Saturday, March 24, 2012

PTPTN batal jika Pakatan tawan Putrajaya – Anwar

 
               Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibatalkan serta-merta jika Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai kerajaan baru Persekutuan pada pilihan raya umum kali ini, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
               Pembatalan itu katanya selaras dengan agenda Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat seperti digariskan Buku Jingga.

“Semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, keuntungan Petronas RM30 bilion tapi ada biasiswa dan dermasiswa. Sekarang, untung Petronas, lebih RM90 bilion, tapi pelajar kita, baru masuk belajar, sudah berhutang. Belum kerja dah berhutang.

“Kalau kita diberi mandat memerintah Malaysia, saya beri jaminan, PTPTN akan kita batalkan,” katanya pada majlis ceramah Pakatan Rakyat di Lukut, Negeri Sembilan, 22 Mac lalu.


Beliau menegaskan, apabila harga minyak turun, secara automatik rakyat mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

“Apa jadi kalau harga minyak turun, pengangkutan awam juga akan turun, harga makan akan turun dan harga barang akan turun.

“Saya beri jaminan harga minyak boleh diturunkan, saya Menteri Kewangan lapan tahun, saya tahulah caranya,” katanya yang menjawat jawatan itu sejak 1991-1998.

Beliau turut menempelak Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir yang mengatakan pelaksanaan gaji minima akan membankrapkan negara.

“Kalau tidak mampu laksana gaji minima, sila berundur kerana kami beri jaminan gaji minima RM1,100 akan dilaksana jika kita diberi mandat memerintah. Malaysia ini negara kaya dan ada macam-macam sumber hasil, kita yakin dasar ini boleh dibuat,” tegasnya.

Beliau memberi contoh Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat bukan sahaja berjanji malah berjaya melaksanakan dasar gaji minima sejak Januari lalu dengan permulaannya kepada syarikat kerajaan negeri.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, Datuk Kamarul Bahrin Abbas dan pimpinan Pakatan Rakyat dari pelbagai peringkat.

Ceramah yang berlangsung kira-kira tiga jam itu menyaksikan ratusan kenderaan memenuhi perkarangan kawasan tanah lapang itu kira-kira satu kilometer.

Dua stesyen minyak berhampiran turut menjadi medan tempat meletak kenderaan orang ramai ekoran kawasan sesak dan padat dengan kehadiran ribuan rakyat malam itu.-K/Daily


Anda harus bijak berfikir.. Lakukan perubahan demi masa depan anda. Undilah apa saja sekali pun "Asal Bukan Umno"- (A.B.U)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...