AP ditentukan secara bidaan terbuka.

“Sekarang pun setiap AP dijual pada harga RM40,000 hingga RM60,000 iaitu sama dengan harga AP bila dibuat secara bidaan terbuka.

“Bezanya, sekarang ini hasil dari AP masuk poket orang yang berkepentingan dan menidakkan hak rakyat untuk membeli kereta pada harga yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas persoalan dibangkitkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, kononnya harga kereta import tidak boleh diturunkan jika pembida AP menawarkan harga tinggi.

Menerangkan lebih lanjut, Rafizi mengambil contoh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang membeli sebuah kereta import menerusi AP yang diperolehinya sebagai Ahli Parlimen.

“Beliau (Pua) membayar hanya RM100,000 untuk mengimport kereta Nissan Juke. Harga sebenar kereta dan bayaran penghantaran melalui kapal adalah RM45,000.

“Baki RM55,000 adalah bayaran kepada kerajaan akibat duti eksais pada kadar 85%, cukai jualan 10% dan duti import sebanyak 30%,” katanya.

Rafizi berkata, Pua bernasib baik kerana beliau hanya membayar RM100,000 untuk kereta itu melalui AP sendiri, berbanding membeli kereta yang sama dari pengedar kereta tempatan berharga RM160,000.

Katanya, perbezaan harga RM60,000 adalah kesan sistem AP yang tidak telus hingga pemegang lesen AP boleh mengaut keuntungan atas angin berlipat kali ganda.-Keadilandaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...