Monday, March 12, 2012

SBPA: Jika tiada Pakatan Rakyat…


          Jika tiada Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – maka rakyat Malaysia akan terus dilanyak oleh elit pemerintah UMNO-Barisan Nasional yang semakin jelas tidak mempedulikan nasib dan kepentingan masyarakat.
          Atas desakan Pakatan Rakyat serta tuntutan kakitangan awam, kerajaan UMNO-BN akhirnya akur dengan kesilapannya dengan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang hanya menguntungkan segolongan kecil pegawai kanan tetapi menindas majoriti kakitangan lain.

Datuk Seri Najib Razak terpaksa menjilat semula ludahnya dengan mengumumkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedia ada akan ditambah baik


Tidak ada sesiapa perlu berterima kasih dengan Perdana Menteri kerana membatalkan SBPA. Apa yang sepatutnya berlaku ialah Najib perlu meminta maaf kepada semua kakitangan awam kerana mahu memaksa SBPA tanpa mengadakan sebarang dialog atau rundingan dengan kakitangan awam sebelum ini.

SBPA yang zalim terhadap majoriti kakitangan awam

Oleh itu, tidak mengejutkan jika SBPA yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu hanya memberi kenaikan gaji, sebagai contoh, kepada guru DG44/DG1-2 sebanyak 0.07 peratus atau dua ringgit satu sen sahaja.

Menurut kajian Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, ini bererti gaji guru tersebut naik daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada SSM kepada SBPA.

Sebaliknya, kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C di bawah SBPA sepatutnya menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM.

Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

Malah, Pakatan Rakyat bukan sekadar pandai menunjukkan kesalahan UMNO-BN tetapi juga mencadangkan alternatif yang lebih baik untuk rakyat, termasuk kakitangan awam.

Sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Star, Kedah pada Januari lalu, Husam menyatakan bahawa Pakatan akan mencadangkan satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam tidak lama lagi.

Prinsip-prinsip tawaran alternatif

Usaha melaksanakan tawaran alternatif itu, Husam mencadangkan prinsip-prinsip:

* Mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara;

* Mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan;

* Menetapkan elaun khas profesional bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya; dan

* Menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan mengguna pakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang, dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan.

Tutup kesalahan dengan mengecam Pakatan Rakyat

Malah, sebelum ini, demi menutup pembohongan UMNO-BN melalui SBPA, para pecacai mereka sanggup menuduh Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua kononnya mahu membuang kerja separuh kakitangan awam.

Sedangkan terbukti pentadbiran Najib telah bersikap hipokrit apabila mengumumkan pemansuhan 29,000 jawatan yang sepatutnya terlaksana di bawah SBPA.

“Ini menunjukkan Presiden UMNO dan pemimpin-pemimpin partinya adalah oportunis politik yang hanya mahu menggambarkan Pakatan Rakyat sebagai parti yang anti-perkhidmatan awam,” katanya sebelum ini.

Menurutnya, Najib cuba mencetuskan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu dengan menuduh kononnya Pakatan mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam sedangkan kerajaan UMNO-BN sendiri yang cuba berbuat demikian.

Walau SBPA dibatalkan, ia cermin kegagalan UMNO-BN

Sehubungan dengan itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyatakan bahawa pembatalan SBPA menunjukkan kegagalan berterusan kerajaan UMNO-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan dasar-dasar penting.

Katanya, kegagalan kerajaan UMNO-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, memperlihatkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah.

“Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ‘sudah terhantuk baru terngadah’ diambil oleh Perdana Menteri,” jelasnya.

Prinsip-prinsip prihatin pekerja

Nurul Izzah turut mencadangkan prinsip-prinsip yang wajib diterima pakai oleh kerajaan yang prihatin terhadap nasib pekerja:

1) Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap 10 tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Siapa prihatin pada rakyat?

Bayangkan jika Pakatan Rakyat tidak wujud. Apa akan terjadi kepada rakyat yang semakin tertekan kesan ekonomi akibat salah urus pentadbiran kerajaan UMNO-BN?

Mungkin lebih baik lagi Pakatan Rakyat diberi mandat untuk melaksanakan segala apa yang terbaik untuk rakyat berbanding salah guna kuasa, penyelewengan dan sikap tidak peduli UMNO-BN terhadap rakyat. – Roketkini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...