Friday, March 9, 2012

Muslimat PAS sertai himpunan 10 ribu wanita

  
                  Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan bersama-sama dalam himpunan 10 ribu wanita 'Suara Untuk Perubahan' pada 18 Mac ini di Petaling Jaya.
                   Himpunan anjuran aktivis daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan wanita parti-parti politik itu mempunyai slogan yang jelas iaitu 'Kerajaan yang bersih.

Mereka mempunyai enam tuntutan yang akan dibacakan pada perhimpunan itu iaitu kerajaan yang bebas daripada rasuah dan penyelewengan, akta gaji minima, kualiti kehidupan yang lebih baik, hapuskan keganasan terhadap wanita dan semua jantina, batalkan akta perhimpunan aman dan pilihan raya yang bebas dan adil.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, mereka percaya enam tuntutan tersebut merupakan keutamaan untuk diperjuangkan oleh wanita di seluruh negara.


"Bersempena Hari Wanita di peringkat antarabangsaKami berasa begitu terpanggil untuk menganjurkan satu perhimpunan wanita yang kita percaya ianya telah lama ditunggu-tunggu oleh ramai pihak.

"Malah situasi sekarang, himpunan ini sangat relevan, khususnya bila kita melihat begitu banyak masalah yang langsung menyinggung kepada kehidupan seorang wanita itu telah gagal diurus dengan sebaiknya khasnya oleh pihak berkuasa," kata beliau kepada Harakahdaily.

Ahli Jawatankuasa Wanita Suara Perubahan itu juga berkata, DMPP sebelum ini tidak pernah gagal menunjukkan solidariti dalam perhimpunan bagi menyuarakan isu rakyat.

"Perjuangan rakyat yang selama 60 tahun yang turut disertai PAS, kini telah pun sampai kepada kemuncak kerjasamanya. Kita telah melibatkan diri dengan kerjasama padu ini dalam beberapa siri himpunan aman rakyat.

"Baik untuk memprotes kenaikan harga minyak dan tol yang mengakibatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, himpunan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil, himpunan menuntut pemansuhan PPSMI, himpunan menuntut pemansuhan ISA dan seumpamanya," katanya.

Sehubungan itu, DMPP menyeru seluruh wanita tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik bersama-sama menjayakan himpunan ini demi masa depan yang lebih baik dan terjamin untuk generasi akan datang.

"Kita insafi bahawa kita berbeza dalam beberapa perkara, tetapi untuk masa depan, kita semua mahukan yang terbaik untuk kita semua apatah lagi anak cucu kita insyaAllah," katanya.

Perhimpunan tersebut dijadualkan bermula jam dua dan berakhir jam lima petang di Padang Angkasa 1, Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor-Hrkhdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...