Wednesday, February 9, 2011

Pendakwaan ADUN Sri Muda - Khalid Samad


Tuduhan yang dikenakan terhadap YB Shuhaimi di bawah akta Hasutan. Jika didapati bersalah, mungkin di penjara atau denda yang boleh membawa kelucutkannya sebagai adun. Apa yang ditulis oleh YB Shuhaimi dalam blognya, jauh lebih kecil tulisannya jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan UMNO dalam pindaan perlembagaan terhadap institusi raja-raja melayu. Kesimpulannya, UMNO lah yang menjadi dalang dan pengkhianat. 


Apakah tindakan ini merupakan fasa ke 2 dalam usaha BN merampas balik Negeri Selangor? Kita tahu bahawa semenjak Najib menjadi Pengerusi UMNO Selangor, maka tindakan-tindakan biadap membelakangkan kerajaan Negeri dan Sultan sendiri semakin menjadi-jadi. Perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri diusahakan dengan begitu bersungguh-sungguh dan semestinya ada perancangan durjana disebaliknya. Bukan sekadar untuk menempelak kerajaan Negeri dan DYMM Sultan, tetapi semestinya ada perancangan yang lebih dari itu.

Tindakan terbaru ekoran krisis perlembagaan melihat bagaimana YB Suhaimi pula diarah melapor diri ke Balai Polis pada hari Khamis untuk terus didakwa pada hari Isnin ini. Ianya satu tindakan yang begitu laju dan cepat tidak seperti kebiasaan di Malaysia.

Pertuduhan yang bakal dikenakan ke atas dirinya adalah tuduhan menghasut yang sekiranya didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara dan/atau denda yang memungkinkan kerusinya terpaksa dikosongkan. Ianya bermula dari tulisan YB di Blog beliau yang mana, sekiranya dibaca, jauh lebih 'kecil' isunya dibandingkan dengan apa yang pernah dinyatakan dan dilakukan oleh UMNO terhadap institusi Sultan Melayu di beberapa negeri sebelum ini.


Tidak perlu saya ulangi tindakan pemimpin UMNO yang telah menjadi pengetahuan umum semenjak sidang DUN Selangor yang lalu. Namun apa yang ingin saya timbulkan ialah persoalan perancangan jahat pihak UMNO/BN yang sentiasa berusaha untuk menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan selain dari mereka. Mereka menggunakan segala agensi kerajaan untuk menggagalkan kerajaan PR pilihan rakyat seperti pernah mereka lakukan di Perak. Dewasa ini seolah-olah perkara yang sama sedang mereka lakukan di Selangor dan melalui kaedah yang seakan-akan serupa.

Dulu di Perak, Othman Jailu dan Jamaluddin diperangkap dengan beg yang mengandungi sejumlah wan dan diugut untuk didakwa. Difahamkan bahawa mereka diberitahu bahawa sekiranya didakwa, mereka akan didapati bersalah dan akan dimasukkan ke penjara. Jawatan ADUN akan hilang dan mereka tidak akan mendapat apa-apa melainkan kesengsaraan. Sambil itu mereka dipujuk dengan kata-kata manis seperti, "sepatutnya kamu yang jadi MB, bukan Nizar". Wang juga dipercayai ditawarkan dan setelah mereka melompat ke BN, kes pendakwaan mereka tidak lagi kedengaran. Malah digugurkan begitu sahaja.

Persoalannya, adakah perancangan jahat yang sama sedang diaturkan oleh UMNO/BN untuk Negeri Selangor? Adakah dengan menggunakan pejabat AG mereka akan mengugut YB Suhaimi dan mungkin YB-YB lain selepas ini, untuk samada letak jawatan atau melompat?

Setelah menghalang pengembalian kuasa dan peranan Sultan dan Menteri Besar dan seterusnya melantik SUK pilihan mereka, maka adakah ini merupakan fasa kedua perancangan jahat BN untuk menjatuhkan kerajaan PR di Selangor?

Kita yakin, insyaAllah bahawa kaedah yang digunakan mereka di Perak tidak akan berjaya di Selangor. Malahan tindakan ini akan menyebabkan rakyat Selangor semakin menolak UMNO dan BN kerana mereka menyedari kejahatan tindakan UMNO dan BN dalam peristiwa seperti ini.

Kita juga yakin bahawa YB-YB kita di Selangor tidak akan dapat dibeli atau ditipu semudah itu, lebih-lebih lagi apabila mereka semua menyedari betapa rakyat telah berkorban untuk mempertahankan kemenangan PR di Selangor. Dalam isu ini, kematian mendiang TBH perlu sentiasa diingat supaya pengorbanan dirinya dan keluarganya tidak disia-siakan atau dikhianati.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...