Saturday, June 30, 2012

'Masuk PAS kerana prinsip, rezeki Allah tentukan'

"Masuk PAS? Nak makan apa? Saya yakin yang bagi rezeki kepada saya bukan BN tetapi Allah Taala. Saya dapat rasa dan saya yakin,"- Hairie
  
              Menyertai parti PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem Leftenan Adnan, Hairie Othman malah beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun ini.
              Bagi Hairie, keputusannya hari ini adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan selepas menyertai PAS.

"Nak masuk Umno ramai yang berani, nak masuk PAS satu keputusan kena fikir lama-lama. Kalau nak masuk Umno tidak jadi isu. Kalau masuk PAS habis!!


"Masuk PAS? Nak makan apa? Saya yakin yang bagi rezeki kepada saya bukan BIN tetapi Allah Taala. Saya dapat rasa dan saya yakin," ujar beliau ketika berucap dalam forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor atau Kerana Prinsip? anjuran Akademi Pak Sako di Dewan Himpunan Cina KL-Selangor.

Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan keadaan ini seperti sudah dijangka namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, pelakon berusia 41 tahun ini memberitahu beliau mungkin tidak akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas ini.

"Saya tanya orang ramai dalam Himpunan Hijau, selepas ini saya nak buat apa? Nak mana apa? Mereka ramai-ramai jawab, apa lagi ceramahlah!" ujarnya.

Hairie juga tidak bimbang kehilangan kerjayanya sebaliknya beliau kini sedang giat aktif memenuhi undangan-undangan ceramah di merata tempat.

"Dari hari ini hingga bulan puasa, jadual ceramah saya penuh. Dan lepas raya pun saya ada 'job' (ceramah) lagi," katanya.

Bagaimanapun, Hairie menolak dakwaan bahawa penyertaan artis dalam dunia politik hari ini kerana tidak dapat projek dan kerjaya yang semakin malap.

"Sekarang ini saya rasa lebih popular, kalau dulu rakan 'facebook' saya hanya 4000, hari ini rakan saya mencecah 12 000, naik mencanak dan orang lawat laman saya itu dekat 200,000. Tidak popularkah itu?" tegas beliau.

Turut hadir sebagai panel ialah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong yang juga merupakan penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim atau popular dengan nama pena, Budi Hikayat. Serta wakil daripada parti UMNO iaitu Presiden Persatuan Seniman, pelakon Zed Zaidi.

Bercakap di hadapan hampir 100 hadirin, Hairie yang mewakili parti PAS berkata keputusannya untuk menyertai parti berkenaan bukan kerana meraih populariti sebaliknya ia adalah prinsip.

Jelasnya, untuk mengejar glamor lebih sesuai berada dalam bidang seni bagaimanapun ia menjadi satu kelebihan memandangkan beliau adalah seorang pelakon.

"Secara dasarnya kalau kita bercakap soal politik mestilah atas dasar prinsip. Saya ni masih baru jer lagi dalam dunia politik. Saya pilih untuk menyertai parti atas dasar prinsip. Perjuangan PAS berlandaskan Islam. Pada mulanya tujuan saya adalah mahu mengubah diri daripada kurang baik kepada menjadi seorang insan yang lebih baik. Jadi saya merasakan parti PAS sesuai dengan jiwa saya", hujah Hairie.

Hairie juga merelakan PAS menggunakan khidmatnya untuk berkempen bagi menarik ramai undi dalam pilihan raya nanti.

"Saya rela membenarkan rakyat menggunakan khidmat saya untuk tawan Putrajaya," tegasnya yang merasakan tidak timbul isu artis dijadikan alat politik.-Hrkhdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...