Saturday, March 17, 2012

PKR persoal SPR pindah pengundi senyap-senyap


              PKR hari ini membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa membuat pertukaran tempat mengundi 'secara senyap-senyap' dan tanpa kebenaran.
             Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata ianya bukan sahaja melibatkan kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malah 31,294 pengundi lain yang didapati turut terlibat.

Tindakan tersebut katanya bercanggah mengikut Akta Pilihan Raya 1958 dan kesalahan yang dilakukan SPR itu adalah serius.

"Khalid telah dipindahkan tempat mengundi ke Lembah Pantai sedangkan alamatnya di tempat lain, dan beliau tidak pernah membuat permohonan untuk menukarkan tempat mengundi.


"Apa yang kita persoalkan jika ingin membuat perpindahan tempat mengundi maka ia perlu melakukan persempadanan semula bukannya dibuat sesuka hati," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Dalam kes Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didedahkan sebelum ini, semakan dalam web SPR mendapati tempat mengundinya telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor seperti pada PRU 2008 lalu.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Fuziah memberitahu, untuk melakukan persempadanan semula memerlukan majoriti 2/3 di Parlimen bagi mendapat kelulusan.

"Tanpa majoriti 2/3 di Parlimen SPR tidak boleh sesuka hati membuat perpindahan dan ini merupakan kerja-kerja tersembunyi SPR untuk memenangkan Umno-Barisan Nasional.

"Kita mahukan penjelasan dari SPR berhubung perkara ini kenapa ia dilakukan tanpa kebenaran pengundi, dalam pada itu bagaimanakah SPR ingin memaklumkan kepada pengudi yang seramai itu bahawa mereka telah dipindahkan ke tempat lain," kata Fuziah lagi.

Sehubungan itu juga, beliau menyeru kesemua 31,294 pengundi yang terlibat dengan pertukaran tempat mengundi tanpa kebenaran itu, tampil membuat laporan polis terhadap SPR.

"Saya berharap 31,294 pengundi tampil membuat laporan kepada pihak polis atas tindakan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada SPR," katanya.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...