Monday, December 24, 2012

“Tanah untuk DAP Perak di Kelantan”: Nik Aziz perjelas fitnah UMNO


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyangkal tuduhan kononnya Kerajaan Negeri Kelantan memberi habuan tanah seluas 10,526 hektar di Gua Musang kepada Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham supaya kerusi Menteri Besar Perak diberi kepada PAS.

Tuduhan yang dianggap fitnah jahat UMNO menjelang Pilihanraya Umum ke-13 itu ditepis Menteri Besar Kelantan sambil menyatakan pihaknya mungkin akan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari; kawasan terbabit yang terletak di Hutan Simpan Relai, Gua Musang diluluskan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada September 2000, bagi menjana pendapatan untuk menampung urusan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di sekolah seliaan yayasan itu.

“Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2000, Pakatan Rakyat masih belum wujud dan masih belum membentuk kerajaan negeri di Perak,” ujar beliau.

Nik Aziz berkata, tawaran kepada syarikat Upayapadu Sdn Bhd (pada masa itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Wong Yeon Chai) pula dibuat melalui surat YIK bertarikh 28 Ogos 2005 manakala perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006, hampir dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

Menafikan tuduhan itu, pejabat Menteri Besar Kelantan menegaskan bahawa tanah berkenaan bukan habuan kepada DAP, sambil menambah bahawa perjanjian dengan Upayapadu Sdn Bhd bertarikh 3 Mei 2006 dan pertukaran komposisi lembaga pengarah syarikat itu pada Mei 2012 adalah tidak relevan dengan tarikh pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Menurut beliau lagi, dakwaan blog Pisau.net bahawa ‘sekelip mata mereka memperoleh 10,526 ekar dengan nilai pasaran melebihi RM30 juta’ juga adalah salah memandangkan tanah itu hanya dipajak dan tidak diberi hak milik.

“Pajakan pula hanya dalam tempoh 50 tahun. Blogger terbabit wajib mengemukakan salinan geran tanah sebagai bukti tanah terbabit dipindah milik,” ujarnya.

Menurutnya, barangkali UMNO meletakkan pihak lain seperti mereka di mana setiap perkara memerlukan habuan dan balasan. Dalam hal ini, menarik juga untuk dibincangkan apakah habuan yang diperolehi UMNO ketika memberi laluan kepada parti Gerakan untuk mengisi kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu,” tambah beliau. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...