Jelas ini bukanlah petanda demokrasi yang sihat, malah adalah petanda kerendahan minda dan jiwa pimpinan kerajaan untuk berhadapan dengan realiti apabila tidak yakin dengan sokongan rakyat.
Sampai bilakah budaya seperti ini akan dikekalkan kerana ia adalah suatu cara membohongi bukan sahaja rakyat malah kerajaan sendiri.
Kami mendapati betapa kerajaan kali ini mengguna habis-habisan semua kakitangan kerajaan untuk memastikan kehadiran mencapai bilangan yang akan digahkan sebagai perhimpunan yang berjaya.
Tidak cukup dengan surat arahan dan amaran bahawa tindakan boleh diambil jika tidak hadir, malah kakitangan juga ada yang diberi peruntukan kewangan untuk memastikan mereka tidak ponteng dalam acara bersandiwara menyokong kerajaan.
Dari acara menyambut hari Kemerdekaaan sehingga kepada majlis jamuan Hari Raya, dari perhimpunan belia sehingga acara sambutan hari kebesaran negara; beratus juta ringgit dikeluarkan untuk meramaikan majlis tanpa berfikir mengenai implikasinya.
Tidak cukup dengan itu nampaknya pihak kerajaan merestui pendekatan samseng yang semakin menunjukkan bayangan bahawa kerajaan yang ada sedang terdesak sehingga tidak lagi membatas tindakan untuk mempertahankan kuasa, iaitu dengan apa cara sekali pun termasuk kekerasan.
Sangat memalukan kini pihak parti yang bersungguh untuk mempertahankan kuasa di Putrajaya sedang bermati-matian untuk menghalalkan semua cara termasuk pendekatan terorisme untuk menakutkan rakyat.
Lebih malang lagi pihak polis yang begitu cepat bertindak jika ada laporan dilakukan terhadap pihak pembangkang, nampak sangat berlengah jika keganasan yang jelas dilakukan oleh penyokong kerajaan dilaporkan di seluruh Negara.
Soalnya apakah kerajaan yang sudah memerintah selama 55 tahun ini terlalu rapuh dan sudah terlalu lemah daya berhujah sehingga terpaksa mengguna politik samseng, politik fitnah dan politik adu domba antara kaum.
Lebih memalukan lagi ialah bila yang diperkuda ialah anak-anak muda bangsa Melayu. Bukan sahaja ia menghina daya berfikir generasi muda malah juga merendahkan adab dan tatasusila budaya orang Melayu yang dipertonton kepada kaum lain.
Teras sangat kesal dan mengecam keras kepimpinan Melayu yang berdiam diri terhadap budaya politik tidak senonoh dan ganas. Cukup bangsa Melayu ini ditelanjang dengan budaya fitnah dan lucah yang sangat menjijikkan, kini kerajaan yang diteraju oleh orang Melayu pula mendidik anak muda bangsanya sendiri untuk berperilaku dengan budaya politik samseng jalanan yang sangat menjijikkan.
Teras berpendirian jika pemimpin-pemimpin Melayu yang bersekongkol dengan budaya politik samseng ini tidak memperbetulkan pengikutnya dengan perangai yang melambangkan budaya Melayu, maka tidak ada masa depan lagi untuk bangsa Melayu dihormati.
Kini seluruh tenaga nampaknya terpaksa berhadapan dengan cabaran politik gangster ala mafia yang diperlihatkan kepada dunia.
Pihak pimpinan kerajaan dengan mudah berselindung di sebalik NGO asobiyyah fanatik bila berlaku provokasi untuk bertindak ke atas pihak pembangkang.
Akibat ketandusan ide untuk berhujah dengan matang dan dewasa, pimpinan kerajaan memilih untuk mencari jalan pintas mewujudkan ketegangan awam dan dengan itu boleh beralasan untuk merempuh seluruh hak politik dan hak asasi manusia di kalangan rakyat yang menuntut perubahan.
Penulis ialah Presiden Teras
No comments:
Post a Comment