Wednesday, March 7, 2012

Mahfuz: Pemimpin Umno Berfikiran Sempit, Takut Debat

  
                Pemimpin Umno perlu menerima perubahan dalam landskap politik di negara ini sepertimana diinginkan rakyat dan harus bersedia tampil berdebat secara terbuka demi kepentingan semua.
                 Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin dari parti utama dalam BN itu tidak seharusnya mengelak dengan memberikan pelbagai alasan kerana tindakan itu dilihat menghina rakyat negara ini yang sudah boleh berfkir secara matang dan terbuka.

Menurutnya, pendekatan diamalkan Umno bagaikan memberi gambaran pemimpin parti itu sendiri tidak mahu berubah dan terus berfikiran sempit dengan cara politik lama yang tidak relevan.

“Umno cuba memberikan alasan kononnya kita (rakyat) belum sampai ke tahap kematangan berpolitik. Kerana itu debat tidak boleh diadakan.


“Ia satu penghinaan dan merendahkan corak berfikir masyarakat Malaysia hari ini yang saya kira sudah merentasi satu corak pemikiran yang ortodok sepertimana diamalkan oleh pemimpin Umno di mana mereka berfikir cara zaman batu iaitu berpolitik berasaskan kekuatan fizikal. Maka hari ini berlakunya budaya keganasan politik,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, sewajarnya Umno menerima perubahan itu sebagaimana transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sekiranya transformasi politik mahu dipraktikkan maka pemimpin Umno harus berlapang dada dan menerima perubahan itu.

“Sepatutnya kalau transformasi politik, kita harus pergi berdebat melalui pentas terbuka. Itu untuk memperlihatkan daya pemikiran pendebat dan idealisme dimiliki melalui parti politik diwakili di negara ini antara pemerintah dan pembangkang.

“Masyarakat masakini sudah jauh ke hadapan, jadi saya berharap mereka (pemimpin Umno) harus bersedia berdebat khususnya antara Ketua Kerajaan (Najib) dan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Itu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sekiranya debat perlu diadakan antara pihak yang lebih rendah tahapnya terlebih dulu, maka Mahfuz mengulangi cadangannya supaya debat antara dirinya dan Datuk Seri Hishammudin Husein yang tertangguh sekian lama, diadakan semula.

Katanya, debat itu adalah cabaran dibuat Hishammuddin kepadanya ketika masing-masing berperanan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Pas.

“Jadi apa salahnya pada hari ini dihidupkan kembali debat yang tertangguh tersebut iaitu debat antara Naib Presiden Pas dan Naib Presiden Umno. Orang yang sama tetapi jawatan berbeza.

“Ini ke arah membudayakan politik baru dalam Malaysia. Pemimpin Umno tidak harus takut,” katanya.-Selangorku.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...