Monday, December 10, 2012

Kalau Musa Hassan hendak melakukan kebaikan, apa salahnya? - Aspan Alias



Saya amat tertarik dengan apa yang dinyatakan oleh beberapa orang bekas pegawai tinggi Polis yang telah bersara semasa kita sedang menghadapi saat akhir pilihanraya umum kali ini, yang merupakan ‘mother of all general elections’. Kenyataan yang banyak di keluarkan oleh bekas IGP, Musa Hassan membuatkan beliau menjadi bahan polimik dan perbincangan di kalangan ramai rakyat yang sentiasa mengikuti perkembangan terakhir sebelum pilihanraya yang amat mendebarkan pihak BN ini.

Bagi pembangkang mereka bukan lah pihak yang ‘desperate’ seperti UMNO dan BN kerana kekalahan sudah menjadi pakaian mereka sejak dari kita mula mencapai kemerdekaan dahulu.
Pemimpin-pemimpin pembangkang telah ramai ditahan di bawah ISA bertahun-tahun lamanya. Pengalaman serta tekanan yang terlalu kuat kepada pimpinan parti ini telah membuatkan PAS sebagai satu parti yang mempunyai ‘resilience’ yang tinggi. Jika PAS dan DAP dituduh pihak yang desperate, itu merupakan tuduhan liar.

Begitu juga DAP yang telah menjadi mangsa mainan politik ganas BN sehinggakan Lim Guan Eng pernah ditahan kerana memperjuangkan nasib seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur yang di katakan telah di perkosa oleh seorang pemimpin besar UMNO. Anwar Ibrahim tidak payah di ceritakan lagi sekarang kerana duduk didalam tahanan memang sudah menjadi mainan bagi beliau.

Dalam isu bekas pegawai polis ini, yang paling menarik ialah isu kenyataan Musa Hassan, seorang IGP, yang sangat ‘controversial’ semasa menjadi IGP dahulu. Beliau dikatakan telah memainkan peranan penting untuik memperlakukan apa yang di perlukan oleh pimpinan UMNO dan BN yang begitu ‘desperate’ sehinggakan Musa berserta dengan Peguam Negara telah banyak melepaskan pemimpin-pemimpin durjana dari terperangkap di dalam penjara Sungei Buluh dan penjara-penjara yang lain.

Kini Musa membuat kejutan dengan bercakap tentang apa yang berlaku di dalam pasukan polis semasa beliau menjadi IGP dahulu. Kini Musa sedang menceritakan bagaimana pemimpin politik telah masuk campur di dalam hal ehwal dan urusan polis dan pemimpin yang di maksudkan oleh Musa itu termasuklah Perdana Menteri, Najib Tun Razak, dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, sendiri.

Banyak pihak yang memberikan reaksi yang tidak menyebelahi Musa kerana Musa lah orangnya yang bermain-main dan tunduk kepada kuasa politik dan membuatkan Polis itu sebagai pasukan yang tidak ‘professional’ dan berbagai-bagai ‘superlatives’ yang di hamburkan kepada bekas IGP itu.

Bagi saya, ingin pula rasanya untuk memberikan komen sedikit tentang isu ini. Saya mengibaratkan bekas Ketua Polis negara itu dan mana-mana pegawai tertinggi yang lain, mereka hanyalah melakunkan apa yang di arah oleh Pengarah sebuah filem. Ibarat Salleh Kamil, sebenarnya orang baik tetapi beliau selalu melakunkan watak jahat di dalam filem-filem lakunan beliau. Beliau hanya melakunkan apa sahaja yang di arah oleh pengarahnya yang selalunya adalah P Ramlee.

Dalam isu Musa ini saya merasakan beliau terpaksa melakunkan watak seperti yang di tuduh oleh setengah pihak. Sebenarnya pengarah kepada lakunan dalam isu Musa ialah Perdana Menteri dulu, Dr Mahathir, selepas itu Pak Lah dan Najib Razak. Begitulah nasib seorang yang telah diperguna oleh pimpinan politik tinggi.

Tetapi kini Musa tidak berlakun lagi kerana beliau telah bersara. Apabila seseorang pelakun itu bersara dia akan kembali menjadi diri nya yang sebenar. Kalau baik, maka dia akan jadi orang baik seperti di luar filem lakunannya. Jadi seorang pelakun yang telah bersara tentulah seseorang pelakun itu bercerita tentang semua filem lakunannya dan memberikan komen tentang pengarah yang mengarahkan lakunnya dahulu.

Moral kepada andaian ini ialah yang jahatnya ialah pengarah filem yang mengarahkan lakunan itu. Bagi saya komen negatif dari Dato Ramli Yusuf yang telah menjadi korban Musa semasa itu adalah relevan jika di kira dari sudut perlakuan Musa terhadap beliau. Tidak ada siapa yang tahu semasa itu Dato Ramli mungkin tidak di senangi oleh pimpinan besar negara kerana Dato Ramli terkenal sebagai seorang pegawai dan penjawat awam yang baik.

