Wednesday, September 19, 2012

PRU 13 penentu survival politik Najib, Umno BN


Kenyataan Datuk Seri Najib Razak mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) sebagai penentu survival politik bangsa Melayu kerana beliau sangat takut kehilangan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Najib itu bertujuan menimbulkan ketakutan kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa apabila Umno BN tewas dalam pilihan raya nanti.


“Umno sebenarnya yang takut kehilangan kuasa, sebab itu mereka menakut-nakutkan Melayu. Pendekatan ini dibuat secara halus untuk menanam kebencian bangsa Melayu kepada bangsa lain.

“Apabila perkara ini terjadi, Umno BN berharap orang-orang Melayu akan mengubah pendirian dan kembali menyokong mereka kononnya disebabkan survival Melayu,” katanya pada sidang media di pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Kelmarin, pada majlis penutup Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pekan, Najib berkata, PRU 13 bukan sebarang pilihan raya, kerana ia penentu survival bangsa Melayu.
Presiden Umno itu berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa hanya Umno yang menjadi parti teras dalam Barisan Nasional (BN) yang akan dapat meneruskan perjuangan bangsa dan agama.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Najib hanya berselindung di sebalik survival Melayu bagi memastikan rejim Umno BN kekal berkuasa.

Katanya, selama 55 tahun Umno BN memerintah, bangsa Melayu masih mundur berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini.

“Kalau benar mereka memperjuangkan Melayu, bangsa Melayu sudah maju. Tetapi hakikatnya Melayu masih terkebelakang. Ekuiti dan pemilikan hartanah orang-orang Melayu masih lemah.

“Ini disebabkan Melayu tidak pernah mengubah pemerintahan. Sebaliknya yang senang lenang adalah pemimpin dan juga kroni Umno,” katanya.

Justeru beliau berharap, rakyat tidak terpedaya dengan penipuan halus Umno BN dan bersedia memerdekakan diri daripada rejim yang kini semakin tenat.-Keadilandaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...