Friday, March 9, 2012

NFC beli apartmen di Kazakhstan, tetap pecah amanah- Rafizi


                Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menyifatkan pembelian apartmen bernilai RM1.7 juta di Kazakhstan oleh National Feedlot Corporation (NFCorp), tetap merupakan pecah amanah, meskipun ia dikatakan dibeli sebagai pejabat operasi.
               Rafizi berkata, sekiranya benar dakwaan itu, ia masih menyimpang dengan matlamat asal penubuhan NFCorp dan perjanjian pinjaman mudah RM250 juta antara syarikat itu dan kerajaan.

“Mereka (NFCorp) patut menumpukan pada ladang mereka di Malaysia dan memenuhi sasaran yang ditetapkan, iaitu menyediakan 276,000 ekor lembu setahun.


“Jadi, mereka tiada sebab untuk membuka ladang di luar negara, apabila sasaran asal mereka gagal dicapai,” jelas Rafizi kepada Keadilandaily.

Beliau merujuk laporan laman The Malaysian Insider, berhubung siasatan polis jenayah komersial berkenaan pembelian apartmen bernilai RM1.7 juta di Kazakhstan oleh NFCorp.

Pembelian dibuat pada September tahun lepas, selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandandatangani untuk mendirikan ladang lembu di daerah Jambyl, Kazakhstan.
Apartment itu dikatakan akan dijadikan pejabat operasi mereka.

NFCorp dimiliki oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan tiga anak mereka.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan pinjaman RM250 juta digunakan untuk tujuan selain penternakan lembu oleh keluarga Shahrizat.

Antaranya membeli dua unit kondominium mewah di Kuala Lumpur, tiga unit kondo di Singapura, dua lot tanah di Putrajaya dan kereta mewah.

Semalam, Rafizi mendedahkan pembelian lapan unit lot kedai di KL Eco City, Bangsar oleh NFCorp dengan menyalahgunakan dana awam itu, bagi mendapatkan pembiayaan bank.

“Jika dilihat pada trend mereka, wang rakyat RM250 juta digunakan sewenangnya untuk membeli hartanah sebagai pelaburan peribadi mereka, seperti di Bangsar dan Singapura,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau sedang dalam proses mengumpul maklumat dan dokumen secukupnya tentang aktiviti NFCorp di Kazakhstan, sebelum mendedahkannya kepada rakyat.

“Sebelum ini pun, sebarang pendedahan kita sentiasa diiringi dengan gambar dan dokumen sebagai bukti sokongan, supaya rakyat tidak mengatakan kami membuat tuduhan kosong”, ujarnya lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...