Pemimpin politik tidak gemar dengan orang baik kerana orang baik akan menjahanamkan masa depan ahli politik, apa lagi kepada kumpulan ahli politik yang tidak jujur dan melakukan rasuah dan berbagai-bagai jenayah yang lain. Kadangkala penjawat awam tidak naik pangkat kerana mereka baik. Itu sebabnya ramai pegawai yang kotor imejnya sekarang naik pangkat setiap tahun atau dua tiga tahun sekali. Dalam sistem di negara ini yang sangat pelik ialah, yang buruk perangai itu kekal dan naik pangkat dengan cepat.

Ini adalah satu ‘attribute’ yang biasa bagi pimpinan yang kotor dan korap. Bagi saya Musa adalah seperti manusia yang lain juga. Beliau juga berhak untuk menjadi baik dan memberitahu apa yang tidak baik yang berlaku. Siapa yang pelaku sebenarnya atau pengarah kepada lakunan ini bagi saya yang bersalah ada hak di sisi Tuhan untuk menjadi baik. Musa juga seperti ramai yang lain tentulah ada perasaan yang menghantui beliau yang memaksa beliau memberi tahu cerita dan kejadian yang sebenarnya.

Dalam hal politik negara kita, yang penting bagi rakyat ingin tahu ialah apa sebenarnya yang berlaku semasa beliau (Musa) menjadi IGP. Sekarang ini Musa sedang menceritakan apa salah laku yang di lakukan oleh pemimpin politik semasa beliau menjadi ketua polis negara dulu.

Apa yang telah di ceritakan oleh Musa akhir-akhir ini telah banyak membantu rakyat untuk membuat keputusan semasa pilihanraya nanti. Kesalahan Musa itu lain halnya. Hal yang ingin diketahui rakyat ialah kenapa jenayah besar itu berlaku dan siapa yang melakukannya. Rakyat ingin tahu siapa yang bunuh Altantuya misalnya. Walaupun Musa mungkin kurang kredibilitinya sebagai penjawat awam, tetapi isi yang diceritakan beliau itulah yang paling penting.

Sekarang ini banyaklah perkara yang sebenarnya berlaku telah di ketahui umum dan itu lah yang terpenting sebenarnya semasa rakyat sedang membuat pertimbangan politik yang sangat penting tidak lama dahulu.

Jika Musa di ambil tindakan jika beliau benar-benar bersalah, ada sistem dan undang-undang yang menyediakan penyelesaiannya. Tetapi Musa telah banyak memberi tahu bagaimana Mahathir menggunakan polis dalam isu Anwar Ibrahim. Begitu juga apa yang di campuri oleh ramai ahli-ahli politik negara.

Pengakhir kata, jika Musa bersalah sekali pun, Pengarah yang mengarahkan beliau untuk melakukan kerja bodoh dan busuk itu perlu mendapat hukuman. Dalam sesebuah filem itu Pengarah Filem tersebut lah yang patut di ambil tindakan, kerana ‘idea’ bodohnya lah yang boleh memudharatkan rakyat dan negara.

Bagi saya jika Musa (jika benar) ‘jahat’ kata-kata dan pendedahan beliau itu menunjukkan beliau ingin membuat kebaikan dan beliau perlu saya terima. Pihak yang bermasalah ialah pihak yang tidak mahu lagi untuk melakukan kebaikan. Musa sudah merasakan yang pentadbiran yang baru nanti merupakan pentadbiran yang lebih baik, beliau tidak akan dapat meletakan diri beliau secocok dengan keadaan sekeliling yang sudah kembali baik.

Musa berhak untuk memilih untuk melakukan tindakan untuk pihak yang lebih baik dan itu merupakan tindakan yang terpuji. Jika Musa merasakan tindakan beliau itu boleh membantu untuk kebaikan ramai, kenapa tidak diteruskan sahaja tindakan-tindakan yang beliau sedang lakukan.

Dalam sejarah Khalid Al-Walid, dia bermusuh dengan Islam dan ingin membunuh Rasulullah.saw akhirnya dia mendapat hidayah dan berperang, memihak kepada Islam dan mendapat gelaran ‘pedang Allah’.Tidak pula ada di kalangan orang Islam semasa itu mengungkit-ngungkit apa yang telah dilakukan oleh Khalid Al-Walid semasa berperang menentang Islam sebelum itu.

Sekarang Musa Hassan pula telah menyerang secara terbuka Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri. Kita belum lagi mendengar reaksi dari pemimpin-pemimpin yang di tuduh oleh Musa itu, baik Dr Mahathir, Najib atau pun Hishamuddin. Mereka seolah-olah tidak dapat menjawab dan menafikan segala apa yang di perkatakan oleh Musa itu. Yang penyokong-penyokong UMNO di tepian hendak sibuk mengecam Musa ini apa hal nya?

Biarkan sahaja kebenaran timbul dengan sendirinya.



Aspan Alias.net.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...