Aku hanya mencari kebenaran demi keadilan sejagat. Dilahirkan di bumi tuhan sebagai insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Negara ini penuh penipuan dengan cerita cerita dongeng dan sandiwara oleh orang politik. Kehidupan mereka penuh khayalan dengan memperkayakan diri tanpa simpati pada yang daif. Mereka angkut hasil bumi tuhan dari titik peluh rakyat untuk kepentingan mereka. Mandat rakyat dijadikan modal politik usang untuk memperkayakan kroni. Rakyat harus tolak pemimpin-pemimpin ini
Thursday, December 13, 2012
Berdoalah dengan intensif agar sentiasa mendapat keredhoan Tuhan
Isu kenyataan Musa Hassan masih menjadi isu hangat dan entah bila isu ini akan surut. Merata-rata dalam media massa alternatif ianya diperkata dan dibincangkan oleh rakyat khususnya mereka yang tampil untuk menulis tentangnya. Minat rakyat terhadap isu ini semakin besar kerana isu permainan politik di dalam institusi penguatkuasa dan demokrasi dalam negara ini sememangnya isu yang begitu sensitif bermulanya dari pentadbiran Dr Mahathir dahulu.
Pihak eksekutif telah mencerobohi semua badan dan institusi demokrasi dan penguatkuasa kerana kepentingan seseorang atau sekumpulan manusia lemah yang memimpin kita.
Mereka ini telah lemah untuk mendapatkan sokongan rakyat secara natural dan berdasarkan kepada kemampuan peribadi maka menggunakan institusi kepolisan merupakan kaedah yang ampuh bagi mereka walaupun dalam jangka panjang ia akan terbongkar dan di hina rakyat.
Dengan kenyataan-kenyataan yang tidak henti-henti dari Musa itu, ia membuktikan yang kerjasama secara haram di antara pemimpin lemah dengan individu-individu dalam PDRM semasa itulah yang menyebabkan BN yang sepatutnya jatuh lama dahulu mampu bertahan sehingga hari ini. Tetapi kerja yang tidak baik akhirnya akan di ketahui ramai juga, kerana konspirasi dua belah pihak untuk melakukan kerja yang tidak betul lambat laun akan terbongkar juga.
Bagi saya Musa bukan isunya. Isu yang terbesar sekarang ialah dengan pembongkaran oleh bekas Ketua Polis Negara itu menunjukkan kepada kita bahawa Polis telah di gunakan untuk kepentingan peribadi pimpinan untuk menahan ombak perubahan yang sebenarnya telah bermula sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi. Apa yang pimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan tidak tahu, ialah apabila konspirasi seperti ini dilakukan yang paling penting untuk di jaga ialah mengekalkan perhubungan kedua-dua belah yang berkonspirasi itu.
Hasil dari pembongkaran Musa ini kita mendapat tahu maklumat tambahan bagaimana Polis Di Raja kita rupa-rupanya berpecah belah kerana selagi ada campur tangan pihak politik dalam PDRM yang sepatutnya bertindak secara ‘professional’ itu telah lari dari asas tanggungjawab pihak PDRM itu.
Tidak guna ada pihak yang sedang menuduh Musa itu dan ini, tetapi yang penting Musa telah melambakkan apa-apa kejahatan moral yang dilakukan oleh pimpinan negara kita kerana kuasa politik semata-mata. Politik yang menggunakan kuasa Polis untuk berpolitik merupakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana tidak merasa sensitif dan tidak mahu mengakui yang pencerobohan terhadap Polis itu boleh mengekalkan kuasa tetapi hanya untuk jangka masa pendek sahaja.
Akhirnya rakyat akan tahu dan akan bertindak terhadap mereka dan dalam isu kita di Malaysia ini ia akan dilakukan oleh rakyat yang mengundi di dalam PRU nanti. Sekarang semuanya sudah terbongkar satu demi satu dan pemimpin yang menjadi sasar tuduhan Musa itu sedang diam membisu dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap isu itu.
Kepada pegawai-pegawai tertinggi Polis atau mana-mana penjawat awam yang sedang berkuasa kini wajar menjadikan isu ini sebagai pengajaran. Satu pengajaran yang boleh saudara/i sekalian pelajari ialah apabila mereka (pegawai kerajaan) menjadi sasaran rakyat ahli-ahli politik yang menggunakan mereka akan berdiam diri dan menyelamatkan diri masing-masing dan tidak akan keluar membantu mereka dalam kesusahan.
