Bercakap dalam kenyataan, Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, cabaran debat itu bagi membalas gesaan Rais semalam agar Anwar berlawan secara ‘gentleman’ dan menghentikan keganasan termasuk demonstrasi jalanan bagi mengambil alih pemerintahan.
“Di samping menggesa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kepimpinan yang ‘gentleman’, mengapa Rais tidak mendesak Najib untuk berdebat? Bukankah berdebat itu adalah platform yang terbaik bagi rakyat menilai pandangan dan tawaran yang diberi oleh kedua-dua pemimpin?
“Mengapa sampai hari ini Perdana Menteri dan Timbalannya tidak mengutuk keganasan politik dan budaya samseng yang kian serius? Adakah Umno merestui budaya samseng tersebut diteruskan?” katanya mengenai serangan dan gangguan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Rais turut menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Pakatan Rakyat akan menganjurkan demonstrasi ganas tanpa henti untuk menolak keputusan pilihan raya jika tewas.
Khai Loon menyifatkan tuduhan itu tidak berasas serta berniat jahat malah Rais telah memutar-belitkan semangat kebangkitan rakyat Timur Tengah (Arab Spring) yang menolak pemerintahan zalim dan rasuah sebagai keganasan dan kekerasan untuk rampas kuasa.
“Kejahilan Rais terhadap sistem demokrasi yang berasaskan badan kehakiman yang bebas, kebebasan media serta hak asasi manusia amat memalukan. Beliau perlu belajar semula tentang prinsip kebangkitan rakyat dan demokrasi agar tidak diketawa,” kata Khai Loon.
AMK menegaskan setelah 12 kali pilihan raya di Malaysia, pihak Pembangkang telah menerima hakikat dan menghormati keputusan rakyat dengan cara yang aman dan tenang.
“Dalam sejarah Malaysia, Pembangkang tidak pernah mengadakan demonstrasi atau mewujudkan kacau-bilau untuk menggulingkan kerajaan.
“Kenyataan pimpinan Umno BN yang sering menuduh Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah adalah berunsur intimidasi serta mengalihkan fokus kelemahan dan penyelewengan pemerintahan sedia ada,” katanya lagi.
AMK turut mendesak Perdana Menteri agar menghentikan segala keganasan politik serta melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih sebelum membubarkan Parlimen.- Keadilandaily
No comments:
Post a Comment