Saturday, December 29, 2012

Nasib Pemandu Teksi Lebih Terjamin Jika PR Memerintah

pemandu teksi himpunan PR 01

Pakatan Rakyat (PR) memberikan jaminan akan membela kebajikan dan masa hadapan pemandu teksi seluruh negara apabila gagasan itu mentadbir Putrajaya selepas Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemandu teksi berhak memperolehi permit teksi yang merupakan hak mereka.

“Patut malu orang kaya-raya memperolehi permit teksi yang diambil daripada titik peluh dan darah keringat orang-orang susah.


“Kita akan minta mereka-mereka ini serah balik permit teksi dan kita akan kembalikan semula kepada pemandu teksi,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Raksasa Pemandu-Pemandu Teksi Bersama Pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Jelas Anwar, pemandu teksi berperanan penting dalam mencorakkan masa hadapan negara dengan menjadi agen perubahan masyarakat.

Ianya dapat dilaksanakan dengan pemandu teksi proaktif memberikan penjelasan kepada penumpang situasi negara yang kini tenat.

“Pemandu teksi boleh menjadi agen perubahan yang membawa puluhan penumpang setiap hari bagi memberikan penjelasan untuk selamatkan negara ini,” katanya.

“99 peratus pemandu teksi mengetahui apa itu perjuangan rakyat, bencikan kezaliman kerajaan Barisan Nasional.

“Jasa saudara-saudara (pemandu teksi) kepada perjuangan ini adalah besar,” ujarnya.

Katanya, pemandu teksi perlu memberikan mesej jelas kepada kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 ini agar nasib mereka lebih terbela.

Anwar turut membidas pimpinan Umno-BN yang cuba mengalih isu yang dihadapi pemandu teksi dengan pemberian tayar percuma sedangkan isu permit gagal diselesaikan.

“Najib gagal beri permit teksi kepada pemandu atau individu, hanya tahu beri tayar TR1M yang hanya boleh bertahan enam bulan sahaja.

“Dia (Najib) gagal memahami kesusahan pemandu teksi untuk mendapatkan permit,” katanya.

Kira-kira lebih 600 pemandu teksi hadir dalam himpunan itu bagi menyatakan sokongan kepada PR untuk membawa perubahan kepada sistem pengangkutan teksi di negara ini.

Turut hadir Exco Selangor – Ronnie Liu, MP Puchong – Gobind Singh Deo, MP Petaling Jaya Selatan – Hee Loy Sian, MP Bukit Gantang – Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang – Dr P.Ramasamy.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...