Thursday, June 28, 2012

Scorpene: Jawapan Zahid timbul banyak soalan


              Jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen mengenai isu jualan rahsia Scorpene di Dewan Rakyat malam tadi menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.
              Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mengungkit banyak soalan yang perlu dijelaskan kerajaan.

Pada 26 Jun 2012, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan telah memberi jawapan kepada isu-isu yang saya bangkitkan dalam ucapan penangguhan Nurul Izzah di Parlimen.


Ia mengenai kehilangan atau penjualan dokumen rahsia pertahanan berkaitan pembelian kapal selam Scorpene seperti didakwa Saram di Bangkok baru-baru ini, yang juga berkait dengan inkuiri kehakiman (judicial inquiry) di Perancis.

Beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan tiada maklumat mengenai apa-apa dokumen rahsia pertahanan yang dikeluarkan dari negara, dan kerajaan tidak berminat untuk menghantar wakil pemerhati sekiranya inkuiri kehakiman tersebut menjadi kes penuh di mahkamah Perancis.

Namun, kata Nurul, jawapan beliau menimbulkan seribu satu pertanyaan, yang perlu beliau jawab terutamanya berkaitan isu-isu berikut:

1) Menteri mengakui bahawa satu 'siasatan' ke atas isu dakwaan dokumen rahsia pertahanan negara dikeluarkan dari Malaysia.

Persoalannya adalah: apakah ruang lingkup siasatan tersebut? Adakah pihak Polis Di-Raja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara terlibat untuk mengelak konflik kepentingan tatkala dakwaan tersebut melibatkan Kementerian Pertahanan? tanya Nurul.

Nurul juga bertanya, adakah Menteri mengakui bahawa dokumen-dokumen 'rasmi' yang dimaksudkan yang kini di tangan Mahkamah Perancis bukan 'Rahsia Kerajaan', dan oleh itu adalah dokumen-dokumen palsu?

Sekiranya hal ini benar, adakah pihak kerajaan akan menghantar nota diplomatik untuk membantah penggunaan dokumen-dokumen palsu tersebut? soal beliau.

Beliau juga bertanya, adakah Menteri akan menjelaskan sama ada pembelian kapal selam Scorpene ini suatu usaha antara kerajaan (Government-to-Government)?

Jika benar, apakah rasional menggunakan sebuah syarikat peribadi seperti Perimekar Sdn Bhd untuk 'perkhidmatan sokongan dan koordinasi' dan bukannya sebuah badan kerajaan yang memastikan rahsia-rahsia pertahanan negara akan terjamin? tanyanya lagi.

Menteri turut wajib menyenarai apakah sebenarnya perkhidmatan-perkhidmatan yang dimaksudkan itu, katanya.

Beliau juha bertanya, adakah Menteri akan mengesahkan bahawa kapal selam Scorpene yang dimiliki Kerajaan Malaysia sudah melaksanakan ujian tembakan peluru hidup serta torpedo bagi mengesahkan tahap persediaan sistem persenjataan?

Bagi beliau, menteri tidak seharusnya berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi, kerana latihan-latihan sedemikian, seperti latihan pelancaran misil exocet tentera laut, diketahui umum sebagai bukti keupayaan sistem tersebut (proof of capability) yang juga menampakkan kebolehan pertahanan negara.

"Mengapa perlu dirahsiakan, walhal berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk membeli kapal selam Scorpene ini?" katanya lagi.-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...