Monday, September 24, 2012

Suaram, Scorpene, Altantuya dan dana asing - Aspan Alias.

Isu Suaram dengan tuduhan terhadapnya mendapat bantuan dana asing hebat dimainkan oleh pihak BN. Selepas ini tidak tahu apa pula yag akan dihadapi oleh Suaram dan NGO-NGO yang lain yang tidak sebulu dengan pihak yang berkuasa. Najib berkata biarkan pihak yang berkuasa melakukan penyiasatan. Katanya, lagi kurang kita bercakap lagi baik.

Tindakan berkuasa terhadap Suaram bukanlah satu isu mengejutkan kerana Suaram membuatkan ada pihak yang ‘mandi tak basah dan tidur tidak lena’ dibuatnya. Suaram ada isu yang besar yang diketengahkannya dan ia melibatkan pemimpin-pemimpin dan kroninya dalam isu komisyen pembelian Scorpene yang besar itu. Isu komisyen itu menghasilkan pembunuhan Altantuya Shaaribu, seorang wanita jelita yang dikatakan berkaitan dengan pemimpin besar negara kita.


Isu Altantuya tidak dapat tidak terpaksa dibongkar. Isu pembayaran komisyen Scorpene dan Altantuya itu kait mengait dan kedua-dua isu itu tidak dapat dipisahkan jika kita mahu menyiasat salah satu darinya. Siasat satu akan melibatkan lagi satu isu dan kedua-dua isu itu merupakan isu yang akan membabitkan tindakan jenayah pihak-pihak tertentu yang berada di atas persada kuasa negara kita.
.
Jika isu penyaluran dana asing itu benar-benar salah ia mestilah ada peruntukan yang menunjukkan yang penerimaan itu salah mengikut undang-undang kita. Saya bukan seorang peguam dan saya tidak tahu untuk membuat komen terhadap isu penyaluran dana asing itu.

Tetapi Suaram mesti teruskan meneliti tentang penyaluran wang rakyat terhadap penerima rasuah dan kroni kepimpinan yang terlibat seperti yang disebut-sebut bukan sahaja oleh kita tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. Isu Scorpene dan Altantuya ini juga satu penyaluran dana dari kantung rakyat kepada kumpulan yang tamak haloba yang sanggup menjahanamkan wang rakyat yang bersusah-payah membayar cukai kepada perbendaharaan negara.

Jika Suaram menghadapi isu ini, ia adalah disebabkan tindakannya untuk membongkar penyelewengan dan jenayah negara. Malahan isu yang dibawa oleh Suaram sehingga ke negara Perancis, negara yang membekalkan kapal selam Scorpene itu adalah lebih penting, apatah lagi jika ia membabitkan isu kehilangan nyawa seorang wanita yang berkait dengan pembelian kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak dapat menyelam itu.

Orang ramai merasakan oleh kerana ketelusan pentadbiran kerajaan Perancis itu maka tidak ada apa-apa yang akan dilindungi dan ia akan membolehkan kita menyelami segala isu-isu yang berbangkit tentang jenayah yang berlaku dalam skandal besar ini.

Rakyat jangan terbawa-bawa dengan tindakan pihak berkuasa di sini kerana tindakan terhadap Suaram itu tidak lain dari isu hendak memalingkan pandangan dan tumpuan rakyat terhadap isu yang sangat sensitif ini.

Kita dapati Suaram mendapat sokongan moral dari banyak NGO-NGO tanahair kerana Suaram begitu berani untuk membongkar isu Scorpene ini hingga ke akar umbinya. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang menyebabkan isu ini timbul dan kenapa sampai ada nyawa yang melayang kerananya.

Pembunuh kepada Altantuya telah pun mendapat keputusannya ia itu, mereka dijatuhkan hukuman mati, tetapi apa yang tidak langsung disebut dalam perbicaraan itu ialah ‘motive’ pembunuhan itu.

Kita mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Aspanalias.net

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...