Monday, December 3, 2012

Perhimpunan terakhir Umno sebelum menjadi pembangkang


Meneliti ucapan-ucapan pemimpin Umno dan laporan besar-besaran media arus perdana yang menjadi alat propaganda mereka, dapatlah kita fahami bahawa Umno-Barisan Nasional, kini sedang berada di dalam kegelisahan dan ketakutan yang amat sangat.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dihebahkan secara besar-besaran, ternyata gagal melindungi kebimbangan mereka, bahawa kekuasaan yang mereka nikmati selama lebih 55 tahun di Malaysia, sudah tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Oleh sebab itu PAU 2012 yang diadakan minggu ini, dipergunakan sepenuhnya untuk mengecam Pakatan Rakyat dengan tujuan melabel imej buruk kepada parti yang bakal menggantikan mereka pada PRU-13 akan datang.


Usaha memburuk-burukkan Pakatan Rakyat terpaksa di buat kerana, di sebalik pelbagai janji perubahan, janji ditepati, janji BRIM yang ditabur Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, gagal memikat rakyat untuk kembali menyokong Umno-BN.

Kegagalan tersebut dibuktikan dengan dapatan kajian yang dijalankan secara profesional oleh sekumpulan pengkaji politik daripada universiti yang rapat dengan Umno bahawa mereka hanya mampu meraih 120 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Walaupun dapatan universiti itu dicanangkan bertujuan untuk memberitahu kononnya Umno-BN mampu terus berkuasa pada PRU-13, tetapi sebaliknya dapatan itu memberitahu bahawa semua janji yang ditabur Najib, hanyalah sia-sia.

Malah Najib diunjurkan, untuk mendapat tamparan yang lebih buruk daripada mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berkuasa pada PRU 2008 dengan 140 kerusi Parlimen.

Pada PRU tersebut, BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang kuasa di lima buah negeri, termasuk hanya tinggal satu kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menyebabkan Abdullah dan seluruh kroninya, dihambat keluar dari Umno, sehingga terpaksa meletakkan jawatan PM dan Presiden Umno.

Maka apakah nasib PM Najib, jika BN dikatakan boleh kekal berkuasa hanya dengan 120 kerusi Parlimen sahaja? Berapa buah negeri lagi Umno-BN akan hilang? Apakah Umno akan membiarkan Najib terus berkuasa selepas segala perbelanjaan besar ditabur untuk 'membeli' sokongan rakyat terus menemui kegagalan?

Lebih serius lagi, apakah apabila Umno sudah tahu, mereka menjangkakan prestasi Najib jauh lebih buruk daripada Abdullah, mereka akan membiarkan Najib terus menerajui Umno-BN untuk menghadapi Pakatan Rakyat pada dalam PRU depan?

Difahamkan, ada tekanan yang hebat dikenakan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad yang mendokong kuat TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Najib, yang mahukan perubahan dalaman Umno dibuat sebelum PRU.

Malah ada pandangan yang lebih keras dalam Umno yang mahukan Najib berundur dan memberikan kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui Umno-BN bagi berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Jelas kepada kita bahawa PAU 2012 sebenarnya, gagal menyatupadukan Umno untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menjadi medan pertelingkahan dalaman, medan serangan ahli-ahli Umno terhadap Najib yang dilihat gagal dan lembik , kerana dikatakan 'dikuasai' isteri beliau.

Sehingga hari ini ahli-ahli Umno tidak dapat menerima 'penguasaan Rosmah' dan menganggap beliau di antara penyumbang besar kepada kekalahan Umno-BN pada PRU depan.

Walaupun Umno bernasib baik kerana pertelingkahan mereka berjaya dikambus oleh media arus perdana, namun rakyat sudah menghidu 'bau busuk' daripada jasad Umno yang bakal menjadi bangkai dalam PRU nanti.

Inilah Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebagai parti pemerintah, kerana pada PRU nanti, Pakatan Rakyat akan memperolehi lebih 120 kerusi Parlimen untuk menerajui Putrajaya.- Harakahdaily.-Mohd Rashidi Hassan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...