Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, selain Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Noh Omar juga perlu dipanggil ke mahkamah kerana pembabitan mereka dalam meluluskan projek lembu berkenaan.
“Kami yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, agar semua pimpinan kanan BN dapat diheret memberi keterangan,” kata Zuraida dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, hari ini.
Hadir dalam sidang media itu ialah Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli.
Zuraida dan Rafizi sebelum ini disaman oleh Shahrizat sebanyak RM100 juta, ekoran pendedahan mereka mengenai skandal penyelewengan pinjaman mudah RM250 juta yang diberi kepada NFC.
Mereka akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Jumaat ini.
Menurut Zuraida, tindakan saman itu hanya akan mendedahkan penyelewengan dilakukan keluarga Shahrizat, termasuk kemungkinan Ketua wanita Umno itu sendiri perlu mengakui bahawa beliau pernah menghabiskan masa di kondominium mewah milik keluarganya, yang dibeli hasil dana NFC.
“Ini menimbulkan persoalan besar samada Shahrizat benar-benar tidak tahu bahawa keluarganya menyalahgunakan dana NFC untuk membeli harta peribadi sebagaimana dalam tuntutan samannya,” kata Zuraida lagi.
Justeru, Zuraida menasihatkan Shahrizat agar menarik saman berkenaan atau bakal berdepan pembongkaran berterusan pihaknya berhubung skandal NFC.
NFC didakwa diluluskan Najib yang mempengerusikan projek berimpak tinggi, manakala Muhyiddin ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa projek berkaitan Lembu itu diluluskan pada Ogos 2007.
Bagaimanapun, dana berkenaan digunakan untuk tujuan lain termasuk membeli lima unit kondominium di Bangsar dan Singapura, dua lot tanah di Putrajaya dan kereta mewah.-K/Daily
No comments:
Post a Comment