Wednesday, December 5, 2012

Najib tidak rasa beliau Perdana Menteri


PAS berpendapat ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tidak menggambarkan beliau seorang Perdana Menteri sebaliknya hanya pemimpin sebuah parti perkauman yang mengajak kepada perpecahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika beliau sedar sebagai seorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan terikut-ikut dengan perwakilan dengan begitu emosional menyerang Pakatan Rakyat (PR).

“Jika diteliti ucapan Najib bermula daripada ucapan dasar hinggalah kepada penggulungan, penuh dengan emosi, serangan peribadi, semangat perkauman dan mempergunakan agama.


“Jika perwakilan yang berbahas dengan nada emosional seperti itu kita faham, tetapi Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak perwakilan sehingga dia terlupa sebagai seorang Perdana Menteri.

“Cuba ambil contoh Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) berucap dalam muktamar, walaupun macam-macam dibahaskan oleh perwakilan akhirnya Tuan Guru akan mengajak rakyat kepada perpaduan,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri ketiga-tiga parti.

Tuan Ibrahim berkata, kesimpulan yang dibuat Najib hanyalah lahir daripada rasa tertekan menghadapi pilihan raya.

Ketika berucap pada penggulungan, Najib berkata “satu undi untuk PKR bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta. Sebaliknya satu undi untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ibrahim, barangkali Najib tidak diberitahu trend golongan muda di bawah 40 tahun yang mewakili 52 peratus penduduk negara ini, adalah menolak parti dan politik bersifat perkauman.

“Jadi apa gunanya beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia sebelum itu, dalam perhimpunan yang sama, sedangkan terus menyalakan api dendam dan kebencian walaupun kewujudan PAS, PKR dan DAP lahir daripada amalan demokrasi?” soalnya.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.

Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.

Fauzi pula berkata, HKRP ini penting kerana melambangkan perubahan rakyat di peringkat bawah dan mesti dilakukan apabila di peringkat kepimpinan atasan (kerajaan) tidak mahu berubah.

Katanya, rakyat sendiri sudah melihat kepincangan kerajaan negeri dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus tadbir sehingga tidak ada apa-apa kebaikan lagi melainkan terpaksa ditukar kerajaan baru.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sudah bersiap sedia menggalas cabaran untuk merampas Parlimen Bentong daripada BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita pandang serius cabaran (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinga dan terjun Sungai Pahang jika DAP menang di Bentong,” tegasnya.

Isu Adnan sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong, hangat diperkatakan apabila beliau menyebut ‘tawaran’ itu kepada pemberita semasa Pau di PWTC.

Namun keesokan harinya beliau berdolak-dalik mengatakan ‘sanggup potong telinga’ itu hanyalah satu kiasan.-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...