Friday, December 7, 2012

Nasrudin cabar Najib dan Khairy isytihar harta


Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kabinet dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengisytiharkan harta masing-masing sebagai satu usaha untuk memulihkan persepsi rasuah negara.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mencadangkan kepada Perdana Menteri dan para menteri yang melaungkan politik baru pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) supaya mengisytiharkanharta masing-masing. Tidak lupa juga kepada rakan sejawat saya dalam Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata sedemikian setelah Malaysia mencatatkan markah ‘gagal peperiksaan’ 49/100 di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) 2012 yang baru diterbitkan.


“Indeks persepsi rasuah yang baru diumumkan, Malaysia naik 6 anak tangga ke tangga 54 daripada 183 negara. Walaupun saya agak gembira dengan peningkatan ini, kegembiraan itu terbantut apabila melihat markah keseluruhan Malaysia hanya 49 daripada 100 markah.

“Kalau dinisbah kepada pencapaian anak-anak kita dalam peperiksaan 49/100 belumpun mampu meraih markah C,” kata beliau.

Nasrudin berkata markah 49/100 yang diperolehi menunjukkan bahawa rata-rata rakyat berpandangan bahawa rasuah masih membelenggu sektor awam negara ini.

“Maknanya rakyat masih cenderung berpandangan bahawa kebarangkalian berlakunya rasuah yang melibatkan jentera pentadbiran adalah tinggi. Pendapat ini sememangnya bukan semata-mata persepsi atau ilusi, sebaliknya urus tadbir negara khususnya berkait dana awam sememangnya sangat membimbangkan,” kata beliau.

Perkara itu, kata beliau, jelas berlaku dengan laporan audit saban tahun yang mendedahkan berbilion ringgit akibat ketirisan daripada pelbagai projek kerajaan.

Nasrudin juga menyatakan sokongannya kepada cadangan TI-M untuk memperkenalkan akta ketelusan maklumat bagi menjamin ketelusan dalam tadbir urus negara.

Katanya, akta itu bakal membolehkan rakyat tahu dan semak dokumen-dokumen berkaitan supaya sebarang ketirisan dan penyelewengan duit rakyat tidak boleh diklasifikasikan ‘rahsia kerajaan’.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pencapaian Malaysia di Indeks Persepsi Rasuah terbaru ini.

Kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak dalam kes-kes seperti skandal RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dakwaan Bruno Manser Fund (BMF) Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, pendedahan Deepak Jaikishan, PKFZ, ketirisan yang dilaporkan laporan audit dan sebagainya menyebabkan pencapaian Malaysia tidak perlu disorok.

“Dengan pelbagai kesilapan besar dan kelemahan di dalam usaha dan inisiatif membanteras rasuah, Malaysia tidak boleh berasa selesa walau sedikit dengan kemajuan di dalam kedudukan CPI negara,” tegasnya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...