Wednesday, December 19, 2012

Satu saman AES bawa satu undi untuk Pakatan


Setiap saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bermakna satu undi untuk Pakatan Rakyat, kata Koordinator Bersama Kempen Bantah AES, Saifullah Zulkifli.

“300,000 saman yang dikeluarkan, bermakna 300,000 undi untuk Pakatan Rakyat. Sebab itu hanya 10,000 saman dibayar, tak sampai 10 peratus dari keseluruhan jumlah saman. Ini sebenarnya protes senyap.

“Mereka yang disaman mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tak lagi seperti dulu, berpusu-pusu membayar saman. Rakyat sudah celik, tidak lagi tunduk kepada undang-undang zalim,” kata Saifullah kepada Keadilan Daily.


Katanya, penguatkuasaan sistem AES tidak pernah dirunding atau melibatkan rakyat.

Malah, rakyat juga masih belum jelas bagaimana cara untuk turut sama terlibat dalam pewartaan undang-undang.

“Ada yang mahu bawa kes ke mahkamah dan mahu pertikai saman. Apa yang perlu dilakukan ialah sokongan dari kerajaan Pakatan Rakyat. Contohnya seperti Selangor yang mahu membantu dari sudut nasihat guaman dan undang-undang,” kata Saifullah yang juga Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN.

Exco yang bertanggungjawab ke atas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor, Ronnie Liu dalam temubual dengan radiobangsarutama.com pada 7 Disember lalu berkata, pengguna jalan raya yang disaman boleh membawa slip saman kepada Majlis Perbandaran Sepang untuk mendapatkan nasihat undang-undang.

Menurutnya, mereka juga boleh membawa aduan tersebut ke pejabat Exco PBT di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan sama.

“Ada banyak pertikaian melibatkan AES. Saya sendiri menerima saman 10 Oktober lalu. Bila disemak tarikh dan masa, bukan saya yang memandu kereta tersebut. Pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan pula dilibatkan. Ini tidak adil,” tegas Saifullah.

“Begitu juga kamera AES yang dipasang dekat lebuh raya MRR2 (Lingkaran Tengah 2) dan Sungai Besi. Had kelajuan maksimum 50 kilometer sejam tak masuk akal.

“Sudahlah prosedur pemasangan salah. Undang-undang dikuatkuasa tanpa hitam-putih. Justeru, kami sokong usaha kerajaan Selangor yang mahu membantu dari sudut undang-undang dan menekan kerajaan secara politik.

“Selagi kamera AES masih ada dan pengguna jalan raya disaman, setiap undi akan pergi kepada Pakatan Rakyat,” katanya.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...