Ribuan khalayak, majoritasnya anak muda yang memenuhi gedung Kelantan Trade Centre (KTC) malam itu diam seketika saat mendengar kata-kata yang dilontarkan artis cantik yang melakonkan peranan Ustazah Ana dalam filem “Ketika Cinta Bertasbih” Oki Setiana Dewi.
Khalayak sepertinya terpukau bila sang artis pujaan mereka dengan suara penuh kelembutan memuji negeri Kelantan dan Menteri Besarnya, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sekali pandang mungkin orang tersalah tanggapan, apakah ia benar-benar seorang artis filem dan sinatron terkenal Indonesia, kerana penampilannya tidak seperti majoritas artis-artis lain yang sering mendedahkan aurat, sebaliknya Oki Setiana Dewi mengenakan jilbab labuh mentutupi sehingga paras dadanya. Bertambah cantik dan ayu bila dipadankan dengan baju warna unggu yang dipakai malam itu.
“Oki memakai jilbab bukan disebabkan mahu menghadiri acara “Bicara Selebriti” yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, di Kota Bharu, tapi Oki memakai jilbab sejak usia 16 tahun dan sebelum berlakon filem” tutur Oki.
Ketika usianya 16 tahun ia bertekad mahu menjadi seorang solehah, meskipun ia menyedari ilmu agamanya sangat minimum ketika itu. Namun telah tertanam dalam hati nuraninya satu perasaan bahawa perjalanan hidupnya kini menuju Allah SWT. Memakai kerudung adalah satu perintah agama, untuk menjaga keselamatan wanita, justeru tiada alasan untuk muslimah mengingkarinya.
Sehingga jika datang keinginan untuk melakukan hal-hal yang ditegah agama, ia teringat kerudung yang dipakainya, lantas tak jadi melakukannya. Kata Oki yang ketika itu tinggal di Batam, Riau bersama orang tuanya.
Namun memakai jilbab atau kerudung dalam usia muda pastinya banyak cabaran. Pernah orang bertanya, kenapa sih kamu pakai kerudung, bukankah itu pakaian Arab? Oki lantas menjelaskan, ini bukan pakaian Arab tapi pakaian Islam bagi muslimah. Beritahu Oki di acara bicara Selebriti malam itu.-Hrkhdly
No comments:
Post a Comment