Tuesday, March 15, 2011

PRU 13: Terancamkah Kuasa Melayu?


Kejayaan Pakatan Rakyat menguasai Pulau Pinang dan Perak pada 8 Mac lalu tidak diterima Umno apabila mereka mendakwa ketuanan Melayu semakin terancam di negeri tersebut.


Benarkah begitu, atau sekadar omongan bersifat politik bagi memulihkan semula sokongan orang Melayu terhadap Umno.
Baca selanjutnya di bawah ini ...
Malah ekoran peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan di Perak, Pulau Pinang dan Selangor menyebabkan lahir banyak badan bukan kerajaan kononnya berjuang bagi membela nasib Melayu di negeri terbabit.

Oleh itu bagi melihat secara realiti apakah benar-benar nasib orang Melayu terancam sekarang, kerajaan Kelantan akan menganjurkan wacana perdana pada 18 Mac ini bagi membincangkan isu tersebut secara lebih mendalam.

Wacana tersebut bertajuk ”PRU 13: Terancamkah Kuasa Melayu?” akan diadakan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.


Ahli panel yang diundang mengupas isu terbabit iaitu Presiden Pertubuhan Melayu Insaf Kreatif Malaysia (PEMIKIR), Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah, Naib Presiden Perkasa, Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan anggota parlimen Shah Alam, Ir Khalid Abdul Samad.
Manakala Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi UKM bertindak sebagai moderator.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains & Teknologi Negeri, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, pada awalnya pihak penganjur menjemput Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, namun beliau menolak dan tempatnya digantikan Dr Asyraf Wajdi.

”Tajuk tersebut menjadi pendebatan hangat sekarang. Benarkah kuasa politik orang Melayu benar-benar terancam.

”Ini kerana Umno menggambarkan seolah-olah orang Melayu terancam teruk di Pulau Pinang dan Selangor. Dalam isu ini biarlah rakyat yang menjadi hakimnya,” kata beliau di sini.

Wacana Perdana tersebut merupakan siri ke-7 dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.-Hrkhdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...