Sunday, June 17, 2012

Tun Mahathir tidak perlu gundah gulana kerana beliau tidak pernah bersalah- Aspan Alias


            Dr Mahathir bin Mohamad adalah Perdana Menteri negara selama 22 tahun dan telah secara zahirnya bersara dari jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 30hb Oktober 2003. Tetapi jelas beliau belum bersara dari politik. Beliau masih bermain politik dan panggilan ramai yang beliau sebagai negarawan itu agak tidak tepat. Beliau masih lagi seorang ‘politician’ yang giat, dan beliau belum lagi sampai ketaraf seorang negarawan.

Tidak salah beliau mahu terus berpolitik kerana ini negara demokrasi dan rakyat sedang memperjuangkan demokrasi itu dengan gigih. Hanya Mahathir sahaja yang bermain politik tidak demokratik.
Demokrasi itu boleh dipanggil demokrasi jika beliau yang mendapat keuntungan. Jika politik itu tidak kena kepada kehendak beliau segala sistem yang telah wujud sebagai institusi demokrasi akan beliau runtuhkan.

Tidak payah mengulangi apa yang beliau telah lakukan kerana itu semua sudah menjadi pengetahuan umum dan ini jugalah yang sedang menghantui kehidupan dan pemikiran beliau sekarang ini. Apa yang telah beranak pinak dalam pemikiran beliau sekarang yang selama ini tidak keluar, kini sudah beliau zahirkan melalui penulisan beliau dalam blog beliau baru-baru ini.

Pandangan beliau di dalam penulisannya itu amat menarik perhatian kerana apa yang beliau perkatakan itu memang telah menjadi perbualan ramai sejak beliau bercakap setiap hari akhir-akhir ini. Sebagai seorang PM yang sudah bersara dari jawatan, beliau masih bercakap dengan tidak ‘magnanimous’ sekali walaupun beliau dipanggil sebagai seorang negarawan oleh setengah pihak.

Media-media arus perdana, dan salah satunya tentulah Utusan Malaysia yang kini dikenali sebagai akhbar ‘Utusex Malaysia’ seperti yang digelar oleh anak-anak muda sekarang. Sebab apa akhbar ini diberi gelaran ini tidak saya ketahui tetapi begitulah yang saya dengar ramai orang bercakap. Saya pun tidak mahu hendak mengambil ‘pot’ dengan panggilan dan gelaran itu. Agaknya panggilan itu terbit kerana dalamnya mungkin banyak cerita sex. Saya tidak tahu kerana saya sudah tidak membaca akhbar itu sejak tahun sembilan puluhan lagi.

Bekas PM negara Mahathir menulis luahan hatinya di dalam blog beliau sambil berkata yang PR akan mengambil tindakan terhadap diri beliau dengan memenjarakan atau mengambil tindakan mati terhadap segala ‘misdeeds’ beliau semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dahulu. Beliau membayang ketakutan beliau yang beliau akan diambil tindakan seperti apa yang dilakukan oleh rakyat Mesir terhadap Mubarak dan sebagainya.

Tentunya ini merupakan permainan dalam pemikiran beliau sebegitu lama dan bolehlah kita anjurkan yang Mahathir begitu risau terhadap apa yang akan berlaku kepada nasib beliau jika PR diberi mandat oleh rakyat di dalam pilihanraya ini. Dengan pemikiran begini ia menampakkan sikap beliau yang semua orang adalah seperti beliau, berdendam kesumat terhadap seteru politik beliau selama ini.

Sesungguhnya apa yang ingin dilakukan oleh pihak ‘alternative’ ialah untuk mengembalikan demokrasi dengan memulihkan sistem itu ketahap yang baik seperti yang pernah negara alami selama ini. Sistem itu hancur apabila Mahathir telah meranapkan sistem demokrasi negara kerana beliau tidak sesuai dengan sistem yang menjadi amalan mana-mana negara yang bersistem.

Semasa beliau menjadi pemimpin negara sistem itu adalah sistem dia sendiri. Mahathir tidak kekal lama kalau beliau bersifat ‘gentleman’ dan mengikut sistem biasa demokrasi. Di negara Jepun pernah Perdana Menterinya bertukar dua kali dalam setahun, tetapi negara itu tetap utoh dan rakyatnya hidup seperti biasa. Kerana apa? Kerana sistem itu yang menentukan keadaan bukan pemimpin yang menentukan sistem.

