Akta hasutan adalah undang-undang jakun yang tidak boleh diterima pakai dalam sebuah negara demokrasi. Akta ini hanya untuk menutup suara-suara pembangkang dari diketahui rakyat salah laku pemimpin Umno-BN. Pertuduhan ini amat malang sekali kerana pertuduhan ini berunsur politik. Mereka mahu kes ini dibicarakan di mahkamah supaya adun Sri Muda didakwa untuk melemahkan Pakatan Rakyat, sedangkan jika dilihat ahli-ahli politik dari Umno-BN, juga pernah mengeluarkan kata-kata yang bersifat perkauman tetapi tidak didakwa di bawah akta ini. Ini menunjukkan Umno-BN ketandusan idea serta berniat jahat untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat secara demokratik.
Peguam Amer Hamzah Arshad, menyifatkan pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamannya ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie hanya berunsurkan politik semata-mata.
Dakwanya pendakwaan ini mendapat tekanan daripada pihak berkepentingan yang mahukan kes ini dibicarakan di mahkamah sedangkan jika dilihat ahli politik yang lain seperti Barisan Nasional(BN) juga pernah mengeluarkan kata-kata yang mempunyai elemen hasutan.
"Pertuduhan ini tidak perlu dibawa langsung kerana pertuduhan terhadap Shuhaimi, tidak lain tidak bukan adalah satu pertuduhan yang berunsurkan politik kerana banyak tekanan-tekanan daripada pihak tertentu yang telah menyebabkan pertuduhan dan pendakwaan di mahkamah hari ini," katanya.
Amer juga turut membantah denda yang dikenakan ke atas Shuhaimi bersifat menekan anak guamannya sedangkan hukuman denda yang diperuntukkan hanyalah RM5,000 di bawah Akta Hasutan.
"Jadi kalau ikut dari segi logik kita bandingkan denda maksimum yang boleh dikenakan mahkamah hanyalah 5,000 ringgit tetapi jumlah jaminan yang ditawarkan 20,000 ringgit, bukan ke itu satu bentuk penindasan (oppressy) jadi ini menunjukkan ada unsur pendakwaan yang berunsurkan politik," katanya lagi.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria meminta mahkamah menetapkan RM20,000 sebagai wang ikat jamin atas alasan kesalahan didakwa dilakukan adalah serius membabitkan hasutan terhadap Sultan Selangor.
Dalam pada itu, seorang lagi peguam yang mewakili Shuhaimi, N Surendran, menggesa kerajaan menghapuskan Akta Hasutan, yang kini tidak lagi relevan dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.
"Akta hasutan tidak mempunyai tempat di dalam negara yang demokrasi dan bebas jika kerajaan setiap kali menyatakan bahawa ini negara bebas dan kerajaan menghormati proses demokrasi dan sebagainya, jika benar mansuhkan akta hasutan dengan segera, buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negara ini benar-benar menghormati demokrasi, kerana sekarang jelas menunjukkan kerajaan bersama peguam negara tidak menghormati demokrasi," katanya ketika ditemubual Tv Selangor.
Surendran juga menganggap dengan adanya Akta Hasutan ini telah menyekat kebebasan seseorang untuk bersuara, lebih-lebih lagi kenyataan yang berbaur menentang kerajaan.
Pagi tadi Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyentuh kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor menerusi blognya pada 30 Disember lalu.
Beliau juga didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam blog pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan yang didakwa ke atasnya dan mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.
No comments:
Post a Comment