Monday, March 19, 2012

Dokumen rahsia Scorpene akan didedah di Mahkamah Perancis


               Dokumen berkaitan pembelian kapal selam Scorpene, yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan didedahkan pada inkuiri terbuka di Mahkamah Pengadilan Tinggi Perancis (Tribunal de Grande Instance) kata Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel.
              “Kedua-dua pihak (kerajaan Malaysia dan firma pertahanan Perancis DCNS) mempunyai dokumen sama. Bezanya, Malaysia klasifikasikan dokumen itu sebagai Akta Rahsia Rasmi.

“Berbanding Perancis, mahkamahnya boleh mengeluarkan perintah agar pihak berkaitan membuat pendedahan,” kata Cynthia pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari ini.

Syarikat DCNS, yang membekalkan dua kapal selam itu sebelum ini didakwa membayar sogokan jutaan ringgit kepada pegawai tertinggi Malaysia.


Urusniaga berharga RM7.1 bilion itu dibuat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri pertahanan dan dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Najib yang mendapat komisen bernilai RM540 juta melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd.

Di bawah undang-undang Perancis, pembelian kelengkapan ketenteraan yang melibatkan bayaran komisen adalah menjadi satu kesalahan.

Menurut Cynthia, beliau mendapat makluman persediaan mahkamah dari peguam Suaram, William Bourdon dan Joseph Breham, 16 Mac lalu.

Tambah beliau, dua hakim penyiasat yang mengendalikan kes tersebut ialah Roger L Roire dan Serge Tounaire.

“Nama-nama yang sebelum ini tak pernah didengari akan didedahkan,” tambah beliau namun enggan membuat spekulasi atau mendedahkan individu terbabit sebagai mematuhi prosedur mahkamah.

“Sebagai pengadu, Suaram kini punyai akses penuh kepada laporan siasatan pendakwaraya dan polis Perancis. Besar beza prosedur dan ketelusan siasatan antara Malaysia dan Perancis,” katanya.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah memberikan komitmen untuk membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

“Telah 10 tahun sejak 2002, kes ini tergantung. Kerajaan Malaysia wajar berikan kerjasama penuh, bukannya menghalang siasatan dibuat,” tegasnya.


Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...