Sunday, March 25, 2012

Najib dianggap khianati peneroka

 
               Seorang peneroka menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkhianati warga Felda jika benar beliau campur tangan dalam perbicaraan kes perahan minyak (KPG) sebagaimana didakwa.
               Hashim Ahmad dari Felda Jengka 1 berkata, beliau bersama peneroka yang lain membawa kes KPG ke mahkamah setelah merasakan 15 tahun mereka teraniaya dan tidak sepatutnya dikhianati.

“Tapi jika keadilan dan hak yang kami tuntut dengan begitu payah boleh diketepikan dengan arahan Najib, sudah tentu kami rasa dikhianati,” tegasnya.


Hashim ialah salah seorang daripada 365 peneroka sekitar Jengka yang memfailkan saman terhadap Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM175 juta di Mahkamah Tinggi Temerloh September tahun lalu berkaitan isu KPG.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution mendedahkan berdasarkan dokumen rasmi mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Felda yang diperolehinya, Najib telah meminta supaya hakim dan peguam yang mengendalikan kes saman KPG memastikan Felda menang kes tersebut.

Setiausaha Agung PKR itu mendedahkan di lobi parlimen baru-baru ini, arahan Najib itu menunjukkan campur tangan secara jelas pihak eksekutif dalam badan kahakiman negara sekali gus
hak peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah berkaitan kes-kes melibatkan Felda akan dinafikan.

Dalam pada itu Hashim berharap hakim-hakim mempunyai integriti mereka sendiri dan tidak mudah dipengaruhi oleh ahli politik tertentu di atas nama keadilan dan undang-undang.

Tambah Hashim, beliau bersama peneroka sekitar Jengka yang lain memfailkan saman terhadap Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM175 juta dengan asas tuntutan Felda melakukan penipuan dan pecah amanah dalam urusan KPG jualan hasil sawit.

“KPG diterima peneroka pada purata 18.5 % sedangkan bacaan kepada contoh hasil buah kelapa sawit yang dihantar kepada tiga makmal bebas menunjukkan kadarnya ialah 31.5 % dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27 %. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5 % yang digunakan oleh Felda.

“Itu bukan angka yang kecil. Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu berdasarkan harga pada 2008, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM250 bagi setiap tan, jika 10 tan sebulan bermakna kira-kira RM30 ribu wang peneroka telah dirampas dalam setahun,”jelasnya.

Sehubungan dengan itu, Hashim menyeru Najib dan sesiapa sahaja agar tidak mengganggu proses perbicaraan di mahkamah yang melibatkan peneroka.

Tambahnya, peneroka sudah berkorban dan berpenat lelah melalui pelbagai kesukaran sejak mula membuka hutan hinggalah kepada menuai hasil sehingga Felda megah di dunia kerana hasil komoditinya.

“Justeru jika peneroka mahukan keadilan menuntut hak mereka, janganlah diganggu dan dikhianati,” rayunya-.
Hrkhdaily


Anda harus bijak berfikir. Lakukan perubahan demi masa depan negara kita. Undi apa saja "Asal Bukan Umno"- ( A.B.U )

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...