Saturday, December 8, 2012

Pertikai peruntukkan Islam Pulau Pinang meningkat 300 peratus: Umno perguna Parti Gerakan?


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang mengutuk pandangan serong pemimpin Gerakan yang juga Pengerusi Bn Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang mempertikai langkah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menaikkan peruntukkan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang sebanyak 300 peratus. SAMM juga melihat ada muslihat di sebalik kenyataan Teng Chang.

Sekiranya kerajaan campuran Bn yang diketuai Gerakan suatu ketika dulu tidak mengendahkan peruntukkan hal ehwal Islam kerana tidak mendapat nasihat dari Umno, maka tiada sebab untuk Teng Chang cemburu dan iri hati terhadap kepedulian kerajaan PR pilihan rakyat hari ini yang banyak mengambil berat terhadap pembangunan dan perkembangan Islam di Pulau Pinang.


SAMM Pulau Pinang berpendapat bahawa Umno sememangnya tidak boleh diharap untuk menjaga perihal Islam tidak kira di Pulau Pinang atau di mana jua. Umno bukan sahaja gagal memimpin dan mendidik parti komponan bersama dalam Barisan Nasional tentang Islam malah Umno tidak berbunyi sepatah haram untuk pertahan Islam apabila hukum menutup aurat dipersenda oleh Tan Keng Liang, juga dari Gerakan tidak lama dulu.

Hari ini pula, sekali lagi Umno diam membisu apabila Gerakan pertikai peruntukkan untuk hal ehwal Islam di Pulau Pinang yang meningkat jauh lebih besar dari negeri yang dipimpin Umno. Apakah Umno tidak lagi peduli tentang Islam? Apakah ada komplot antara Umno dan Gerakan?

Ternyata parti Gerakan yang retak menanti belah ini seolah-olah telah dipergunakan oleh Umno bagi mencetus suasana tegang antara kaum dan agama. Taktik serampang dua mata ini mungkin digunakan Umno dengan harapan parti Gerakan kembali disokong oleh kaum bukan melayu dan dalam masa yang sama, Umno menadah tangan menanti sokongan sekiranya pergaduhan antara kaum atau agama benar-benar berlaku.

Itu adalah kelebihan parti berasaskan kaum atau parti perkauman seperti Umno.

Justeru itu, SAMM P.Pinang memberi amaran kepada Umno supaya tidak cuba untuk bermain api dengan menjadikan parti Gerakan sebagai pemetiknya. Sentimen perkauman dan ketegangan agama harus dihindar khususnya di Pulau Pinang. Rakyat negeri Pulau Pinang juga harus sedar perencanaan jahat yang disusun ini setelah Umno dan Gerakan menemui jalan buntu untuk merampas semula P.Pinang secara demokrasi.

Akhir sekali SAMM Pulau Pinang percaya kenyataan Teng Chang Yeow tidak akan berlegar di dada akhbar dan media perdana kerana ia pasti akan menyebabkan Barisan Nasional kehilangan lebih banyak sokongan dari masyarakat Islam seluruh negara.

Namun begitu, SAMM P.Pinang lebih percaya kenyataan Teng Chang tetap akan menjadi pedoman kepada orang ramai melalui media alternatif dan kerja jahat berbentuk hasutan ini tetap akan mendapat penilaian umum.

Aidil Ibrahim
Penyelaras SAMM Pulau Pinang

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...