Wednesday, December 19, 2012

Pakatan: Ibrahim Ali cemas takut karier politiknya terkubur

Ibrahim Ali menyeru ahlinya menyokong MCA walaupun Presidenya pernah menguriskan hati orang islam dengan menghinakan hukum hudud
Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengatakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali (gambar) dalam keadaan “cemas” hingga terpaksa mengarahkan ahlinya menyokong MCA dalam pilihan raya nanti walaupun parti tersebut sering mengguris hati orang Islam dan kaum Melayu.

Walaupun menyedari MCA sebagai lantang mengkritik orang Melayu dan Islam, Ibrahim menyeru ahlinya mengenepikan perkara tersebut demi kemenangan Umno dan BN pada persidangan Perkasa hujung minggu lalu.“Dia (Ibrahim) sudah cemas.


“Pilihan raya kali ini mungkin yang terakhir buatnya sebab itu dia berkata demikian, kariernya politiknya akan terkubur,” kata Senator Dr Ariffin SM Omar kepada The Malaysian Insider.

Ariffin juga mengecam Ibrahim yang sering menuduh DAP sebagai anti Melayu dan Islam, tetapi demi kepentingan diri sendiri sanggup mempertahankan MCA hanya kerana mahu menang pilihan raya nanti.

“Ibrahim Ali perlu beri sebab kenapa orang Melayu perlu sokong MCA. Atau adakah ini kerana kepentingan politik?” kata Ariffin yang baru dilantik ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

Ahli parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad pula memberitahu The Malaysian Insider kenyataan Ibrahim bukan sesuatu diluar jangkaan memandangkan kesetiaan ahli parlimen Pasir Mas itu kepada Umno dan BN.

Khalid mendakwa presiden Perkasa tersebut tidak mempunyai “wawasan politik” dan masih lagi mengamalkan sikap politik “lapuk” untuk meraih sokongan.

“Ini membuktikan Ibrahim Ali tidak mempunyai wawasan politik, kaedah yang digunakannya sudah lapuk dan lama,” kata Khalid.

“Ia bukan sesuatu yang menghairankan, ini membuktikan beliau menyokong kezaliman sekalipun melanggar prinsip Islam dan menghina orang Melayu.”

Menurut Khalid, perkara tersebut adalah formula Umno dalam BN yakni penguasaan ke atas MCA dan MIC membolehkan mereka menjadi tuan kepada kedua-dua parti tersebut.

“Inilah formula Ketuanan oleh Umno dalam BN, mereka menguasai MCA dan MIC supaya dapat menjadi tuan kepada mereka.“Ia bukti beliau sanggup mengadai apa sahaja demi Umno,” tegas Khalid.

Pada Oktober lalu, media melaporkan Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Heng Seai Kie berkata bahawa PAS menggalakkan rogol kepada wanita yang tidak menutup aurat dalam ucapannya pada perhimpunan agung MCA.

Kenyataan tersebut juga mendapat sokongan oleh presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek hingga menyebabkan tercetus kecaman hebat daripada parti Islam tersebut dan penyokongnya.

Walaubagaimanapun, tiada satu pun badan bukan kerajaan Melayu yang pro-Umno seperti Perkasa, Pekida, Jati dan lain-lain tampil mengulas mengenai isu tersebut.

“Tuan-tuan jangan terasa atau terguris hati, saya lagi terguris bila pemimpin-pemimpin MCA buat macam-macam kenyataan.

“Tapi saya tahu, kenyataan-kenyataan oleh MCA itu demi menangkis sikap Chauvinis daripada DAP,” kata Ibrahim pada persidangan NGO tersebut hujung minggu lalu.

“Justeru saya akan pastikan dan menyeru anggota Perkasa di peringkat akar umbi supaya memberi sokongan kepada calon BN termasuk calon MCA.”

Walaupun menggesa supaya memberi sokongan kepada MCA, Ibrahim pada masa sama mengatakan komuniti Cina akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara sekiranya mereka berkuasa dalam politik dan ekonomi dan akan mengulangi insiden 13 Mei 1969.

Beliau turut menafikan dirinya dan Perkasa sebagai rasis kerana mendakwa mereka hanya mempertahankan apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketua penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty berkata presiden Perkasa itu berhak untuk berkata apa sahaja tetapi yakin pengundi sudah matang untuk memilih.

“Itu adalah hak Ibrahim Ali tapi rakyat Malaysia juga mempunyai hak untuk memilih. Jadi rakyat juga berhak memilih,” ujar beliau.-MalaysianInsider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...