Thursday, December 20, 2012

Najib perlu jelaskan RM196.8b aliran wang haram


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari negara ini pada tahun 2010 yang meletakkan negara ini di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

“Jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur dan tidak mampu mengambil tindakan mengatasi jenayah ini maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan,” kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Ini, ujarnya adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh daripada Menteri Kewangan.

Tambahnya, di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.


Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan ekoran laporan badan pemantau - Global Financial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington - dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal, berkata tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.


Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia - dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

Pemantau kewangan global itu telah memberi amaran bahawa pengaliran modal di Malaysia adalah "pada skala yang dilihat di beberapa negara Asia".

Laporan GFI - 'Aliran Kewangan Haram Dari Negara Membangun: 2001-2010' - dihasilkan bersama oleh ahli ekonomi GFI, Sarah Freitas dan Dev Kar, yang merupakan bekas ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun - dari 2001-2010 - Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion dan Mexico, AS$476 bilion.

“Ekonomi negara kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak diatasi dengan tegas bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang negara berlaku tanpa kawalan,” kata Mohd Azmi lagi.

Sementara, ujar beliau disedari bahawa taktik mengeluarkan wang secara haram sangat banyak dan canggih tetapi persoalannya kenapa aktiviti haram itu menjadi sangat mudah dilakukan di Malaysia.

“Adakah ini membayangkan polisi dan undang-undang mengenai pengurusan kewangan negara mempunyai banyak kelemahan untuk dibolosi atau ada konspirasi di peringkat tinggi wujud yang menyebabkan hal ini boleh berlaku dengan mudah?” tanya beliau.

Beliau berkata, Malaysia telah berhadapan dengan krisis besar dalam kewangan negara pada tahun 1997 apabila berlaku aliran keluar kewangan dengan sangat besar disebabkan apa yang sebut sebagai capital flight.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram,” ujarnya


Ini, katanya menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar.

“Kami mempersoalkan apakah agensi yang bertanggungjawab memantau jenayah wang haram yang mengalir keluar dan masuk dalam negara ini tidak menjalankan tugas dengan berkesan.
“Kami berpendapat Menteri Kewangan harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini. Ia melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, jika menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah itu maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompiten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...