Tuesday, December 4, 2012

Politik kebencian, ketakutan Najib dan Umno


Dalam tempoh PRU13 yang kian hampir, Umno telah menunjukkan tanda-tanda ketidakyakinan dalam mempertahankan kuasa mereka. Jelas mereka tidak mampu untuk menangkis setiap idea dan dasar kami, lantas menyerang dengan membenih politik kebencian dan ketakutan.

Dengan media arus perdana yang semakin ketandusan isu, Umno sedang memaksimakan setiap helah yang ada untuk memasung agenda perkauman dan ketakutan dalam kalangan rakyat demi mengelak balasan yang bakal menimpa mereka jika Pakatan Rakyat berkuasa kelak.


Perhimpunan Agung Umno yang baru selesai itu adalah pelantar untuk meningkatkan lagi serangan yang berbentuk penipuan dan penghinaan diketuai oleh Perdana Menteri iaitu Presiden Umno sendiri, Dato’ Seri Najib Razak. Kami mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab beliau bahawa Malaysia akan hilang kedaulatannya dalam tiga tahun pertama Pakatan Rakyat memerintah.

Ideanya mudah; memperbodoh-bodohkan rakyat dengan menyuburkan idea bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat adalah pengkhianat yang akan menggadaikan maruah negara demi kepentingan politik. Malah lebih malang lagi apabila idea itu tidak disokong dengan fakta dan hujah yang empirikal, kenyataan Najib adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan hanya dibuat oleh orang yang tidak punya maruah dan moral sama sekali.

Senario simptom ketakutan hilang kuasa ini dimulakan momokkan insiden 13 Mei sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk pemerintahan. Kami mengerti bahawa Ketua Wanita Umno cuba untuk menghidupkan semula kareer politik beliau yang telah pupus akibat didesak untuk meletakkan jawatan dalam skandal ratusan juta NFC. Tetapi dengan menggunakan hujah picisan sebegitu adalah tidak munasabah.

Tindakan menyeru kembali ‘hantu’ 13 Mei itu adalah untuk menimbulkan kebencian antara masyarakat Melayu dengan bukan Melayu, seterusnya menyemai budaya ketakutan dalam kalangan rakyat bahawa pertumpahan darah akan berlaku sekiranya Umno kehilangan kuasa. Hujah tersebut bukan sahaja biadap, malah boleh dianggap sebagai hasutan dan dikategorikan sebagai satu jenayah.

Jelas sekali bahawa Pakatan Rakyat telah muncul sebagai ancaman utama kepada hegemoni Umno-Barisan Nasional, dan ini menyebabkan mereka melancarkan tuduhan liar tentang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya saya sebagai proksi kepada kedua-dua kuasa asing Amerika Syarikat dan China dalam satu masa!

Kenyataan tidak masuk akal itu mungkin lucu, tetapi dengan pengawalan sepenuhnya media cetak dan elektronik, Umno sedang menyebarkan agenda penipuan yang mampu membanggakan Goebbels.

Menggunapakai taktik pengulangan ‘penipuan besar’ ini, media mereka bertujuan untuk menggambarkan kewangan atau perberhandaraan negara mungkin dikawal oleh kuasa luar sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Media Umno juga keterlaluan dengan membakar api perkauman dan agama dengan menyiarkan kenyataan-kenyataan berbaur ekstremis dan rasis daripada perwakilan. Menurut Umno, hanya mereka sahaja yang mampu menjuarai Islam; bukan KEADILAN mahupun PAS. Justeru itu mereka berhujah bahawa gejala murtad akan dilestarikan dan Malaysia akan ditransformasikan menjadi negara Kristian jika Umno pupus pada pilihanraya akan datang.

Ucapan pembukaan Najib dalam Perhimpunan Agung Umno dipenuhi dengan serangan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya ke atas saya dan di dalam gaya bahasa yang tidak sewajarnya dilafazkan oleh seorang yang negarawan. Adakah wajar bagi rakyat untuk terus mempertahankan pemimpin yang tidak mempunyai kaliber seperti itu? Apakah dasar baru yang dibentangkan demi kemajuan negara?

Mana idea untuk ekonomi dan keadilan sosial, kesihatan, perumahan dan pendidikan? Jikalau beliau punyai alasan yang kukuh untuk menyaingi Pakatan Rakyat, beliau sepatutnya menyahut cabaran saya untuk bersemuka dan berbahas, supaya rakyat dapat menilai dengan sebaiknya siapa yang bercakap benar dan siapa yang gemar menipu. Janganlah berselindung di sebalik jentera propaganda murahan kamu dan jadilah anak jantan sebenar sebagai Perdana Menteri dan turun berdebat dengan saya di dalam gelanggang!

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN
3 Disember 2012

K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...