Friday, March 16, 2012

Bertunang anak belanja besar, pertahan kuasa...

            Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh berbelanja besar untuk pertunangan anaknya, tentu dia sanggup berbelanja sebanyak mana pun untuk mempertahankan kuasanya, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
              (Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri) Abdul Kadir (Sheikh Fadzir) yang mendedahkan Barisan Nasional (BN) membeli undi sejak 40 tahun lalu mendakwa amalan itu tidak akan dilakukan oleh kepimpinan Najib sekarang.

"Mengharapkan Najib tidak membeli undi dalam pilihan raya sama seperti mengharapkan keluarga (Tan Sri) Lim Goh Tong menutup dan meruntuhkan pusat perjudian milik mereka di Genting Highlands. Ia tidak akan berlaku," katanya.

Mohamad berkata, etika apa yang boleh diharapkan dari orang yang dilaporkan berbelanja sebesar RM409,767 hanya untuk pertunangan anaknya.


"Sekarang pejabat Perdana Menteri mendakwa kononnya jumlah mewah yang menyindir kesusahan dan penderitaan rakyat itu dibayar oleh Najib sendiri dan bukan oleh pejabat Perdana Menteri.

"Saya bersetuju bahawa sukar hendak dinafikan pandangan yang menyatakan semuanya boleh dipinda dan diubahsuai untuk menunjukkan kononnya Najib sendiri yang membayar jumlah itu, begitu juga dengan perbelanjaan kira-kira RM80,000 untuk menyambut hari jadinya.

"Saya bersetuju bahawa semuanya boleh dipinda untuk mendakwa bahawa bukan pejabat Perdana Menteri yang membayar semua itu dengan duit rakyat," kata beliau.

Bagaimanapun, jika Najib berbelanja sendiri sebanyak itu, kata Mohamad, ia menimbulkan persoalan yang lebih besar lagi.

"Najib khabarnya ada lima anak, jika seorang anak dia berbelanja kira-kira setengah juta untuk pertunangan seorang anak sahaja, lima anak bermakna hampir RM2.5 juta. Tentu anak lain mahu layanan yang sama di hari pertunangan mereka.

"Itu baru belanja majlis pertunangan, belum lagi lagi pelbagai persiapan lain dan belum diambilkira lagi belanja pernikahan. Tentu jauh lebih besar lagi," katanya.

Najib, kata Mohamad, benar-benar mengamalkan apa yang dia kempenkan, iaitu rakyat didahulukan.

"Najib pernah suruh rakyat ubah gaya hidup. Memang benar, rakyatlah yang terlebih dahulu mesti mengubah gaya hidup.

"Najib tak perlu dan dia boleh terus berboros dan bermewah. Maklumlah, rakyat didahulukan," sindir beliau.

Bagi Mohamad, apa yang berlaku itu membuktikan Najib adalah pemimpin yang pembohong.

"Dia tak habis-habis bercakap untuk menunjuk-nunjuk seolah-olah dia sangat bagus. Tetapi semuanya dia tak buat dan dia hanya mahu orang lain yang melakukan kebaikan.

"Dia bercakap tentang demokrasi terbaik tetapi dia memburukkan lagi demokrasi di Malaysia. Semuanya bohong," kata beliau.

Sebab itulah, kata Mohamad lagi, angan-angan bahawa kepimpinan Najib tidak akan membeli undi dalam pilihan raya hakikatnya lebih buruk dari angan-angan Mat Jenin.

Walaupun cuba bermain kata-kata bahawa kepimpinan Najib tidak akan membeli undi, Abdul Kadir tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa BN menggunakan wang untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...