Wednesday, December 19, 2012

Amanat Haji Hadi: Petanda besar parlimen dibubar


Benarlah pandangan beberapa aktivis politik, isu seperti ini adalah petanda ‘kubra’ parlimen akan dibubarkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan media mengenai Amanah Haji Hadi.

Katanya, beberapa kerat individu pemimpin utama parti Pakatan Rakyat akan dipersalahkan dan diburukkan dengan pelbagai kempen negatif.

Ini, ujarnya dengan hasrat supaya rakyat menuding jari terhadap pemimpin tersebut, dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS adalah individu utama yang perlu dijatuhkan hukuman.

Berikut ialah kenyataan beliau.


Umno yang dilihat seperti kelemasan menggunakan teknik bertahan bagi menyelamatkan kedudukannya. Isu lapuk terus dimainkan kembali bagi menghidupkan sisa-sisa survival politik mereka. Kali ini isu Amanat Haji Hadi tahun 1981 diolah kembali supaya ianya bermain di bibir umat Islam di negara ini.

Ternyata isu Amanat Haji Hadi menandakan mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea bagi menangkis serangan isu yang bertali arus. Justeru, bagi menyelamatkan hayat politik mereka, mereka terpaksa memainkan kembali isu itu. Menggunakan institusi agama seperti Jabatan Mufti, beberapa ulama ditampilkan bagi mengukuhkan hujah mereka. Bersuaralah beberapa mufti menggesa agar amanat itu ditarik balik dengan hujah ia adalah suatu bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah. Tuduhan kafir yang dilemparkan dari amanat tersebut dikhuatiri akan berbalik kepada penuduh tersebut.

Bagi seorang ulama dan pemimpin parti politik seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau tahu apa yang beliau ucapkan, kepada siapa beliau ucapkan dan bila kenyataan itu wajar diucapkan. Bahkan, beliau tahu semua hukum berkaitan dengan kenyataan beliau itu. Sebaiknya para ulama tersebut bertemu, bermuzakarah malah berdebat dengan beliau bagi mempertahankan kebenaran. Bermain di sebalik media arus perdana tidak mendatangkan natijah melainkan hanya menjadi gelak ketawa umat Islam sahaja menandakan ketidak beranian pihak yang menuduh Presiden PAS untuk bersemuka.

Umum mengetahui bahawa UMNO adalah seterus politik utama PAS dan Pru ke 13 adalah pertarungan politik kedua parti terbesar di negara ini. Sokongan UMNO dilihat semakin menyusut manakala sokongan kepada PAS semakin bertambah setiap hari. Menyedari PAS semakin berkembang, dipercayai dan diterima baik oleh masyarakat khususnya umat Islam di negara ini dan dengan penyertaan tokoh-tokoh penting ke dalam PAS, mereka mesti melakukan sesuatu untuk melukakan imej positif terhadap PAS.

Isu agama adalah isu paling ampuh untuk menawan hati orang Melayu serta umat Islam keseluruhannya. Dimainkan isu amanat Haji Hadi dengan harapan rakyat akan marah kepada PAS, khususnya kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan PAS keseluruhannya, sebaliknya menaruh simpati kepada UMNO-BN.

Benarlah pandangan beberapa aktivis politik, isu seperti ini adalah petanda ‘kubra’ parlimen akan dibubarkan. Beberapa kerat individu pemimpin utama parti Pakatan Rakyat akan dipersalahkan dan diburukkan dengan pelbagai kempen negatif. Dengan hasrat supaya rakyat menuding jari terhadap pemimpin tersebut, dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS adalah individu utama yang perlu dijatuhkan hukuman.

Sebaiknya UMNO memainkan isu rakyat bagi memenangi hati pengundi dalam menghadapi PRU ke-13. Banyak lagi isu yang perlu dijawab, manakala Umno pula perlu mengorak langkah memberikan suatu tawaran baru yang jauh lebih menarik untuk rakyat berbanding Pakatan Rakyat. Malangnya UMNO sudah tidak ada idea lagi bagi menandingi kehabatan tawaran PR.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...