Oleh kerana sistem demokrasi negara telah di anjak dan di alih maka negara kita dibawah pentadbiran Mahathir tidak mempunyai sistem dan sistem yang ada hanyalah sistem Mahathir. Mahathir pantang jika kehendaknya dilarang oleh sistem. Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa untuk memecat PM maka dicerobohnya sistem beraja itu kerana yang penting kepada beliau jangan ada sistem yang menghalang kehendak beliau.

Dalam mentadbir negara dengan sistem peribadi beliau maka beliau mampu melakukan segala-galanya tanpa takut dan ragu kerana beliau menguasai sistem negara. Oleh kerana bersikap bermaharaja lela beliau itulah, maka banyak perkara yang beliau lakukan terhadap negara yang salah, tetapi sistem pentadbiran beliau tidak membolehkan beliau dan sesiapa di dalam kerajaan tidak terkawal oleh undang-undang.

Walaupun beliau telah melakukan perkara yang salah dan bertentangan dengan undang-undang yang biasa, Mahathir tidak termasuk dalam sistem kawalan undang-undang kerana pada Mahathir undang-undang itu adalah beliau sendiri. Itu sebabnya Mahathir adalah seorang pemimpin yang boleh ‘berjalan di atas air’ selama beliau berkuasa kerana semua undang-undang berada di dalam tangan beliau.

Mahathir itu adalah undang-undang, undang-undang itu adalah Mahathir. Undang-undang itu hanya untuk musuh dan seteru beliau tetapi tidak untuk diri beliau. Beliau lebih kebal dari tindakan undang-undang sedangkan Raja Melayu pula sebaliknya tidak kebal dari undang-undang dengan tertubuhnya ‘special court’ untuk Raja- Raja Melayu.

Itulah sebabnya Mahathir akhir-akhir ini bercakap lebih banyak dari pimpinan negara yang lain. Belum pun hilang dengung kata-kata yang diluahkannya hari ini, besok beliau bercakap lagi dan akhirnya ‘through his own admission’ sebenarnya beliau terlalu takut jika PR memerintah dan pemulihan sistem itu akan memerangkap beliau kerana kesalahan-kesalahan yang beliau tahu telah beliau lakukan dengan sewenang-wenangnya semasa dalam kuasa dahulu.

Kita tidak mendengar mana-mana pemimpin dari pembangkang yang menjanjikan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Mahathir atau mana-mana pemimpin BN sekarang ini jika PR mendapat mandat rakyat. Apa yang dijanjikan oleh pimpinan pembangkang ialah untuk memulihkan kembali sistem yang telah dihancurkan oleh Mahathir dahulu.

Apa yang akan dihadapi oleh semua pihak yang bersalah itu bukannya pemimpin yang mengambilalih itu, tetapi hanya menghadapi sistem yang biasa dalam sebuah negara yang merdeka dan demokratik. Sistem itulah yang menentukan samada seseorang itu akan menghadapi tindakan undang-undang atau sebaliknya, tidak kira dari pihak yang hilang mandat atau yang sedang mendapat mandat.

Sistem itu tidak mengenal sesiapa. Ia hanya mengenal apa yang sistem itu patut lakukan sahaja. Itulah sebabnya kita jangan melanggar undang-undang semata-mata kerana kita berkuasa sebabnya bak kata perbilangan ‘what goes around comes around’.

Sistem merupakan elemen penting untuk menjadikan negara kita dihormati oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa. Keutuhan semua sistem dan institusi demokrasi negara amat penting dipertahankan untuk menjadikian negara kita sebuah negara yang benar-benar berdaulat atau sebaliknya.

Sistem itu bukan kepunyaan sseorang pemimpin. Ia adalah kepunyaan negara dan rakyatnya. Jika benar Mahathir tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak ada sebab beliau membuat kenyataan yang menjadi polimik dimana-mana sekarang ini. Malahan beliau tidak akan merasa sedikit pun keresahan jika rakyat memberikan mandat kepada PR kali ini.

Lagi pun rakyat berhak untuk memberikan mandat itu kepada mana-mana pihak yang mereka yakini. Rakyat tidak mampu untuk mengekalkan mandat semata-mata untuk menjaga serta menutupi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan kepada negara.

Pandangan saya kepada Dr Mahathir, beliau tidak perlu resah dan gundah kerana beliau sendiri mengaku yang beliau tidak pernah melakukan kesalahan semasa memerintah dahulu. Bagaimana sistem yang baik dan betul mampu untuk melakukan apa-apa tindakan kepada beliau yang tidak pernah melakukan kesalahan itu?- AspanAliasnet

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...