Wednesday, March 21, 2012

MB S’gor mahu SPR jelaskan pertukaran tempat mengundi


                 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dipanggil memberi penjelasan berhubung penukaran kawasan mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
                 Beliau yang ditemui pemberita selepas mesyuarat sidang DUN di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri berkata, tindakan itu diambil kerana beliau mahukan penjelasan secara terperinci daripada agensi kerajaan itu.

“Apa yang saya akan buat, saya akan suruh Setiausaha Kerajaan Negeri menjemput Pengarah SPR, untuk hadir ke mesyuarat Exco negeri bagi menerangkan perkara yang berlaku.

“(Kita mahu tahu) mengapa ia berlaku dan bagaimana mereka yang diubah (alamat) diberitahu dan bagaimana menentukan mereka bersetuju atau tidak. Prosesnya akan kita lakukan secara tertib,” katanya.


Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok berkata, beliau tidak pernah menukar sebarang maklumat dalam kad pengenalannya sehingga membolehkan SPR mengubah tempat beliau mengundi.

“Tiada penukaran, kad pengenalan saya masih lagi Pasir Tuntung, memang saya mesti ambil tahu isu itu kerana saya mahu jadi pengundi di situ.

“Bila saya bertanding di Ijok, kad pengenalan masih dialamatkan di Pasir Tuntung, Kuala Selangor, tempat saya dilahirkan,” kata beliau.

Sebelum ini kawasan mengundi bagi Khalid Ibrahim didedahkan media ditukar tanpa pengetahuannya.
Semakan di laman web SPR mendapati Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah

Pantai yang diwakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.-K/Daily




 Pindah kawasan undi Khalid Ibrahim, menyalahi undang-undang

Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata tindakan memindahkan kawasan mengundi tanpa permohonan pengundi adalah menyalahi undang-undang.
Beliau merujuk kepada pendedahan portal Malaysiakini berita tentang pemindahan kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Petaling Jaya Selatan ke Lembah Pantai tanpa pengetahuan Khalid.
Menurutnya, keputusan mesyuarat PSC di Pulau Pinang baru-baru ini sendiri menetapkan pemindahan kawasan mengundi tanpa permohonan dari pengundi sendiri adalah menyalahi undang-undang.
“Pengarah SPR, Wan Ahmad perlu beri jawapan munasabah berkenaan isu ini, kalau tidak, lebih baik beliau letak jawatan,” kata Fuziah dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi ini.
“Kita menjangkakan beliau akan memberi alasan sempadan daerah mengundi diselaraskan dengan sempadan pentadbiran, seperti diberikan kepada Jawatankuasa Pembaikan Pilihanraya (PSC) sebelum ini.
“Tidak pernah wujud peraturan sempadan daerah mengundi dan sempadan pentadbiran perlu sama. Ini tidak dapat menjustifikasikan perbuatan SPR,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.
Menurut Akta Pilihanraya 1958, Urusan Belah Bahagi Daerah Mengundi membenarkan SPR untuk memindah kawasan mengundi dengan syarat ia tidak melampaui sempadan pilihanraya DUN dan Parlimen.
“Jelas SPR membiarkan mereka diperkuda Umno BN dalam membantu mereka dalam pilihanraya akan datang,” kata Fuziah lagi.
Sebelum ini juga, KEADILAN mendedahkan lebih 100,000 nama dikeluarkan dari daftar pengundi penuh, manakala 6000 nama dimasukkan, tanpa sebarang makluman kepada pengundi.
Sidang media ini turut dihadiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Lee Hoy Sian.
Lee berkata, beliau dimaklumkan penduduk kawasan beliau bahawa borang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diterima, menunjukkan kawasan mengundi mereka dipindah ke Parlimen Kelana Jaya dan Dun Seri Setia.
“Menteri Kewangan pasti mendapat maklumat itu dari SPR. Namun, apabila kita periksa sendiri di laman web SPR, kawasan mengundi masih lagi kekal di Petaling Jaya Selatan.
“Mereka bimbang sekiranya dengan menerima wang RM500 BR1M, kawasan mengundi mereka akan dipindah,”  jelas Lee sambil mengagihkan salinan surat itu kepada pihak media.-k/daily

Anda harus bijak berfikir. Undi anda membawa perubahan. Tegakkan keadilan untuk semua.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...