Friday, June 1, 2012

Najib! Buktikan anda berani berdebat dengan saya – Anwar

Najib tidak wajar mengkritik dasar ekonomi Pakatan apabila beliau sendiri penakut  dan terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar tersebut.

   
             “Keengganan beliau (Najib) untuk berdebat dengan saya (Anwar) berkaitan dasar-dasar ekonomi hanya mengesahkan dakwaan mutakhir ini bahawa beliau (Najib) sememangnya memimpin sebuah kerajaan yang lemah – baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
               Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini berikutan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini enggan berdebat bersamanya walaupun tawaran debat itu berlarutan sejak tahun lalu.

Ketua Umum KEADILAN itu turut menempelak tindakan Najib yang juga Menteri Kewangan menipu rakyat kononnya Pakatan Rakyat (Pakatan) menjanjikan gaji minimum sebanyak RM4,000.


“Satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadang (Pakatan) ialah mengubah dasar yang menumpu kepada sasaran ekuiti 30 peratus Bumiputera yang disalahguna BN kepada sasaran ekonomi berteraskan pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap keluarga dalam tempoh lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Malang sekali apabila Najib gagal membezakan antara gaji minimum yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi,” katanya.

Anwar sebelum ini menegaskan gaji minimum yang ditawar Pakatan ialah RM1,100 sebulan dan ia jauh lebih baik berbanding yang diumum Najib iaitu antara RM800 hingga RM900 sebulan.

“Pendapatan setiap keluarga mesti ditingkat sejajar peningkatan kos kehidupan dan mereka seharusnya meraih pendapatan lebih tinggi dari garis kemiskinan agar mampu membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak mereka.

“Justeru, sasaran ekonomi yang ditetapkan Pakatan agar jumlah pendapatan setiap keluarga Malaysia sekurang-kurangnya mencecah RM4,000 sebulan bukan sahaja tepat secara moral, bahkan mampu dicapai menerusi gabungan dasar ekonomi pro-rakyat yang dicadangkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan Najib tampil ke medan debat sebagai mempertahankan pendirian Presiden Umno itu yang tidak bersetuju dengan dasar ekonomi yang ditawar Pakatan.

“Najib tidak wajar mengkritik dasar ekonomi Pakatan apabila beliau sendiri terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar tersebut.

“Jika beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan untuk melaksanakan tawaran-tawaran ekonomi tersebut, beliau seharusnya berani untuk mempertahankan pendirian beliau itu dalam perdebatan terbuka,” katanya lagi.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...