Mahathir harus bertanggungjawab tentang operasi lalang 1987. Beliau menyalahkan pihak polis menyebabkan 106 orang ditangkap dan ditahan di bawah ISA. Secara logik akal, kuasa polis terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri dan ketika itu Menteri Dalam Negeri adalah Mahathir. Memang kerja polis hanya menangkap tapi siapa yang memberi arahan itu..? Tentu kuasa dan arahan penangkapan itu datangnya dari Kementerian Dalam Negeri. Siapa Menteri Dalam Negeri ? Mustahil pihak polis bertindak sendirian dalam tangkapan itu, jika tidak ada arahan dari Mahathir. Janganlah Mahathir sendiri cuba membohongi rakyat dengan memutar belit fakta sebenarnya. Rakyat bukanya bodoh. Beliau terlalu zalim pada rakyat di era beliau sebagai PM. Sejarah kezaliman beliau tidak boleh membohongi dengan kata-kata. Janganlah cuba lempar batu sembunyi tangan..
Penjelasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersalahkan polis atas Operasi Lalang yang menyebabkan 106 ditangkap di bawah ISA pada tahun 1987 lalu, jelas merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan memalukan.
Selain itu, kenyataan itu juga boleh dilihat sama ada Mahathir telah lupa dengan apa yang telah dilakukan atau mahu menutup imejnya yang buruk semasa menjadi Perdana Menteri dahulu yang amat banyak melakukan tangkapan di bawah ISA.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, selaku eksekutif atau Perdana Menteri di negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri dulu, mustahil Mahathir tidak tahu dengan tangkapan ISA dan membiarkan pihak polis yang bertindak sendirian dalam hal itu.
Menurut beliau, pada hal, penggunaan ISA ke atas seseorang itu bukan berada di bawah kuasa polis, tetapi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala Menteri Dalam Negeri pula ketika itu adalah Mahathir sendiri.
"Untuk menahan seseorang itu di bawah ISA, ia mestilah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri ketika itu iaitu Mahathir sendiri. Jadi macam mana Mahathir boleh kata dia tak tahu menahu perkara itu dan polis telah bertindak di luar perancangannya atau lain dari yang ingin dilakukannya?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Jadi, menurut beliau, kenyataan Mahathir itu tentunya tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja yang berakal waras kerana semua tindakan yang dilakukan itu adalah di bawah tanggugjawab beliau sendiri selaku Perdana Menteri, apatah lagi dalam masa yang sama turut menjadi Menteri Dalam Negeri.
"Malah jika benar apa yang dikatakan oleh Mahathir itu, ia jelas merupakan sesuatu yang ganjil, memalukan dan kegagalan Mahathir sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya selaku Perdana Menteri ketika itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mempersalahkan polis atas Ops Lalang yang menyaksikan 106 orang termasuk seteru politiknya ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.
Dalam buku terbaru mengenai Mahathir yang berjudul 'Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad', bekas perdana menteri yang meneraju Malaysia selama 22 tahun itu mengakui bahawa beliau berang dengan tindakan polis itu.
"Ya, saya akan tangani secara berbeza, tetapi polis ingin melakukan hal-hal ini (tangkapan ISA) kerana mereka menyatakan ia perlu.
"Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan menyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang," kata Mahatahir.
Tom Plate yang mewawancara Mahathir dan mengarang buku itu kemudiannya bertanya kepada Mahathir dengan lebih lanjut sama ada beliau marah atau tidak dengan tindakan polis itu.
"Yeah, tapi apa yang boleh saya lakukan? Saya perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah orang-orang yang membuat keputusan. Saya memberikan kuasa umum kepada mereka untuk bertindak," jawab Mahathir.
Semasa penangkapan besar-besaran pada 27 Oktober 1987, lebih seratus orang ditangkap. Sebahagian besar daripada mereka yang ditangkap itu terdiri daripada pemimpin pembangkang dan segelintir ahli politik dari Umno dan MCA. Selain itu, permit penerbitan untuk akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik.
Kerajaan kemudian menawarkan penjelasan bahawa tangkapan ISA yang kedua terbesar sejak rusuhan perkauman 13 Mei itu adalah 'perlu' bagi membendung 'ketegangan perkauman' yang semakin memuncak, akibat protes besar-besaran berhubung pelantikan pengetua bukan berpendidikan Cina di sekolah-sekolah vernakular Cina.
Umno pula kemudiannya membalas dengan mengadakan protes besar-besaran juga yang diketuai oleh ketua pemudanya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Baru, beberapa hari sebelum tangkapan beramai-ramai dibuat.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Dr Mujahid menegaskan, kenyataan Mahathir itu bukan sekadar membuktikan kegagalannya dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, tetapi juga amat mengejutkan.
"Mahathir tidak sepatutnya menyalahkan pihak polis atau pihak lain dalam hal itu kerana dialah sebenarnya yang bertanggungjawab dengan semua itu.
"Semasa menjadi Perdana Menteri dulu, Mahathir sememangnya banyak melakukan tindakan yang bercanggah dengan demokrasi termasuk penggunaan ISA, menarik balik permit akhbar, menyekat kebebasan rakyat memberikan pandangan, menyekat kebebasan bersuara dan menyekat kebebasan akhbar," katanya.
Kini setelah sekian lama bersara, menurut beliau, barulah Mahathir sedar kesalahannya itu dan mahu menutup kesalahannya dengan membuat kenyataan seperti itu, walaupun ia lebih memalukan dirinya sendiri.-HarakahDaily
No comments:
Post a Comment