Ini jugalah yang sedang berlaku kepada ramai pemimpin yang tidak jujur yang lain. Mereka begitu ‘glamour’ semasa berkuasa kerana ada banyak institusi kerajaan yang membantu mereka melakukan kerja yang tidak baik itu. Tetapi apabila bersara semuanya terbongkar satu demi satu dan zaman persaraan mereka itu tidak aman dan yang besar-besar pangkatnya dahulu gagal untuk mencapai status yang di idamkan mereka.
Contohnya Dr Mahathir sendiri telah gagal untuk di anggap sebagai negarawan dari pandangan banyak pihak kerana beliau masih aktif berpolitik kerana terlalu banyak perkara yang beliau terpaksa tutupi. Dr Mahathir terpaksa bercakap sehingga isu buku memoir Rosmah pun terpaksa beliau komen. Beliau terpaksa memberi penjelasan kenapa beliau membidas pewaris kuasa dari beliau, Abdulah Badawi dengan berbagai alasan yang mudah dipatahkan oleh orang ramai.
Pendeknya beliau terpaksa bercakap dan bercakap dan menggunakan isu mempertahankan Melayu sebagai alasan untuk mempertahan diri dari anggapan negatif rakyat terhadap beliau. Beliau cuba hendak menyorokkan fakta yang segala kecelaruan politik dan ekonomi negara ini bermula dari kelemahan zaman beliau sendiri. Rakyat telah memahami bahawa bangunan tertinggi, jambatan terpanjang dan tiang bendera tertinggi di dunia yang ada dalam negara kita ini tidak mampu untuk dijadikan isu untuk Mahathir menunjukkan perbezaaan dengan pimpinan sebelum beliau.
Segala budaya politik perniagaan dan sebagainya telah rosak sehinggakan sekarang tidak tahu lagi bagaimana dan siapa yang akan mampu untuk memperbaikkinya. Tidak mungkin pemimpin dari gerombolan sekarang mampu untuk memperbaiki nya kerana mereka adalah dari kumpulan yang telah melakukan kerosakkan kepada segala sistem politik dan budaya kehidupan rakyat yang ramai ini.
Jika UMNO hendak memperbaiki keadaan ini parti itu terpaksa memberikan tugas kepada orang yang berpengalaman dalam kerajaan yang tidak berada di dalam kabinet negara. Hanya orang yang tidak terpalit dengan kerosakan ini sahaja yang mampu untuk memberikan imej dan budaya politik dan pembangunan negara yang lebih di yakini rakyat yang ramai.
Kalau pimpinan UMNO sesungguhnya jujur, semua yang berada di dalam kabinet hari ini mesti meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada seorang yang lebih bertanggungjawab untuk meneruskan usaha membangunkan negara agar matlamat pencapaian negara yang mempunyai rakyat yang berpadu tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit hidup aman dan damai setidak-tidaknya 50 atau enam puluh tahun yang akan datamg.
Kurang dari itu, UMNO tidak akan lagi relevan dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang. Kalau pun berjaya ia akan hanya kejayaan yang amat tipis dan UMNO akan menjadi parti yang seperti kata perbilangan Melayu ‘hidup segan mati tak mahu’.
Dalam isu Musa yang sedang diperkatakan ini, pimpinan negara sepatutnya mengambil ‘accountability’ dan berhadapan dengan rakyat. Kalau politik tidak masuk campur dan membiarkan PDRM melaksanakan tugas secara 'professional', polimik tentang Musa ini tidak akan wujud.
Sekarang ini biar Mahathir, dan Najib menjawab segala-gala yang di sebut oleh Musa Hassan itu. Kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan termasuk Ketua Polis, Ketua SPRM dan pegawai-pegawai tinggi yang lain elok belajar dari apa yang berlaku terhadap PDRM hasil dari permainan politik pimpinan yang sedang berkuasa.
Pandangan ini penting di ambil kira kerana apabila rakyat melakukan perubahan nanti pegawai-pegawai ini akan terus berkhidmat tanpa sarat dengan isu lama yang buruk melekat di diri anda. Ingat, ahli politik datang dan pergi. Anda di dalam perkhidmatan awam akan kekal sehingga tarikh persaraan.
Berkhidmatlah dengan jujur agar dalam zaman persaraan untuk menunggu mati anda tidak terlibat dengan isu yang tidak baik. Kita perlu ingat di dalam melalui sisa-sisa hidup kita tidak dipandang remeh oleh masyarakat sekeriah dan jiran tetangga kita.
Apabila kita meninggal dunia, biarlah sanak saudara dan jiran tetangga kita mengusung jenazah tanah perkuburan kita akan diiringi dengan doa mereka yang baik-baik bagi kita menghadapi kehidupan yang kekal di akhirat nanti.
Aspan Alias.Net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment