Monday, December 10, 2012

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka


Kira-kira 10,000 rakyat negeri Melaka membanjiri perkarangan Pejabat DAP Melaka pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Melaka malam tadi.

Kehadiran rakyat seramai itu bukan sahaja rekod kepada negeri Melaka malah memperlihatkan kebangkitan dan semangat peubahan yang ada pada rakyat negeri ini, kerana jarang sekali rakyat akan hadir ke program Pakatan Rakyat dengan jumlah seperti itu.


Biarpun himpunan malam Umno BN menganjukan program karnival di tapak asal program iaitu di Kampung Bukit Palah, namun kehadiran orang ramai ke program Pakatan Rakyat boleh dikatakan tidak terjejas.

Orang ramai berpusu-pusu memenuhi perkarangan pejabat DAP Melaka dan ada yang terpaksa berdiri di bahu-bahu jalan dan di pembahagi jalan.


Program semalam bermula pada jam 4.00 petang dengan konvoi motosikal dan kereta yang telah mendapat sambutan luar dugaan.

Antara pimpinan tertinggi PR Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Pimpinan PR negeri yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari; Pengerusi PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengerusi DAP Negeri Melaka, Goh Leong San.

Turut hadir wakil-wakil NGO seperti HIshamuddin Rais mewakili Bersih; Singham dari Tindak; Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Andasura Rabu (Stop Lynas) dan Lee Chee Chern (Himpunan Hijau). Turut hadir bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Kesemua pimpinan parti dan wakil-wakil NGO serta Kadir telah berucap malam tadi.

Program tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Blues Gang, Ito yang menyampaikan 3 buah lagu.

Turun 12 Januari

Mohammad Sabu dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Melaka supaya turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil.

"Sudah tiga kali kita mengadakan Himpunan Bersih, tetapi kerajaan dan SPR terus membutakan mata dan memekakkan telinga tidak menghiraukan tuntutan Bersih dan rakyat Malaysia".

"Kali ini pada 12 Januari 2013 kita akan turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir pada program Himpunan Sejuta rakyat, kalau mereka degil lagi kita sepak mereka" tegas Muhammad dengan serius sambil menyepak angin.

Azmin dalam ucapan penuh semangatnya menjelaskan kepada rakyat bahawa kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan parah di mana hutang negara sudah meningkat lebih RM500 bilion dan ianya sudah sampai tahap kronik.

"Adakah kita semua ingin melihat negara kita menjadi Greece yang bangkrap kerana Menteri Kewangan yang sangat 'cekap' sehingga negara hampir muflis"

"Semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan pertumbuhan ekonomi negara kita sebagai contoh tahun1994 ialah 9.2 %, 1995 (9.8) dan 1996 (10 %) berbanding Najib yang pencapaiannya 2009 ialah -1.5 %, 2010 (7.2%) dan 2011 (5.1 %) sahaja.. Jadi siapa sebenarnya yang bijak menguruskan kewangan negara Anwar atau Najib" tanya Azmin.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa sudah sampai masanya rakyat negeri Melaka menukar kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dilihat gagal memberikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Ketua Menteri Melaka menganjurkan kenduri kahwin anaknya hingga membelanjakan kira-kira RM1juta, ini duit siapa, sedangkan hutang negeri Melaka sudah hampir RM900 juta, tetapi Melaka hanya bayar hutang kepada pusat hanya RM180,000 tahun lepas".

"Manakala kerajaan pusat menzalimi rakyat dengan AES dan pelbagai lagi, mereka mencuri duit rakyat dengan dasar yang benar-benar zalim dan menyiksa rakyat" tegas beliau.

Sebelum ini tapak program terpaksa diubah dua kali akibat tuan tanah yang disewa tidak berani membenarkan tanahnya digunakan untuk program tersebut walaupun sudah bersetuju di peringkat awalnya kerana ugutan demi ugutan pihak yang berlagak samseng.- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...